
JULAU: Penanaman kelapa sawit dan lada yang menjadi sumber pendapatan utama penduduk Nanga Lasi kini semakin rancak dengan siapnya Jambatan Nanga Lasi.
Jambatan baharu tersebut menghubungkan kawasan pedalaman Julau, sekali gus memudahkan pemasaran hasil pertanian.
Tuai Rumah Nanja (Tr) dari Ulu Lasi berkata, penduduk di kawasannya kini amat memerlukan bekalan air bersih, bantuan untuk tanaman kelapa sawit serta bantuan baja dan racun bagi tanaman lada.

“Keperluan utama kami ketika ini adalah bekalan air bersih kerana sehingga kini, kawasan ini masih belum menerima bekalan air bersih daripada kerajaan.
“Selain itu, kami juga memerlukan bantuan berkaitan tanaman kelapa sawit. Kami berharap wakil rakyat dapat membantu memohon projek kebun kelapa sawit agar hasil tanaman kami dapat ditingkatkan.
“Apabila kelapa sawit bertambah, pendapatan kami di sini juga bertambah,” katanya ketika ditemui Utusan Sarawak di majlis perasmian Jambatan Nanga Lasi, hari ini.

Hadir bagi merasmikan jambatan baharu ini ialah Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
Tambah Nanja, penduduk juga berharap wakil rakyat kawasan ini iaitu Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meluan, Rolland Duat Jubin membantu dengan bantuan baja dan racun lada.
Sementara itu, Tr Ngipa dari Jalan KJD, Batu 12 berkata dengan adanya jambatan baharu tersebut, diharap penanaman kelapa sawit dan tanaman lain akan bertambah pada masa depan.
“Pembangunan di sini bertambah baik dengan adanya jambatan baharu ini. Seperti di kawasan Lasi ini, diharap lebih banyak penanaman kelapa sawit.
“Begitu juga, kawasan ini masih memerlukan bekalan air bersih,” katanya.
Sementara itu, dalam kenyataan media Cawangan Komunikasi Korporat Jabatan Kerja Raya (JKR), berkata jambatan keluli sepanjang 96 meter di Nanga Lasi ini dibina dengan kos RM4.7 juta bagi menggantikan jambatan gantung sedia ada yang uzur, sekali gus menyediakan laluan yang lebih selamat, pantas dan selesa kepada penduduk setempat.
Katanya, lebih istimewa, projek ini telah dinantikan oleh penduduk sekitar selama lebih 60 tahun.

“Sebelum ini, satu-satunya penghubung antara kedua-dua tebing hanyalah sebuah jambatan gantung kecil yang hanya sesuai digunakan oleh pejalan kaki, motosikal dan kenderaan ringan, sekali gus mengehadkan pergerakan penduduk serta membantutkan perkembangan ekonomi setempat.
“Pembinaan jambatan ini memberi manfaat langsung kepada sekitar 2,250 penduduk dikawasan sekitar termasuk Rumah Asun, Rumah Langgi, Rumah Achun, Rumah Moris, Rumah Unding dan Rumah Muling, selain sekolah Sekolah Kebangsaan (SK) Nanga Lasi dan Klinik Nanga Lasi.
“Jambatan ini menghubungkan kawasan Nanga Lasi Balut ke Rumah Ason, Rumah Langgi dan Suchong serta memudahkan pergerakan penduduk, barangan dan perkhidmatan antara Pekan Julau dengan bandar-bandar utama seperti Sarikei dan Sibu,” katanya.
Oleh Earl Anek