
BEKENU: Seorang pastor berusia 67 tahun yang mengalami masalah pendengaran melahirkan rasa syukur kerana terselamat daripada menjadi mangsa kebakaran yang memusnahkan Gereja Borneo Evangelical Mission (BEM) Sungai Bakas, Sibuti malam tadi.
Pastor Ibrahim Anyik, yang berbangsa Kayan, berkata beliau tidak berada di gereja ketika kejadian berlaku pada 11.52 malam kerana turun ke Miri pada sebelah petang untuk membuat persediaan menghadiri satu majlis di bandar tersebut keesokan harinya.
“Saya sangat bersyukur kerana masih selamat. Jika saya berada di gereja malam tadi, mungkin sesuatu yang lebih buruk boleh berlaku memandangkan saya mempunyai masalah pendengaran.

“Tambahan pula, bilik tidur di gereja tiada jalan keluar kerana semua tingkap dipasang jeriji besi, manakala pintu utama pula agak jauh dari bilik tidur,” katanya ketika ditemui Utusan Sarawak hari ini.
Pastor Ibrahim mula bertugas di Gereja BEM Sungai Bakas sejak April 2025.
“Kejadian itu hanya saya ketahui apabila dimaklumkan anak sekitar 12.00 tengah malam, ketika itu saya sudah masuk tidur di rumah. Antara dokumen penting yang musnah ialah kad hijau kenderaan dan dokumen insurans,” jelasnya.
Isterinya, Sidai Lawai, 60 tahun, turut melahirkan rasa syukur atas keselamatan suaminya.
Ketua Bahagian Forensik Kebakaran Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Zon 6 Miri, Awangku Mohd Hazmin Awang Zainal, turut hadir di lokasi kejadian untuk mendapatkan maklumat lanjut.
Gereja berkenaan dibina pada 1993 dan menjadi tempat ibadah bagi penduduk rumah panjang berhampiran Sungai Bakas.
Turut hadir di lokasi kejadian ialah Setiausaha Sulit kepada Timbalan Menteri Pembangunan Wanita dan Kanak-kanak yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bekenu Datuk Rosey Yunus, iaitu William Changgai.
Oleh Adum Liu