Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • SEMASA
  • Eksklusif: SPR laksana kajian persempadanan semula susulan pertambahan 17 kerusi DUN Sarawak
  • SEMASA

Eksklusif: SPR laksana kajian persempadanan semula susulan pertambahan 17 kerusi DUN Sarawak

Utusan Sarawak 5 hours ago
SURUHANJAYA Pilihan Raya (SPR) kini melaksanakan kajian semula persempadanan bahagian pilihan raya di Sarawak susulan kelulusan Dewan Undangan Negeri (DUN) untuk menambah jumlah kerusi daripada 82 kepada 99.

PETRA JAYA: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) kini melaksanakan kajian semula persempadanan bahagian pilihan raya di Sarawak susulan kelulusan Dewan Undangan Negeri (DUN) untuk menambah jumlah kerusi daripada 82 kepada 99.

Menurut SPR, kajian tersebut dijalankan selepas Rang Undang-Undang (RUU) Komposisi Keanggotaan DUN Sarawak 2025 diluluskan pada 7 Julai 2025 sebelum dikuatkuasakan pada 8 Ogos tahun sama.

Kajian berkenaan akan mengambil kira pertambahan sebanyak 17 kerusi DUN seperti yang telah dipersetujui oleh DUN Sarawak bagi memastikan perwakilan rakyat dapat dilaksanakan dengan lebih seimbang dan berkesan.

“Kajian yang sedang dijalankan ini akan mengambil kira pertambahan sebanyak 17 kerusi DUN seperti yang telah diluluskan oleh DUN Sarawak tersebut,” menurut dokumen soal jawab yang disediakan bagi sesi temu bual bersama Utusan Sarawak.

SPR menjelaskan bahawa proses persempadanan semula merupakan mekanisme penting bagi memastikan pembahagian bahagian pilihan raya sentiasa kekal adil serta munasabah selaras dengan pertambahan jumlah pengundi dari semasa ke semasa.

“Melalui persempadanan semula, wakil rakyat dapat dipilih untuk mewakili jumlah pengundi yang lebih seimbang dengan mengambil kira pelbagai faktor termasuk kemudahan pentadbiran serta kepentingan komuniti setempat,” menurut dokumen tersebut.

Menurut SPR, pelaksanaan kajian tersebut juga dibuat selaras dengan peruntukan Perkara 113 serta Jadual Ketiga Belas Perlembagaan Persekutuan yang memberikan kuasa kepada SPR berkenaan untuk menjalankan semakan sempadan bahagian pilihan raya.

Selain itu, kajian berkenaan turut mengambil kira beberapa faktor penting termasuk kepadatan dan pertumbuhan jumlah pemilih, keadaan geografi dan topografi kawasan, kemudahan infrastruktur serta kepentingan komuniti setempat.

Kajian semula itu juga dilaksanakan selepas tempoh kajian persempadanan terdahulu berakhir pada 21 Ogos 2023, sekali gus membolehkan semakan baharu dijalankan mengikut ketetapan undang-undang.

Kajian persempadanan terakhir di Sarawak dilaksanakan pada 2015 yang menyaksikan pertambahan jumlah kerusi DUN daripada 71 kepada 82.

Menurut SPR, pertambahan kerusi baharu itu juga selaras dengan perkembangan semasa termasuk pertumbuhan penduduk, pembukaan kawasan penempatan baharu serta peningkatan jumlah pengundi selepas pelaksanaan Undi18 dan pendaftaran pemilih secara automatik.

Dalam pada itu, SPR turut menegaskan bahawa sebarang cadangan persempadanan baharu akan melalui proses yang telus termasuk siasatan tempatan bagi membolehkan orang awam serta pihak berkepentingan mengemukakan pandangan atau bantahan.

Cadangan persempadanan tersebut kemudiannya akan dibentangkan di Dewan Rakyat dan hanya boleh dikuatkuasakan selepas mendapat kelulusan Parlimen serta perkenan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim.

Oleh Shahrul Qaizat

Tags: SEMASA

Continue Reading

Previous: RUU Perjanjian Penyelesaian Antarabangsa perkukuh mekanisme pengantaraan – Dato’ Ahmad Ibrahim
Next: ‘Blok Borneo’ adalah realiti perlembagaan – Sebastian Ting

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.