
KUCHING: Festival muzik alternatif terbesar di Borneo, Festival Muzik Borderland 2025, kembali menggegarkan Kampung Budaya Sarawak (SCV) pada 5 dan 6 September ini dengan barisan artis tempatan, serantau dan antarabangsa.
Antara wajah yang kini sinonim dengan festival ini ialah RaaFiiKii, yang menyertai acara tersebut untuk tahun ketiga berturut-turut.
Lebih menarik, beliau bakal beraksi di pentas Kenyalak Hut, ruang yang terkenal dengan persembahan eksperimental dan segar.
Dikenali dengan gaya Disc Jockey (DJ) yang merentas genre serta pendekatan ‘penceritaan’ dalam set muziknya, RaaFiiKii berkongsi dengan Utusan Sarawak tentang pengalaman, cabaran, dan harapannya untuk terus membawa muzik tempatan ke pentas dunia.

Soalan (S): Ini tahun ketiga anda di Borderland. Bagaimana perasaan untuk kembali semula?
RaaFiiKii: Saya sentiasa teruja untuk kembali. Apa yang membuatkan saya terus datang ialah rasa keterhubungan. Borderland mencipta tenaga unik yang mana semua orang terasa bersatu walaupun datang dari latar belakang berbeza, bercakap bahasa berbeza dan mempunyai perspektif yang berbeza. Pengalaman bersama itu sangat istimewa.
S: Bagaimana Borderland membentuk perjalanan anda sebagai artis?
RaaFiiKii: Ia memberikan saya lebih pengiktirafan dan keyakinan. Borderland membolehkan saya mengekspresikan seni DJ mengikut cara saya sendiri, sambil memperkenalkan kepada khalayak bahawa ada pelbagai bunyi dan genre yang boleh dinikmati. Bagi saya, pentas ini adalah ruang di mana saya boleh jadi diri sendiri sepenuhnya.

S: Adakah proses persiapan anda berubah berbanding tahun-tahun sebelum ini?
RaaFiiKii: Sudah tentu. Saya pastikan set saya sentiasa berevolusi setiap tahun. Tahun lepas saya banyak bermain dengan aliran merentas genre, tapi tahun ini saya memberi fokus kepada ‘penceritaan’. Set kali ini menceritakan perjalanan hidup saya sepanjang beberapa tahun kebelakangan ini.
S: Bagi yang belum mengenali anda, bagaimana anda menggambarkan gaya persembahan anda?
RaaFiiKii: Kebanyakan DJ berpegang pada satu genre, tapi gaya saya lebih kepada aliran bunyi. Saya suka menggabungkan pelbagai genre untuk mencipta sebuah perjalanan, dan bukan sekadar irama yang enak didengar, tetapi pengalaman emosi yang dikongsi bersama. Ia seperti kita bercerita dan ada orang yang berkata, “saya faham perasaan awak”. Walaupun tanpa konteks, perasaan itu tetap sampai, dan itulah yang saya cuba sampaikan.
S: Apa erti Borderland kepada anda secara peribadi?
RaaFiiKii: Bagi saya, ia adalah platform penting untuk mengetengahkan artis dan penggiat tempatan di pentas besar, serta menghubungkan kami dengan individu yang sehaluan. Bertemu dengan artis dan khalayak yang pelbagai membuka perspektif baharu, yang seterusnya menjadikan saya lebih kreatif dalam berkarya.

S: Selepas Borderland, ke mana hala tuju kerjaya anda?
RaaFiiKii: Saya mahu dikenali sebagai DJ yang bercerita melalui muzik, seseorang yang bukan sekadar memainkan set, tetapi mencipta pengalaman.
S: Bagaimana anda melihat perkembangan muzik di “Sarawak, dan di mana kedudukan anda dalam arus ini?
RaaFiiKii: Sarawak mempunyai begitu banyak potensi untuk diketengahkan ke peringkat dunia. Kita sudah ada DJ tempatan seperti Zenneuro dan Slumberjack yang berjaya ke pentas global, walaupun kurang dikenali di tanah air sendiri.
Hakikat bahawa industri ini terus berkembang menunjukkan kita semakin hampir ke satu mercu global. Saya mahu menjadi sebahagian daripada gerakan ini dengan menginspirasi generasi baharu untuk mengekspresikan diri dengan keaslian.”
S: Apakah cabaran terbesar yang anda hadapi sebagai artis, dan bagaimana anda mengatasinya?
RaaFiiKii: Cabaran paling sukar adalah mencari ruang di mana seni benar-benar dihargai. Hari ini, kebanyakan muzik dihasilkan demi keuntungan, dan seni itu sendiri sering terpinggir. Untuk mengatasinya, saya dan pasukan menubuhkan RocketOne Entertainment sebagai platform untuk mendidik serta mengumpulkan lebih ramai orang yang mahu meneroka muzik di luar bunyi komersial.
S: Betapa pentingnya kolaborasi dan sokongan komuniti dalam perjalanan ini?
RaaFiiKii: Sangat penting, sentiasa menjadi kepentingan penting. Kolaborasi dan sokongan komuniti ialah tulang belakang industri ini. Ia membantu seni berkembang, mencipta pengiktirafan, serta membuka lebih banyak peluang untuk semua.
S: Apabila anda menoleh kembali suatu hari nanti, bagaimana persembahan di Borderland akan dikenang?
RaaFiiKii: Ia akan sentiasa menjadi persembahan yang mana saya mengekspresikan individualiti saya sepenuhnya. Pentas ini memberi saya kebebasan untuk jadi diri sendiri, dan itu sesuatu yang tidak akan saya lupakan.
S: Apa sumbangan yang anda harap dapat berikan kepada budaya muzik di sini?
RaaFiiKii: Saya mahu mengurus lebih banyak pengalaman unik yang mengetengahkan bunyi berbeza serta membuka ruang kepada DJ lain. Pada akhirnya, saya berharap dapat menginspirasi generasi baharu artis yang berkarya demi seni, bukan sekadar kemasyhuran.
Kesimpulannya, Borderland 2025 bukan sekadar festival muzik, tetapi sebuah platform dinamik yang menyatukan komuniti kreatif dari pelbagai latar belakang. Dengan menampilkan artis tempatan dan antarabangsa, termasuk DJ RaaFiiKii, acara ini memperkukuh kedudukan Sarawak sebagai hab penting dalam peta muzik alternatif serantau, sambil menarik perhatian pelancong serta pencinta seni dari dalam dan luar negara.
Oleh Adele Rissa