
PADAWAN: Suasana penuh kehangatan dan kasih sayang menyelubungi Home of Peace, Jalan Landeh, baru-baru ini apabila warga emas menjadi tumpuan melalui Program Dandanan Komuniti dan Sesi Potret untuk Penghuni Warga Emas.
Inisiatif komuniti ini bukan sekadar menawarkan dandanan dan potret profesional, tetapi turut memberi penghargaan kepada mereka yang telah menempuh pelbagai liku kehidupan.
Mengangkat tema ‘Setiap kedut ada ceritanya. Setiap senyuman bersinar selamanya,’ program ini bukan sekadar menyediakan dandanan dan potret profesional, tetapi juga memberi penghormatan kepada setiap individu yang hadir. Setiap kedut di wajah mereka, setiap senyuman yang terukir, menyimpan kisah hidup yang panjang dan berharga.

Menurut Alison Si, wakil Sunflower Group ketika ditemubual Utusan Sarawak berkata, inisiatif ini diadakan untuk memberi penghargaan kepada warga emas serta mengingatkan masyarakat bahawa mereka tetap dihargai.
“Ramai antara mereka jarang mendapat perhatian sebegini. Kami mahu menghidupkan kembali semangat mereka melalui pengalaman yang bermakna,” katanya.
Beliau menambah dengan penuh keikhlasan, “Setiap penghuni di sini juga perlukan kasih sayang. Jika kita memberi sedikit perhatian dan senyuman, ia mampu mencerahkan hari-hari mereka.”
Suasana bertambah meriah apabila sesi nyanyian santai sempena sambutan Krismas yang bakal menjelang mengisi ruang dewan. Warga emas bertepuk tangan, tersenyum, dan sesekali menepuk bahu rakan yang duduk bersebelahan, seolah-olah menyambut kembali kehangatan hidup yang selama ini hilang dalam kesunyian.
Program ini berjaya direalisasikan dengan kerjasama pelbagai organisasi komuniti termasuk Swiss Nurse, Saranest, Sixth Planet Media Sdn Bhd, Jui Shiu Photography, The Senior Eyes of Echos, Persatuan Juruteknik Kuku dan Jurumekap Sarawak (MNTA Sarawak), bersama penaja dan sukarelawan yang tidak jemu menyediakan perkhidmatan solekan, fotografi, serta menemani warga emas sepanjang sesi berlangsung.



SEKITAR suasana semasa Program Dandanan Komuniti dan Sesi Potret untuk Penghuni Warga Emas.
Penganjur menekankan bahawa program ini lebih daripada sekadar kecantikan. Ia adalah usaha menangani rasa kesunyian, mengukir memori bahagia, serta menggalakkan penglibatan masyarakat dalam khidmat sosial.
“Ini tentang mencipta kenangan yang akan kekal selamanya, bukan sahaja untuk penghuni, tetapi juga untuk semua yang terlibat,” jelasnya.
Pada akhir sesi, wajah-wajah warga emas bersinar dengan senyuman tulus, mata yang berkaca menandakan kebahagiaan dan kehangatan hati yang diterima. Bagi mereka, bukan sekadar potret yang diambil, tetapi detik-detik berharga yang akan dikenang sepanjang hayat.
Pihak penganjur menzahirkan penghargaan kepada semua penaja dan sukarelawan yang menjayakan program tersebut, dengan harapan lebih banyak inisiatif seumpamanya dapat diteruskan pada masa hadapan, membawa cahaya dan kasih sayang kepada warga emas yang telah banyak berjasa kepada masyarakat.
Oleh Norman B.