
KUCHING: Seorang remaja perempuan merayu bantuan orang ramai bagi mengesan ayah kandungnya yang hilang sejak Disember lalu bagi melengkapkan urusan wali perkahwinannya yang dirancang sebelum Ramadan ini.
Nur Azimattul Najwa Juma’at, 18 tahun, berkata ayahnya, Juma’at Kineh, atau lebih dikenali sebagai Jemat, kini berusia 56 tahun dan kali terakhir ditemui pada 3 Disember lepas di Kampung Tanjung Bako.
Menurut Azimattul, usaha mencari ayah kandungnya telah dilakukan melalui ahli keluarga dan kenalan terdekat, namun sehingga kini masih belum membuahkan hasil.
“Saya amat berharap ada pihak yang mengenali atau mempunyai maklumat mengenai ayah saya agar dapat menghubungi kami secepat mungkin.
“Kehadiran ayah kandung saya amat penting bagi melengkapkan urusan perkahwinan yang telah dirancang dalam masa terdekat, selaras dengan tuntutan agama Islam,” ujarnya.
Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan Juma’at Kineh @ Jemat diminta menghubungi Nur Azimattul Najwa di talian 011-1757 7916.
Sebarang bantuan dan kerjasama orang ramai amat dihargai bagi membantu mempertemukan semula anak dan ayah yang terpisah demi kelancaran urusan perkahwinan tersebut.
Oleh Masrin Affirah