Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • WILAYAH
  • Eksklusif: Sibu laksana Parkir Pintar mulai Disember, sokong aspirasi bandar pintar
  • Tengah
  • WILAYAH

Eksklusif: Sibu laksana Parkir Pintar mulai Disember, sokong aspirasi bandar pintar

Utusan Sarawak 6 days ago

TINJAUAN…Tempat parkir di sekitar Jalan Tuanku Osman.

SIBU: Langkah Majlis Perbandaran Sibu (MPS) memperkenalkan sistem Parkir Pintar mulai Disember ini menandakan permulaan era baharu dalam pengurusan parkir bandar, seiring aspirasi menjadikan Sibu sebagai bandar pintar menjelang 2026.

Timbalan Pengerusi MPS, Mohammed Abdullah Izkandar Roseley berkata, peralihan ini adalah sebahagian daripada usaha pendigitalan bandar. 

TIMBALAN Pengerusi MPS, Mohammed Abdullah Izkandar Roseley.

Menurutnya, kupon tradisional semakin kurang praktikal dan sukar dikawal, sementara Parkir Pintar menawarkan cara yang lebih moden, mudah, efisien, dan telus untuk mengurus pembayaran parkir. 

“Ia juga mengurangkan kebergantungan kepada tenaga manusia dan mengelakkan kebocoran hasil,” katanya kepada Utusan Sarawak.

Beliau berkata, sistem digital membolehkan penguatkuasaan lebih berkesan melalui rekod automatik dan notifikasi segera. 

“Dengan integrasi bersama pihak berkuasa, tindakan boleh diambil lebih pantas terhadap parkir haram atau saman tertunggak. Ini dijangka mengurangkan kesesakan dan meningkatkan kepatuhan pengguna,” jelasnya.

Pada peringkat awal pelaksanaan, katanya, kadar bayaran akan kekal sama, sebarang perubahan kadar hanya akan dibuat selepas kajian terperinci dan dimaklumkan kepada orang ramai.

KUPON PARKIR MPS… Bakal beralih kepada sistem Parkir Pintar.

Ketika ditanya mengenai langkah diambil MPS untuk memastikan sistem ini mesra pengguna, terutamanya bagi warga emas atau mereka yang kurang celik teknologi.

Izkandar memberitahu, MPS akan melantik ejen berdaftar untuk membantu golongan ini membuat pembayaran. 

“Ahli keluarga juga boleh melaksanakan pembayaran parkir bagi pihak mereka melalui aplikasi. Selain itu, aplikasi SMC Cares direka dengan antara muka ringkas dan mesra pengguna,” ujarnya.

Mengulas tentang tahap keselamatan data pengguna dijamin, beliau memberitahu, data pengguna dilindungi melalui sistem keselamatan digital terkini, termasuk enkripsi transaksi. 

“Aplikasi hanya mengakses maklumat yang diperlukan untuk tujuan parkir, dan semua maklumat peribadi dikendalikan mengikut piawaian perlindungan data semasa,” kata beliau.

Katanya lagi, pelaksanaan akan bermula di kawasan komersial utama pada Disember 2025. 

“Ia akan diperluaskan secara berperingkat ke seluruh Sibu dalam tempoh 3 hingga 6 bulan seterusnya, dengan jangkaan liputan penuh sekitar pertengahan atau penghujung 2026,” kata beliau lagi.

Sementara itu, langkah MPS memperkenalkan sistem Smart Parking mulai Disember ini mendapat pelbagai reaksi daripada orang ramai, dengan ada yang menyambut baik perubahan itu dan tidak kurang juga yang masih ragu-ragu.

Seorang pengguna, Amyra Varkisa Kiai berkata, beliau bersedia beralih daripada penggunaan kupon parkir kepada aplikasi digital kerana melihatnya sebagai kaedah yang lebih mudah dan praktikal.

AMYRA Varkisa Kiai.

“Ya, mungkin cabaran dari segi sambungan internet, tetapi bagi saya yang tinggal di bandar, masalah itu bukan halangan. Kaedah pembayaran melalui aplikasi lebih mudah kerana sekarang ramai yang tidak lagi membawa wang tunai,” katanya.

Sementara itu, pesara kerajaan, Kenneth Lone pula menyuarakan pandangan berbeza apabila menyatakan beliau belum bersedia untuk beralih kepada sistem digital tersebut.

KENNETH Lone.

“Ini kerana liputan internet di sesetengah kawasan sering bermasalah,” ujarnya ringkas.

Beliau berpendapat sistem parkir sedia ada masih sesuai digunakan oleh semua golongan dan lebih mesra kepada warga emas serta mereka yang kurang celik teknologi.

Bagi penjawat awam, Iskandar Joni pula, pelaksanaan sistem Smart Parking dilihat mampu meningkatkan kecekapan dan ketertiban urusan parkir, khususnya bagi pengguna yang celik teknologi.

ISKANDAR Joni.

“Langkah ini sebenarnya memudahkan, cepat dan lebih teratur. Namun bagi mereka yang tidak biasa menggunakan aplikasi digital seperti individu buta huruf, tidak memiliki telefon pintar atau kehabisan kuota prabayar sistem ini boleh menjadi cabaran,” katanya.

Tambahnya, secara keseluruhan, langkah MPS memperkenalkan sistem Parkir Pintar merupakan inisiatif yang baik dan seiring dengan perkembangan digital.

“Ia memudahkan dan menyenangkan, tetapi bagi warga emas dan mereka yang kurang celik digital, mungkin ada sedikit kesukaran pada peringkat awal,” jelasnya.

Oleh Akun Giman

Tags: wilayah

Continue Reading

Previous: Penduduk Nanga Skrang tidak pernah diabaikan sejak jadi wakil rakyat 1996
Next: Bekalan Air Lawas terganggu akibat paip pecah di Jalan Gelugus

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.