

KUCHING: “Kenapa tidak tunjuk sahaja muka orang yang sudah ditangkap ini?”
Ini antara soalan yang sering dibaca, malah kadangkala orang ramai sendiri terdengar atau terbaca dalam kehidupan seharian, khususnya apabila berita berkaitan jenayah disiarkan di media cetak atau atas talian.
Jadi, apakah sebenarnya rasional di sebalik amalan menutup wajah suspek ini?
Namun, di sebalik amalan tersebut, terdapat prinsip undang-undang dan pertimbangan etika yang penting bagi memastikan keadilan terus terpelihara.
Ketua Polis Daerah Tatau, DSP Jame Reis, berkata seseorang yang ditahan masih dianggap tidak bersalah selagi mahkamah belum menjatuhkan sebarang hukuman.
“Dalam undang-undang, seseorang itu dianggap tidak bersalah sehingga dibuktikan sebaliknya oleh mahkamah. Penutupan wajah bertujuan mengelakkan individu berkenaan dihukum oleh persepsi awam sebelum keputusan mahkamah dibuat,” katanya dihubungi Utusan Sarawak.
Jame berkata pendedahan wajah dan identiti suspek pada peringkat awal boleh mengakibatkan stigma, kecaman serta kerosakan reputasi yang berpanjangan, walaupun individu terbabit kemudiannya dibebaskan.
“Sekiranya identiti didedahkan terlalu awal, ia boleh memberi kesan negatif bukan sahaja kepada suspek, malah kepada ahli keluarga dan kehidupan sosial mereka,” katanya.
Beliau turut menjelaskan bahawa perlindungan identiti juga penting bagi memastikan siasatan polis tidak terjejas.
“Pendedahan wajah boleh mengganggu siasatan yang sedang berjalan, mempengaruhi saksi atau memberi peluang kepada individu lain yang terlibat untuk melarikan diri atau memusnahkan bukti,” jelasnya sambil menambah bahawa faktor keselamatan turut diambil kira dalam kes tertentu.
Pandangan ini disokong oleh Hanis Syuhada Othman Ali, pemegang Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang (LLB) dari Universiti Teknologi Mara, (UiTM) yang kini berkhidmat sebagai Pengurus Besar di Semarak Kreatif Sdn. Bhd.
Ketika dihubungi Utusan Sarawak, beliau berkata amalan menutup wajah suspek adalah selari dengan prinsip keadilan dan perlindungan hak individu.
“Walaupun seseorang telah ditahan, mereka masih dilindungi oleh prinsip anggapan tidak bersalah. Pendedahan wajah terlalu awal boleh membawa kepada penghakiman awam yang tidak adil,” katanya.
Menurut beliau, dalam kes yang mendapat perhatian masyarakat, liputan media yang meluas juga berpotensi menjejaskan prosiding mahkamah pada masa hadapan.
“Persepsi awam yang terbentuk lebih awal boleh memberi tekanan kepada proses perbicaraan. Justeru, penutupan wajah adalah langkah berhati-hati untuk memastikan keadilan dapat ditegakkan secara saksama,” tambahnya.
Kedua-dua pandangan ini menegaskan bahawa tindakan menutup wajah suspek bukan bertujuan melindungi kesalahan jenayah, sebaliknya sebagai langkah menjaga hak asasi, keselamatan dan maruah individu, serta memastikan proses undang-undang berjalan secara adil dan berintegriti.
Selagi mahkamah belum membuat keputusan, setiap individu berhak dilayan sebagai tidak bersalah, selaras dengan prinsip keadilan yang menjadi tunjang sistem perundangan negara.
Oleh ADELE RISSA