Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • TEMPATAN
  • Eksklusif: Ramadan di perantauan cipta kenangan manis pelajar luar Sarawak di Unimas
  • TEMPATAN

Eksklusif: Ramadan di perantauan cipta kenangan manis pelajar luar Sarawak di Unimas

Utusan Sarawak 19 hours ago
AHMAD Anwar Mustagim Mahadi berkongsi pengalaman memasak dan berbuka puasa bersama rakan-rakan sepanjang Ramadan di Sarawak.

KOTA SAMARAHAN: Menyambut Ramadan jauh daripada keluarga bukanlah sesuatu yang mudah bagi pelajar yang merantau untuk menimba ilmu.

Namun bagi pelajar dari luar Sarawak yang menuntut di negeri ini, suasana berbuka bersama rakan-rakan, kemeriahan bazar Ramadan serta pengalaman mengenali budaya tempatan sedikit sebanyak mengubat kerinduan terhadap keluarga.

Tinjauan Utusan Sarawak mendapati pengalaman tersebut turut dikongsi beberapa pelajar dari luar Sarawak yang kini menuntut di Universiti Malaysia Sarawak (Unimas).

Walaupun berada di perantauan, pengalaman menyambut Ramadan di Sarawak tetap memberi kenangan tersendiri, malah menjadi detik yang mengeratkan hubungan persahabatan sesama mereka.

Bagi pelajar dari Kelantan, Ahmad Anwar Mustagim Mahadi, 23, pada awalnya beliau mengakui berasa sedikit risau mengenai juadah berbuka puasa dan sahur sepanjang berada di Sarawak.

Namun menurutnya, kerisauan itu akhirnya bertukar menjadi pengalaman yang cukup bermakna apabila beliau berpeluang memasak pelbagai juadah dan menikmatinya bersama rakan-rakan.

“Pada awalnya saya sedikit risau tentang juadah berbuka dan sahur. Namun pengalaman itu akhirnya menjadi kenangan yang tidak dapat saya lupakan kerana kami memasak pelbagai juadah di rumah rakan dan menikmatinya bersama-sama.

“Pengalaman ini sangat berbeza dan bermakna berbanding ketika saya berada di Semenanjung kerana ia turut mengeratkan lagi hubungan silaturahim antara kami,” katanya.

 MOHD Izzul Amri Rosli menyifatkan pengalaman pertama berpuasa di Sarawak sebagai sesuatu yang baharu dan bermakna.

Bagi Mohd Izzul Amri Rosli, 23, dari Selangor pula, Ramadan kali ini merupakan pengalaman pertama beliau merasai kehidupan sebagai anak perantau.

Menurutnya, perbezaan waktu berbuka puasa yang lebih awal di Sarawak memberi pengalaman baharu selain peluang mencuba pelbagai makanan tempatan.

“Ini kali pertama saya berpuasa di Sarawak dan pengalaman itu agak berbeza kerana waktu berbuka lebih awal berbanding di Semenanjung.

“Saya juga berpeluang mencuba makanan tempatan di sini dan berbuka bersama rakan-rakan dalam skuad Pusat Latihan Pegawai Simpanan (PALAPES) selama 17 hari sebelum pulang ke Selangor untuk membuat persiapan Hari Raya bersama keluarga,” ujarnya.

 DEWI Juwita Zainuddin berkata suasana bazar Ramadan serta aktiviti moreh memberi peluang mengenali tradisi setempat.

Sementara itu, pelajar dari Lahad Datu, Sabah, Dewi Juwita Zainuddin, 21, menyifatkan pengalaman menyambut Ramadan di Sarawak tetap meriah walaupun berjauhan daripada keluarga.

Beliau berkata, suasana bazar Ramadan serta aktiviti berbuka puasa bersama rakan-rakan menjadikan pengalaman tersebut lebih bermakna.

“Perbezaan yang paling ketara ialah budaya makanan dan cara masyarakat setempat menyambut Ramadan.

“Saya juga berpeluang menyertai aktiviti moreh di masjid yang memberi peluang untuk saya mengenali tradisi baharu,” katanya.

Seorang lagi pelajar dari Kelantan, Nur Maizatul Afiqah Nazir Ahmad, 20, turut berkongsi pandangan bahawa pengalaman berpuasa di Sarawak tetap menyeronokkan walaupun tidak dapat menandingi suasana Ramadan di negeri asalnya.

NUR Maizatul Afiqah Nazir Ahmad tetap menghargai pengalaman berbuka bersama rakan walaupun merindui suasana Ramadan bersama keluarga di kampung.

Menurutnya, kepelbagaian makanan dan minuman di Kelantan sukar ditemui di Sarawak, namun pengalaman berbuka bersama rakan-rakan tetap memberikan kenangan tersendiri.

“Di sini saya dapat berbuka bersama rakan-rakan PALAPES di gelanggang bola tampar.

“Namun berbuka puasa bersama keluarga di kampung tetap terasa lebih indah dan lebih dekat di hati saya,” katanya.

Bagi Jalwa Abdullah, 28, dari Johor yang telah memasuki tahun kelapan menyambut Ramadan di Sarawak sejak melanjutkan pengajian pada 2018, pengalaman berpuasa di perantauan membawa makna yang cukup mendalam.

JALWA Abdullah berkongsi pengalaman lapan tahun menyambut Ramadan di Sarawak yang mengeratkan persahabatan bersama rakan-rakan.

Kini menetap dan bekerja di Sarawak, beliau berkata kebersamaan bersama rakan-rakan sepanjang Ramadan menjadikan suasana di perantauan tetap terasa hangat walaupun berjauhan daripada keluarga.

“Daripada berbincang menu yang hendak dimasak, membeli bahan dapur sehinggalah menunggu azan Maghrib untuk berbuka puasa, semuanya dilakukan bersama-sama.

“Kami juga mengambil kesempatan melakukan ibadah seperti solat berjemaah dan saling mengingatkan antara satu sama lain tentang kebaikan di bulan Ramadan,” katanya.

Secara keseluruhan, pengalaman menyambut Ramadan di perantauan bukan sahaja menguji ketabahan pelajar yang berjauhan daripada keluarga, malah turut membentuk kenangan manis serta hubungan persahabatan yang lebih erat sepanjang berada di Sarawak.

Oleh Adele Rissa

Continue Reading

Previous: Projek AgriHub Lubok Punggor: 119 penerima terima pampasan RM6.5 juta
Next: Wilfred Yap gesa garis masa jelas proses persempadanan semula DUN Sarawak

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.