SARIKEI: Produk baharu Sarawak Pepper Candy mencuri perhatian pengunjung apabila menjadi antara produk paling laris di kaunter Saraspice, dengan hanya tiga bungkus berbaki.
Saraspice Sdn Bhd, anak syarikat Lembaga Lada Malaysia, mengetengahkan pelbagai produk hiliran berasaskan lada Sarawak, termasuk lada hitam, lada putih, produk perasa dan bahan perapan.
Pembantu Jualan Saraspice Sarikei, Joannes Dagat, berkata Lada Hitam Sarawak merupakan antara produk yang mendapat sambutan baik daripada pengunjung.
“Produk yang laris di kaunter ini buat masa sekarang ialah Lada Hitam Sarawak. Ia mempunyai dua jenis, iaitu kisaran kasar dan kisaran halus.
“Kami juga mempunyai produk baharu, iaitu Sarawak Pepper Candy,” katanya ketika ditemui Utusan Sarawak pada Program Karnival Agrikomoditi MADANI di Dewan Sentral Sarikei, semalam.

Sementara itu, Pembantu Operasi Saraspice Sarikei, Christy, berkata Sarawak Pepper Candy mencatat sambutan paling menggalakkan di kaunter berkenaan.
“Ini Sarawak Pepper Candy. Ini yang paling laris setakat ini di sini. Hanya tinggal tiga bungkus lagi,” katanya.
Selain produk tersebut, Joannes berkata Saraspice Sdn Bhd turut mempunyai pelbagai produk lain, termasuk lada putih dan lada hitam yang dilengkapi pengisar.
Christy pula menjelaskan bahawa terdapat tiga produk yang diketengahkan sebagai bahan perapan.
Joannes berkata, tiga produk tersebut ialah Perencah Lada Lemon, Perapan Lada Hitam dan Lada Bawang Putih.

“Ada tiga jenis sahaja, iaitu Perencah Lada Lemon, Perapan Lada Hitam dan Lada Bawang Putih. Setakat ini, produk ini dan Sarawak Pepper Candy paling laris di sini,” katanya.
Kepelbagaian produk tersebut memperlihatkan usaha Saraspice mempelbagaikan penggunaan lada Sarawak, bukan sahaja dalam bentuk lada hitam dan lada putih, malah menerusi pelbagai produk hiliran bagi menawarkan pilihan penggunaan yang lebih luas kepada pengguna.
Pengenalan Sarawak Pepper Candy turut menampilkan pendekatan baharu dalam mempelbagaikan penggunaan lada menerusi penghasilan produk yang unik dan mudah dinikmati.
Sambutan terhadap produk tersebut di kaunter Saraspice memperlihatkan penerimaan positif pengunjung terhadap inovasi produk hiliran berasaskan lada Sarawak.
Oleh Earl Anek




