

TANJUNG MANIS: Tragedi bot karam di muara Pantai Belawai di sini yang mengorbankan 10 nyawa warga Indonesia pastinya akan terpahat dalam ingatan penduduk kampung di Belawai.
Tinjauan Utusan Sarawak sejak semalam dan hari ini di kawasan pantai tidak jauh dari lokasi bot karam mendapati kesepakatan dan kerjasama padu penduduk Kampung Belawai dengan agensi-agensi penyelamat amat menyentuh hati.
Bukan sahaja membantu dari segi logistik dan tenaga dalam operasi SAR, penduduk kampung turut bekerjasama menyediakan makanan dan minuman untuk agensi-agensi penyelamat dan orang ramai yang hadir di lokasi.
Penduduk kampung Belawai, Saolah Julaihi, 54, berkata mereka mengambil berat dengan tragedi bot karam yang berlaku.
“Dalam tiga hari ini, kami orang kampung bekerjasama dengan agensi-agensi penyelamat mencari mayat dan turut menyediakan makanan.
“Makanan-makanan ini adalah sedekah dari orang kampung…ada juga orang kampung bersedekah minyak enjin untuk kegunaan dalam operasi.
“Jadi, hari ketiga ini, Alhamdulillah semua mayat mangsa bot karam telah ditemui atas usaha penduduk kampung Belawai dan agensi-agensi penyelamat.
“Terima kasih kepada semua agensi penyelamat. Alhamdulillah syukur, semua jenazah telah dijumpai,” katanya ketika ditemu bual Utusan Sarawak, hari ini.
Antara juadah yang disediakan oleh penduduk kampung adalah kari ayam, kuih-muih, teh, kopi dan air mineral.
Oleh Earl Anek