
KUCHING: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memulakan kajian semula persempadanan bahagian pilihan raya di Sarawak selepas Dewan Undangan Negeri (DUN) meluluskan pertambahan kerusi daripada 82 ke 99.
Proses ini bertujuan memastikan perwakilan rakyat lebih seimbang dan adil, selaras dengan pertambahan pengundi serta perkembangan sosioekonomi di negeri ini.
Berikut adalah temu ramah eksklusif wartawan Utusan Sarawak, SHAHRUL QIZAT bersama Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR)
Soalan (S): Apakah yang dimaksudkan dengan persempadanan semula bahagian pilihan raya?
SPR: Persempadanan semula bahagian pilihan raya ialah satu proses yang dilaksanakan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bagi menyemak, menyusun semula dan menetapkan sempadan bahagian pilihan raya sedia ada.
Proses ini bertujuan memastikan bahagian pilihan raya adalah lebih seimbang dan adil berlandaskan prinsip-prinsip persempadanan yang telah dinyatakan dalam perlembagaan.
S: Mengapakah proses persempadanan semula perlu dilaksanakan oleh SPR?
SPR: Persempadanan semula perlu dilaksanakan bagi memastikan pembahagian, penetapan dan penjajaran semula bahagian pilihan raya sedia ada sentiasa adil dan munasabah, selaras dengan pertambahan bilangan pengundi yang semakin meningkat dari semasa ke semasa.
Jika sempadan bahagian pilihan raya tidak disemak, keadaan ini boleh menyebabkan ketidakseimbangan perwakilan antara kawasan serta menyukarkan proses pilihan raya.
Melalui persempadanan semula, wakil rakyat dapat dipilih untuk mewakili jumlah pengundi yang lebih seimbang, dengan mengambil kira pelbagai faktor termasuklah kemudahan pentadbiran dan kepentingan komuniti setempat.
S: Apakah asas perundangan yang membolehkan SPR melaksanakan persempadanan semula?
SPR: Asas perundangan yang membolehkan SPR melaksanakan persempadanan semula adalah berdasarkan Perkara 113 dan Jadual Ketiga Belas, Perlembagaan Persekutuan.
Perkara 113memperuntukkan SPR bertanggungjawab menjalankan pilihan raya dan menyemak sempadan bahagian pilihan raya.
Manakala Jadual Ketiga Belaspula menetapkan tatacara serta prinsip-prinsip yang perlu dipatuhi dalam proses persempadanan semula.
Selaras dengan prinsip-prinsip persempadanan, SPR dalam mengemukakan syor persempadanan akan mengambil kira pelbagai faktor, bukan sahaja dari segi keseimbangan jumlah pemilih, tetapi turut meliputi faktor-faktor seperti urusan pentadbiran terutamanya bagi urusan pilihan raya dan pendaftaran pemilih; pemeliharaan hubungan tempatan; kepadatan dan pertumbuhan pemilih; geografi, topologi dan saiz kawasan; ruang pembangunan dan kemudahan infrastuktur; bilangan perwakilan yang sesuai dan akses bagi rakyat mendapatkan perkhidmatan wakil rakyat.
Setiap langkah dan tatacara persempadanan yang dilaksanakan oleh SPR pastinya berlandaskan peruntukan undang-undang dan kehendak Perlembagaan.
S: Apakah tindakan susulan yang dilaksanakan oleh SPR selepas Dewan Undangan Negeri Sarawak meluluskan Rang Undang-Undang berkaitan komposisi keanggotaan DUN daripada 82 kepada 99 kerusi?
SPR: Dewan Undangan Negeri Sarawak telah meluluskan RUU DUN Komposisi Keanggotaan 2025 pada 7 Julai 2025 dan telah dikuatkuasakan pada 8 Ogos 2025.
Dalam hal ini, SPR bertanggungjawab melaksanakan urusan kajian semula persempadanan berdasarkan keperluan di bawah Fasal (3B) Perkara 113 memandangkan lat tempoh kajian yang terdahulu telah berakhir pada 21 Ogos 2023.
Kajian yang sedang dijalankan ini akan mengambil kira pertambahan sebanyak 17 kerusi DUN seperti yang telah diluluskan oleh DUN Sarawak tersebut.
S: Apakah yang dimaksudkan dengan lat tempoh kajian semula persempadanan?
SPR: Urusan kajian semula persempadanan terhadap bahagian-bahagian pilihan raya sedia ada, hanya boleh dilaksanakan selepas tamat lat tempoh 8 tahun atauterdapat pindaan undang-undang ke atas komposisi bilangan keanggotaan Ahli Dewan Rakyat atau Dewan Undangan Negeri.
Berkenaan lat tempoh tersebut, melalui Fasal 2(ii) Perkara 113 menetapkan bahawa kajian semula persempadanan bahagian pilihan raya hanya boleh dilaksanakan selepas tempoh lapan tahun daripada kajian persempadanan yang terdahulu.
