
SIBU: Tatkala dunia moden dipenuhi hiruk-pikuk dan ramai anak muda sibuk mengejar kerjaya serta gaya hidup serba pantas, seorang pastor muda dari Daro memilih jalan berbeza dengan menenun semula benang warisan bangsanya yang hampir hilang ditelan zaman.
Remy Anand Jueng, 30, bukan sekadar seorang pastor berdedikasi yang membimbing rohani umat di gereja, tetapi juga penenun muda yang menghidupkan kembali seni tenun Karap, warisan turun-temurun masyarakat Iban. Baginya, setiap helaian tenunan bukan hanya kain, tetapi lambang kasih, identiti dan anugerah Tuhan yang perlu dipelihara.

Berasal dari Nanga Semah, Daro dan kini menetap di Sibu, Remy mula berjinak dengan dunia tenunan sejak 2023. Segalanya bermula daripada keinginan peribadi untuk memiliki pakaian tradisional Iban yang sukar diperoleh dan mahal harganya.
“Saya gemar memakai pakaian tradisional dan sering menghadiri majlis keramaian. Tapi bila melihat harganya yang tinggi, saya berazam untuk belajar menenun agar dapat hasilkan sendiri,” katanya sambil tersenyum.
Ilmu tenunan itu dipelajarinya daripada nenek serta rakan-rakan yang sudah lama bergiat dalam bidang tersebut. Dari situ, Remy mula jatuh cinta terhadap setiap simpulan benang dan corak yang terlukis di atas kain.

“Seni tenunan ini bukan sekadar kain. Ia lambang jati diri kita sebagai masyarakat Iban. Teknik mungkin serupa dengan kaum lain, tapi motifnya yang menghidupkan semangat Borneo dalam setiap helaian,” ujarnya penuh bangga.
Sebagai seorang pastor, Remy melihat tenunan sebagai satu bentuk ibadah dan refleksi kerohanian.
“Apabila saya menenun, saya berdoa. Setiap simpulan benang mengingatkan saya tentang kesabaran dan kasih Tuhan yang menyatukan kehidupan kita,” jelasnya dengan nada tenang.
Proses menenun bukanlah sesuatu yang mudah. Ia bermula dengan ‘nabo ubung’ (menggulung benang menjadi bola kecil), diikuti ‘ngirit’, ‘ngarap belebas’, ‘bebungan’, memilih motif atau buah, sebelum proses menenun dilakukan. Setiap langkah menuntut kesabaran dan ketelitian yang tinggi sesuatu yang baginya melatih jiwa agar lebih dekat dengan Tuhan.
Menurut Remy, untuk menyiapkan sehelai kain sepanjang dua meter, beliau memerlukan sekurang-kurangnya tiga minggu.
“Setiap minit di hadapan alat tenun memberi ketenangan dan kepuasan tersendiri. Saya anggap ia masa untuk berdoa dan merenung makna kesabaran,” katanya.

Motif tenunannya banyak diilhamkan daripada alam sekitar iaitu tumbuhan, haiwan dan buah-buahan manakala benang yang digunakan terdiri daripada poliester pintal, nilon dan benang sulam yang menambahkan kilauan pada hasil akhir.
Namun, perjuangan memartabatkan seni ini tidak selalu mudah.
“Ada yang pelik bila tahu saya menenun. Mereka anggap kerja ini untuk wanita. Tapi saya tidak peduli. Dulu lelaki jarang menenun sebab mereka keluar berburu atau bekerja di luar. Sekarang zaman sudah berubah. Tiada salahnya lelaki menenun,” katanya sambil tersenyum.
Bagi Remy, menenun bukan sekadar hobi, tetapi satu misi dan panggilan jiwa memastikan warisan tenun Karap terus hidup.
“Saya mahu anak muda, lelaki atau perempuan, belajar menenun. Ini identiti kita, ini warisan kita. Tuhan beri kita bakat dan tanggungjawab kitalah untuk menggunakannya demi kebaikan,” ujarnya tegas.

Kini, Remy turut memanfaatkan media sosial untuk mempromosikan hasil tangannya. Video-video yang dikongsikan menarik perhatian ramai, malah ada yang mula menempah atau berhasrat belajar daripadanya. Baginya, teknologi bukan ancaman, sebaliknya jambatan yang menghubungkan tradisi lama dengan dunia moden.
Di penghujung perbualan, pastor muda itu tersenyum sambil memegang sehelai kain tenunan yang baru siap.
“Setiap benang yang saya tenun adalah doa agar seni ini terus hidup, agar generasi akan datang menghargai ciptaan Tuhan dalam budaya sendiri,” ujarnya.
Dalam setiap sulaman tangan Remy Anand tersimpan kisah seorang anak muda yang tidak membiarkan warisan nenek moyang lenyap begitu sahaja sebaliknya menghidupkannya kembali dengan kasih dan iman, sebagai sinar baharu dalam kehidupan masyarakat hari ini.
Oleh Norman B