
KUCHING: Musim tengkujuh yang melanda kebelakangan ini tidak mematahkan semangat orang ramai untuk menikmati hidangan di kedai makan apabila tinjauan mendapati beberapa kedai kopi terus menerima kunjungan pelanggan tanpa putus walaupun hujan lebat berterusan.
Antara yang mencuri tumpuan ialah Kedai Kopi Joo Seng, kopitiam lama yang telah beroperasi sejak 1961, milik Loi Choon Kiak yang masih menjadi pilihan masyarakat pelbagai kaum.
Tinjauan di premis berkenaan mendapati pelanggan terdiri daripada masyarakat Melayu, Iban dan Cina terus memenuhi kedai itu walaupun hujan lebat, khususnya pada waktu pagi dan tengah hari.

Cucu pemilik kedai, Jayden Foo, 16, berkata hidangan tradisi seperti roti kahwin dan teh tarik yang diwarisi daripada neneknya menjadi tarikan utama pelanggan sejak dahulu, selain menu nasi ayam yang turut mendapat sambutan hangat.
Menurutnya, warisan keluarga itu terus kekal sebagai pilihan ramai pelanggan setia.
“Walaupun musim tengkujuh dan hujan lebat, pelanggan tetap datang untuk menikmati hidangan kami.
“Kedai sentiasa penuh dengan suasana meriah, dan itu yang membuatkan kami terus bersemangat meneruskan perniagaan,” katanya ketika ditemui Utusan Sarawak, baru-baru ini.

Kedai Kopi Joo Seng beroperasi dari Isnin hingga Sabtu, 6.00 pagi hingga 5.00 petang, manakala Ahad ditutup.
Kedai tersebut mempunyai dua cawangan, masing-masing di Pending dan Batu Lintang berhadapan Wisma Saberkas.
Fenomena ini menunjukkan rezeki peniaga makanan tetap mengalir walaupun berdepan cuaca buruk, sekali gus mencerminkan peranan kedai kopi sebagai ruang sosial yang menyatukan masyarakat berbilang kaum di Sarawak.
Oleh Masrin Affirah