
PADA suatu ketika dahulu, perkahwinan dianggap sebagai kemuncak kedewasaan serta suatu keperluan dalam kehidupan. Namun demikian, bagi Generasi Z, perkahwinan tidak lagi dilihat sebagai satu kepastian.
Jika generasi terdahulu menilai perkahwinan sebagai lambang kematangan, golongan muda masa kini mengambil pendekatan yang lebih berhati-hati dan selektif sebelum melangkah ke alam perkahwinan.
Bagi mereka, perkahwinan bukan semata-mata untuk memenuhi jangkaan masyarakat, sebaliknya merupakan satu komitmen besar yang menuntut persediaan rapi serta pertimbangan yang mendalam.
Perkahwinan Bukan Lagi Keutamaan Mutlak
Dalam dunia yang penuh cabaran, perkahwinan tidak lagi menjadi matlamat utama bagi ramai anak muda.
Kos sara hidup yang meningkat, ketidaktentuan ekonomi, serta tuntutan kerjaya yang semakin mendesak mendorong mereka untuk memberi tumpuan kepada perkembangan diri, kestabilan kewangan, dan kebebasan individu sebelum mempertimbangkan soal berkeluarga.
Lebih menarik, akses kepada pelbagai perspektif menerusi media sosial dan teknologi turut membentuk cara pemikiran generasi ini.
Jika dahulu kebahagiaan sering dikaitkan dengan kehidupan berkeluarga, kini ramai percaya bahawa kepuasan hidup boleh dikecapi tanpa perkahwinan.
Mereka lebih bebas menentukan hala tuju hidup tanpa perlu mengikut skrip masyarakat yang telah lama tertanam.
Namun, adakah norma sosial tentang perkahwinan benar-benar berubah atau sekadar menyesuaikan diri dengan arus zaman?
Perspektif Berbeza Mengenai Perkahwinan
Bagi mereka yang telah mendirikan rumah tangga, realiti perkahwinan sering kali berbeza daripada jangkaan.
Nelyna Hytes, 28, melihat perkahwinan sebagai satu institusi yang rapuh.
“Semua orang boleh berkahwin, tetapi mempertahankannya bukan sesuatu yang mudah. Lihat sahaja jumlah perceraian yang meningkat akibat kecurangan dan perbezaan yang tidak dapat didamaikan,” katanya.
Sebaliknya, bagi Nur Farhana Fuad, 25, perkahwinan adalah satu bentuk kestabilan.
“Saya mahukan pasangan yang bukan sekadar teman hidup, tetapi juga tempat saya berlindung. Hidup ini sukar, jadi sekurang-kurangnya saya mahu berkongsi perjalanan ini dengan orang yang tepat,” ujarnya.
Baginya, perkahwinan bukan hanya satu ikatan sosial, tetapi juga ibadah dalam Islam yang membawa ganjaran pahala.
Elvina Stanley, 26, pula percaya bahawa perkahwinan hari ini berbeza daripada masa lalu.

“Dalam dunia moden, perkahwinan lebih dikaitkan dengan kebebasan individu, kebahagiaan dan keserasian emosi. Pasangan masa kini lebih menitikberatkan pemahaman dan matlamat hidup bersama berbanding sekadar memenuhi tuntutan tradisi,” jelasnya.
Bagi Natalie Sharona Hong, 27, perkahwinan adalah satu titik perubahan besar.
“Ia bukan hanya soal cinta, tetapi tentang berkongsi pengalaman, berkembang bersama dan menyokong satu sama lain dalam semua aspek kehidupan,” katanya.
Faktor Mempengaruhi Keputusan Berkahwin
Bagi mereka yang masih belum berkahwin, kestabilan diri menjadi keutamaan. Nelyna mengakui bahawa beliau belum bersedia untuk berumah tangga kerana ingin mengejar impian seperti mengembara dan membina kestabilan kewangan serta spiritual. Farhana pula percaya bahawa perkahwinan boleh memberikan keseimbangan dalam kehidupan, terutama apabila seseorang sibuk dengan kerjaya.
Aspek kewangan turut memainkan peranan penting. Elvina menegaskan bahawa kehidupan berumah tangga memerlukan kos yang tinggi, terutamanya apabila mempunyai anak kelak.
“Kedua-dua pasangan perlu bekerja dan mempunyai kestabilan kewangan sebelum membuat keputusan untuk berkahwin,” katanya.
Natalie turut bersetuju bahawa kestabilan kewangan memberikan rasa selamat dan mengurangkan tekanan dalam hubungan. Namun, ada juga yang percaya bahawa kestabilan boleh dibina bersama selepas berkahwin.

Nelyna berkata bahawa keyakinan untuk berkahwin walaupun belum stabil berpunca daripada kepercayaan terhadap pasangan. “Terdapat individu yang mendirikan rumah tangga ketika mereka tidak memiliki apa-apa, namun akhirnya berjaya hasil daripada usaha bersama,” tambahnya.
Sebagai kesimpulan, perkahwinan dalam konteks masa kini bukan lagi suatu keperluan yang mesti dipenuhi, tetapi sebuah pilihan peribadi yang menuntut pertimbangan rasional dan emosional.
Generasi Z telah menunjukkan pendekatan yang lebih matang dan berhati-hati dalam menilai kesediaan mereka untuk berumah tangga, mencerminkan perubahan nilai serta keutamaan dalam masyarakat moden.
Oleh itu, dalam usaha mengekalkan makna dan keharmonian institusi perkahwinan, amat penting bagi setiap individu untuk membuat keputusan berdasarkan kesedaran, kefahaman, dan persediaan yang mendalam terhadap komitmen jangka panjang ini.
Oleh Amanda L.