
SARIKEI: Pelbagai strategi, program dan inisiatif terus dilaksanakan oleh kerajaan Sarawak bagi memperkasa wanita dan kanak-kanak serta memperkukuh sistem sokongan sosial di negeri ini.
Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti, Dato Sri Fatimah Abdullah, berkata usaha tersebut selaras dengan komitmen kementeriannya untuk memperkukuhkan agenda kepelbagaian, kesaksamaan dan keadilan peluang dalam pelbagai bidang.
“Sempena sambutan Hari Wanita Antarabangsa, kami di kementerian komited untuk memperkukuhkan agenda kepelbagaian, kesaksamaan dan keadilan dalam kepimpinan, keusahawanan dan sokongan sosial agar setiap wanita dan kanak-kanak perempuan berpeluang untuk maju serta mencapai potensi maksimum.
“Antara inisiatif yang dilaksanakan termasuk bantuan kebajikan kepada golongan ibu tunggal miskin melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM),” katanya ketika dihubungi Utusan Sarawak, hari ini.

Katanya, setakat 2025, seramai 6,692 ibu tunggal miskin menerima bantuan bulanan JKM dengan jumlah keseluruhan bantuan mencecah RM36 juta.
“Kerajaan Sarawak turut menyalurkan Bantuan Ibu Bersalin (BIB) sebanyak RM450, yang telah memberi manfaat kepada 94,955 penerima dengan jumlah perbelanjaan RM42.7 juta pada 2025.
“Dalam usaha memperkukuh ekonomi wanita, kerajaan negeri turut menyediakan bantuan keusahawanan sebanyak RM1,000 kepada ketua isi rumah (KIR) wanita serta bantuan kepada usahawan wanita bagi membeli peralatan perniagaan.
Beliau turut menjelaskan bahawa usaha memperkasa wanita bukan sahaja tertumpu kepada aspek ekonomi, malah melibatkan pembangunan kepimpinan dalam kalangan generasi muda.

“Antara program yang dilaksanakan termasuk kem latihan (boot camp) kepimpinan bagi memperkasa kanak-kanak dan belia perempuan supaya mereka lebih yakin dan bersedia memegang peranan kepimpinan pada masa hadapan,” katanya.
Tambahnya, kerajaan Sarawak juga memberi penekanan terhadap pembangunan pendidikan wanita melalui Kursi Datuk Amar Juma’ani di Universiti Swinburne yang menawarkan tiga biasiswa setiap tahun kepada wanita di ASEAN Women Leadership University College di Pulau Pinang bagi membangun, memperkasa pemimpin dan kepimpinan wanita.
“Semua usaha tersebut bertujuan memastikan wanita dan kanak-kanak perempuan di negeri ini terus diberi peluang untuk maju serta menyumbang kepada pembangunan negeri.
“Melalui pelbagai inisiatif ini, kita mahu memastikan wanita dan kanak-kanak perempuan mampu mencapai potensi maksimum mereka serta bersama-sama menyumbang kepada Sarawak yang maju, progresif, makmur dan sejahtera,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut mengucapkan terima kasih kepada penulis kerana menjadi suara beliau dan kementerian.
“Terima kasih kerana menjadi suara saya dan kementerian, memahami perasaan wanita dan bersama-sama memperkasa wanita Sarawak,” katanya.
Oleh Earl Anek