Eksklusif: Persempadanan semula DUN perkasa perkhidmatan rakyat

Facebook
WhatsApp
AHLI PARLIMEN IGAN.....Ahmad Johnie Zawawi

SIBU: Cadangan persempadanan semula beberapa kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak dilihat mampu memperkukuh keberkesanan perkhidmatan kepada rakyat dengan mengambil kira perubahan demografi, keluasan geografi serta keperluan pembangunan setempat yang semakin berkembang.

Ahli Parlimen Igan, Ahmad Johnie Zawawi berkata, langkah itu bertujuan memastikan sistem perwakilan politik lebih seimbang selain mempertingkat penyampaian perkhidmatan kerajaan yang lebih baik dan berkesan kepada rakyat.

Menurutnya, cadangan pertukaran nama Parlimen Igan kepada Parlimen Batang Lassa dilihat lebih sesuai kerana ia mencerminkan keluasan geografi kawasan berkenaan yang lebih luas.

“Ini kerana kawasan Parlimen Igan ketika ini sangat luas iaitu kira-kira 2,250 kilometer persegi yang merangkumi penempatan pesisir sungai dan pedalaman. Kira-kira 45 peratus daripada pengundinya berada di kawasan pesisir sungai,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Ahmad Johnie berkata, cadangan berkenaan juga akan melibatkan pertambahan jumlah pengundi dengan komposisi masyarakat daripada pelbagai kaum, khususnya Melanau dan Dayak sebagai kumpulan pengundi terbesar selain kaum Cina.

Katanya, sekiranya cadangan itu diterima pakai, Parlimen Batang Lassa akan mempunyai tiga kawasan DUN iaitu Daro, Matu (sebelum ini Jemoreng) dan Igan (baharu).

“Cadangan ini akan memberi manfaat kepada rakyat kerana peranan wakil rakyat dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan menerusi tumpuan lebih khusus kepada kawasan kampung yang jauh di pedalaman termasuk rumah panjang di kawasan pesisir sungai,” ujarnya.

Beliau berkata, pengagihan peruntukan pembangunan juga dapat dirancang dan disalurkan mengikut keperluan sebenar setiap kawasan penempatan seperti projek jalan raya, bekalan air, elektrik serta akses kepada kemudahan kesihatan.

“Ini sekali gus dapat mempercepatkan pembangunan luar bandar dengan perhatian lebih khusus dalam pelbagai sektor sosioekonomi,” katanya.

Ahmad Johnie berkata, beliau tidak melihat sebarang cabaran besar terhadap cadangan persempadanan itu kerana matlamatnya adalah untuk memberi manfaat kepada rakyat.

Bagaimanapun, katanya, masyarakat perlu diberi kefahaman mengenai tujuan cadangan berkenaan supaya tidak timbul kekeliruan atau persepsi bahawa ia hanya untuk kepentingan politik tertentu.

“Pada peringkat awal mungkin pengundi akan keliru dengan perubahan nama atau sempadan kawasan, namun perkara itu boleh diatasi menerusi penerangan yang jelas kepada rakyat.

“Saya bersetuju dengan cadangan ini dan berharap ia dapat diluluskan demi kepentingan rakyat Sarawak,” katanya.

Oleh Akun Giman