
KUCHING: Tapak mural separuh siap yang terletak di lorong berhampiran India Street mencetuskan kebimbangan dalam kalangan warga seni dan masyarakat setempat yang menggesa agar karya tersebut tidak dipadam atau dibiarkan tanpa arah tujuan.
Perkara itu dibangkitkan oleh pengguna Facebook, Husni Zzhrn yang turut dikenali sebagai D2K, seorang penggiat seni visual, dalam satu hantaran yang tular baru-baru ini.
Beliau menggesa agar mural berkenaan diberi peluang untuk disiapkan dan dipulihkan serta tidak terus dilupakan tanpa sebarang dialog atau libat urus bersama pihak berkaitan.

Menurutnya, mural yang terbengkalai selama lebih tiga tahun itu disifatkan sebagai simbol seni yang belum sempat ‘bersuara penuh,’ namun kini terancam untuk dipadam sebelum dapat disiapkan.
Husni turut menggesa agar Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU), Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS), pemilik bangunan serta pemimpin komuniti tampil bersama menjayakan penyelesaian yang inklusif dan konstruktif.
“Kami tidak datang dengan kemarahan, tetapi dengan suara dan harapan,” tulisnya, mewakili suara rakyat tempatan yang menghargai hasil seni anak Sarawak.
Antara tuntutan yang dikemukakan termasuk menggesa agar mural tidak dipadam tanpa alasan kukuh, memberi peluang kepada artis tempatan untuk menyiapkan atau memulihkannya, mewujudkan dasar perlindungan mural awam, serta mengadakan dialog terbuka antara artis, pemilik ruang dan pihak berkuasa.
Tapak mural berkenaan dilihat memiliki potensi sebagai lokasi pelancongan strategik dan boleh menjadi ikon seni sempena Hari Sarawak 22 Julai.
Lukisan tersebut bukan sekadar karya dinding, tetapi cerminan identiti dan cerita Bandar Kuching yang mampu menyumbang kepada ekonomi kreatif jika dimanfaatkan secara berstruktur.
“Jika dibiarkan separuh jalan, itu mencerminkan bagaimana kita menghargai dan mengurus seni budaya sendiri,” ujarnya lagi.
Isu mural terabai ini turut mengimbas kembali insiden mural terkenal anak-anak orang utan yang dipadam pada 2022.
Mural yang pernah menarik perhatian pelancong dan dihasilkan oleh artis Lithuania, Ernest Zacharevic, telah ditutup bagi memberi laluan kepada iklan baharu oleh pemilik premis.
Memetik DayakDaily, pada 14 Julai 2022 pemilik bangunan, Roger Pui, menjelaskan bahawa tindakan tersebut dibuat secara sah dan atas niat untuk memperindah kawasan tersebut, bukan bertujuan merosakkan seni.
Beliau menegaskan hak pemilikan terhadap dinding berkenaan berdasarkan Perkara 13 Perlembagaan Persekutuan yang menjamin hak terhadap harta sendiri.
Pada 23 Ogos 2022, DayakDaily turut melaporkan bahawa syarikat Nan Cheong Trading Sdn Bhd sedang menunggu kelulusan permohonan permit pengiklanan daripada DBKU, sementara kerja-kerja memperindah dinding tersebut diteruskan dengan harapan ia bakal menjadi tarikan pelancong untuk bergambar dan bersantai.
Namun, tindakan tersebut turut menimbulkan perdebatan dalam kalangan masyarakat yang menganggap pemadaman mural sebagai satu kehilangan terhadap warisan seni bandar raya Kuching.
Selain aspek budaya, penghasilan mural turut membuka peluang kepada industri pengiklanan kreatif, khususnya melalui pendekatan pengiklanan gerila yang terbukti berjaya di bandar besar dunia.
Medium promosi jenama tempatan ini berpotensi menyokong bakat muda dalam bidang mural, fotografi pelancongan, kandungan digital dan videografi.
Secara tidak langsung, limpahan pelancong ke kawasan mural juga mampu memberi manfaat ekonomi kepada peniaga kecil di sekitar tapak, termasuk kedai kopi dan gerai makanan.
“Seni adalah jambatan, bukan penghalang. Jika benar Sarawak ini ‘City of Unity’, biarlah dindingnya juga menyuarakan suara rakyat,” tambah Husni dengan penuh harapan.
Oleh Amanda L.