Ini bermaksud SPR tidak boleh melaksanakan persempadanan semula sewenang-wenangnya, sebaliknya perlu mematuhi tempoh masa yang telah ditetapkan. Hal ini melainkan berlaku pindaan undang-undang berkaitan komposisi wakil rakyat dalam tempoh tersebut.
S: Ada pihak menyatakan proses persempadanan semula boleh menyebabkan berlakunya keadaan ‘gerrymandering’. Apa jawapan kepada perkara ini?
SPR: SPR memahami kebimbangan yang dibangkitkan oleh sesetengah pihak berkaitan isu gerrymandering ini. Istilah gerrymandering merujuk kepada tindakan memanipulasi sempadan bahagian pilihan raya untuk memberi kelebihan undi atau sokongan kepada parti politik, kumpulan atau penyandang tertentu dalam suatu bahagian pilihan raya. Namun demikian, ingin ditegaskan bahawa proses persempadanan semula yang dilaksanakan oleh SPR adalah berlandaskan tatacara yang dinyatakan dalam Perlembagaan Persekutuan.
SPR menjalankan proses persempadanan tidak berdasarkan pengaruh mahupun tekanan mana-mana pihak, sebaliknya mengambil kira faktor-faktor seperti bilangan pengundi, kemudahan pentadbiran, keadaan geografi dan demografi, kepentingan komuniti setempat dengan mendapat nasihat daripada pakar berkaitan topografi dan taburan penduduk.
Perlu juga diketahui bahawa kajian semula persempadanan ini turut melibatkan proses siasatan tempatan yang memberi ruang kepada orang awam dan pihak berkepentingan untuk mengemukakan pandangan dan bantahan.
Cadangan persempadanan yang baharu ini juga akan dibentangkan di Dewan Rakyat dan memerlukan sokongan Ahli Parlimen sebelum ia boleh dikuatkuasakan.
Oleh itu, tidak timbul isu memanipulasi sempadan bahagian pilihan raya ketika proses persempadanan ini berlangsung seperti yang dikhuatiri sesetengah pihak.
S: Bagaimana peranan ADUN dalam proses ini? Adakah mereka hanya meluluskan jumlah kerusi?
SPR: Peranan ADUN adalah meluluskan RUU yang menetapkan komposisi bilangan kerusi. Manakala bagi urusan mewujudkan bahagian pilihan raya yang baharu adalah di bawah bidang kuasa SPR. Bahagian pilihan raya yang baharu ini perlulah selari dengan jumlah kerusi yang telah diluluskan.
Secara ringkasnya, ADUN menentukan bilangan kerusi, pihak SPR menentukan di mana bahagian pilihan raya untuk kerusi tersebut.
S: Kenapa Sarawak perlu menambah kerusi DUN sekarang, sedangkan kajian persempadanan terakhir telah dilakukan pada 2015?
SPR: Kajian terakhir pada 2015 menyaksikan peningkatan dari 71 ke 82 kerusi. Sejak itu, pertumbuhan penduduk, pembukaan kawasan-kawasan penempatan yang baharu, penambahbaikan infrastruktur dan perubahan sosioekonomi memerlukan penambahan bahagian pilihan raya baharu agar suara penduduk dapat diwakili oleh wakil rakyat dengan lebih berkesan dan menyeluruh.
Selain itu, pelaksanaan undi 18 dan pendaftaran pemilih secara automatik menyaksikan peningkatan pengundi yang signifikan di negeri ini sekali gus mendesak agar persempadanan dibuat bagi memudahkan urusan pilihan raya.
Pertambahan 82 kerusi ke 99 kerusi yang diluluskan menerusi persidangan DUN juga adalah bersesuaian dengan lat tempoh kajian terdahulu yang telah berakhir pada 2023.
S: Apakah implikasi politik pertambahan kerusi ini kepada pembangkang dan kerajaan negeri?
SPR: Pertambahan kerusi pada asasnya bertujuan memperkukuh perwakilan rakyat supaya lebih seimbang dan munasabah, selaras dengan pertambahan jumlah pengundi.
Proses ini tidak bertujuan memberi kelebihan kepada mana-mana parti politik, sama ada kerajaan negeri mahupun pembangkang.
Peranan SPR adalah untuk memastikan proses persempadanan dibuat secara adil dan berlandaskan peruntukan undang-undang.
Sepanjang proses tersebut, semua pihak berkepentingan diberi ruang untuk mengemukakan pandangan dan maklum balas melalui mekanisme yang ditetapkan yang memastikan ia berjalan dengan telus, bersifat inklusif dan mengambil kira kepentingan semua pihak.
S: Bila sebenarnya sempadan baharu akan digunakan dalam pilihan raya?
SPR: Sempadan baharu hanya akan digunakan selepas syor kajian persempadanan diluluskan oleh Dewan Rakyat dan Perintah Persempadanan dikuatkuasakan setelah mendapat perkenan Yang di Pertuan Agong.
Mana-mana pilihan raya yang diadakan selepas tarikh kuat kuasa tersebut akan menggunakan sempadan baharu yang telah ditetapkan.