
KOTA SAMARAHAN: Apa yang sepatutnya menjadi hari memancing yang tenang bertukar menjadi detik penuh debaran buat Eugene Caesar apabila berdepan pengalaman ngeri disergah buaya gergasi sambil ‘ditemani’ kelibat misteri di hulu Sungai Sarawak.
Minat Eugene dalam dunia memancing mula berputik sejak usia 15 tahun apabila dia diajak datuknya memancing di muara sungai menggunakan teknik pancing dasar atau dari darat.
Sejak itu, aktiviti memancing menjadi sebahagian daripada hidupnya.
“Bagi saya harga peralatan bukanlah satu isu,” katanya.
Katanya, pemancing sejati akan memilih peralatan berdasarkan kualiti dan ketahanan, bukan semata-mata kerana harganya murah atau mahal,” katanya.

Beliau bukan sekadar pemancing tepi-tepi sungai. Eugene pernah mengharumkan nama dalam beberapa pertandingan utama, termasuk meraih tempat kedua dalam Channa Master Kuching 2023 Trail Edition dengan tangkapan toman sepanjang 97 sentimeter, serta tempat keempat dalam Raja Toman Kuching 2025 menerusi tangkapan toman sepanjang 85 sentimeter.
Namun, semua pencapaian itu seakan pudar apabila beliau mengenang semula peristiwa hitam yang berlaku pada 19 Februari 2019, bertepatan dengan sambutan Chap Goh Meh.
Hari itu, cuaca terik dan air sungai yang jernih seakan memanggilnya untuk memburu toman.

Dalam perjalanan ke lokasi pertama, Eugene terlihat sosok seorang lelaki berkain pelikat kelabu gelap tanpa berbaju, berdiri di tengah kawasan hutan yang langsung tidak berpenghuni.
“Aneh… mana ada orang tinggal di sini,” getus hatinya.
Beberapa jam kemudian, ketika dalam perjalanan pulang lewat petang, bot yang dipandunya tiba-tiba terhenti. Propeler enjin tersangkut pada cebisan pokok pisang yang hanyut di sungai.
Saat cuba membetulkannya Eugene tersentak apabila seekor buaya raksasa sepanjang hampir 14 kaki berada hanya sejengkal dari botnya.
“Degupan jantung saya terasa mahu pecah. Saya cuba bertenang takut kalau buaya itu terkejut dan menyerang,” katanya.
Detik lega tidak lama. Sosok misteri yang dilihat pada awal pagi muncul lagi dan lagi di beberapa lokasi sepanjang sungai seolah-olah mengekori setiap gerakan botnya.

“Kali ini jarak cukup dekat untuk melihat jelas wajah gelap tubuh tanpa baju hanya berkain pelikat kelabu berjalur hitam.
“Saya tak berani menoleh lagi cuma memecut bot sekuat hati. Tapi apabila tiba di muara sungai saya sedar sosok itu masih mengikuti dari tebing,” katanya mengakui bulu roma menegak hingga ke hujung rambut.
Menurutnya suasana hulu sungai ketika itu begitu sunyi sehingga bunyi percikan air dari dayung dan deruan enjin kecil terasa bergema.
Bayangan pepohon di tebing sungai yang semakin gelap menambahkan rasa seperti ada mata memerhatikan setiap gerakan.
Dalam hati hanya ada satu harapan iaitu untuk sampai ke jeti sebelum malam menutup seluruh pandangan.

Eugene berkata buaya yang dilihatnya bukan sekadar besar malah gerakannya sangat perlahan seolah-olah sedang menilai sama ada mahu menyerang atau sekadar mengintai.
“Matanya merah kekuningan merenung tepat ke arah saya. Saya cuma mampu berdoa agar ia tidak membuat gerakan mengejut,” ujarnya.
Beliau juga tidak dapat melupakan detik ketika sosok misteri itu seakan muncul di setiap selekoh sungai.
“Kadang-kadang ia berdiri kaku di gigi air. Kadang-kadang hilang begitu saja. Bila muncul lagi saya mula rasa seperti bot saya tidak bergerak ke hadapan tetapi berpusing di tempat yang sama,” katanya.
Bagi Eugene memancing bukan sekadar hobi. Ia adalah terapi jiwa yang menghubungkan manusia dengan alam melatih kesabaran dan memberi ketenangan.
Namun pengalaman itu membuatkan beliau berpesan kepada semua pemancing khususnya di kawasan berisiko.
“Jangan sekali-kali pulang lewat petang. Peka terhadap keadaan sekeliling. Jika hati rasa tidak sedap ubah lokasi atau terus pulang.
“Air sungai memang penuh rezeki tetapi juga penuh misteri,” katanya menutup cerita dengan pandangan yang jelas masih menyimpan seribu tanda tanya.
Oleh Norman B