Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • INSPIRASI
  • Eksklusif: Noonabride Kuching tawar busana pengantin 4XL, tingkat keyakinan wanita pelbagai saiz
  • INSPIRASI

Eksklusif: Noonabride Kuching tawar busana pengantin 4XL, tingkat keyakinan wanita pelbagai saiz

Utusan Sarawak 3 hours ago
PENGASAS Noonabride Kuching, Nur Izzati Masli (tengah), 33, anak jati Demak Laut, Kuching.

KUÇHING: Saat kebanyakan butik pengantin masih menawarkan pilihan saiz yang terhad, Noonabride Kuching tampil dengan pendekatan berbeza apabila menyediakan busana pengantin sehingga saiz 4XL.

Langkah ini diambil bagi memastikan setiap wanita, tanpa mengira bentuk tubuh, dapat tampil yakin pada hari terpenting dalam hidup mereka.

Noonabride bermula secara kecil-kecilan sekitar tujuh tahun lalu di rumah dengan hanya enam pasang gaun, lahir daripada minat mendalam pengasasnya terhadap rekaan busana.

PENGASAS Noonabride Kuching, Nur Izzati Masli menjahit sulaman pada busana pengantin.

Permintaan pelanggan yang kian meningkat kemudiannya mendorong penubuhan sebuah butik di Kuching, yang kini menawarkan sentuhan lebih pelbagai, moden dan eksklusif.

Pengasas Noonabride Kuching, Nur Izzati Masli, 33, anak jati Demak Laut, Kuching, berkata kekurangan pilihan reka bentuk terkini dan keterbatasan variasi fesyen di pasaran tempatan serta masalah kekangan saiz menjadi pendorong utama beliau menceburi bidang bridal.

TAWARKAN BUSANA SAIZ 4XL

“Noonabride terkenal kerana menawarkan busana sehingga saiz 4XL bagi memastikan wanita bersaiz besar tidak lagi terpinggir dalam membuat pilihan busana pada hari bahagia mereka.

“Saya sentiasa percaya setiap wanita berhak merasa paling cantik pada hari terpenting dalam hidup mereka tanpa perlu risau dengan pilihan saiz yang terhad,” katanya.

HASIL solekan profesional dari team Noonabride, menyerlahkan kecantikan pelanggan.

Dalam mengembangkan perniagaan, beliau disokong oleh ahli keluarga dan pasukan yang berdedikasi, selain bekerjasama dengan pasukan dekorasi pelamin Qaseh Sha serta mempunyai pasukan solekan, pengukir inai dan katering bagi memastikan pelanggan menerima perkhidmatan menyeluruh.

Tambah Nur Izzati, Noonabride menawarkan perkhidmatan sewaan busana, rekaan khas, koleksi curated, pakej pelamin dan dekorasi majlis, khidmat solekan, ukiran inai pengantin, penggayaan praperkahwinan dan acara rasmi, serta perkhidmatan katering.

“Keunikan Noonabride terletak pada gaya rekaan yang kemas, identiti yang jelas dan sentuhan eksklusif, di samping menyediakan busana bersaiz besar yang jarang ditawarkan secara meluas oleh butik lain.

“Sebahagian besar koleksi Noonabride merupakan rekaan original sendiri, manakala selebihnya adalah koleksi curated bagi memberi lebih banyak pilihan berdasarkan bajet dan citarasa pelanggan,” jelasnya.

IKUT PERKEMBANGAN FESYEN GLOBAL

DEKORASI pelamin eksklusif daripada pasukan Qaseh Sha, lengkap dengan sentuhan budaya tempatan.

Mengulas lanjut, bagi memastikan rekaan sentiasa relevan, Noonabride mengikuti perkembangan fesyen global dan mengadaptasi trend seperti konsep minimalis, ‘clean look’ dan palet warna pastel yang digabungkan dengan elemen etnik, tekstur tradisional dan aksesori warisan.

“Identiti rekaan turut diperkukuhkan menerusi gabungan elemen moden dengan budaya tempatan termasuk penggunaan fabrik songket tenunan, elemen pua kumbu, warna tradisional serta aksesori etnik seperti gandik, sanggul lintang dan dokoh rantai dalam sentuhan moden.

“Pelanggan utama Noonabride terdiri daripada pasangan muda dan pengantin yang mahukan konsep kelainan, termasuk mereka yang mencari konsep berteraskan adat Iban, Bidayuh, Melayu Sarawak, Melanau serta konsep klasik seperti Gadjah Olen,” tambahnya.

REKAAN busana Noonabride yang menggabungkan elemen moden dan tradisional Sarawak. 

Menurut Nur Izzati, cabaran terbesar pada peringkat awal ialah membina kepercayaan pelanggan dalam industri yang bergantung sepenuhnya kepada reputasi dan hasil kerja.

“Persaingan yang tinggi tidak menghalang Noonabride untuk terus berkembang kerana mengutamakan kejujuran, ketelitian serta kesediaan bertanggungjawab jika terdapat kekurangan dalam perkhidmatan.

“Setiap maklum balas pelanggan, termasuk kritikan, dijadikan sebagai panduan untuk penambahbaikan agar perkhidmatan sentiasa dipertingkatkan,” luahnya.

PENGALAMAN PALING MANIS

Antara pengalaman paling manis baginya ialah melihat pelanggan yang pada awalnya ragu-ragu dan kurang yakin terhadap diri akhirnya tersenyum bangga apabila mengenakan busana rekaan Noonabride.

Nur Izzati sedang merancang untuk membuka cawangan baharu dalam beberapa tahun akan datang selain memperkukuh platform digital bagi memudahkan tempahan secara dalam talian.

“Saya berharap industri bridal di Sarawak akan terus berkembang dengan lebih ramai pereka tempatan berani mengangkat identiti Sarawak ke peringkat lebih tinggi dan membina satu ekosistem kreatif yang membanggakan negeri.

“Sebagai nasihat, sangat menggalakkan usahawan muda untuk memulakan perniagaan berasaskan minat yang kukuh, membina identiti sendiri dan tidak takut bermula dari bawah, serta menjadikan kesabaran, kejujuran dan kreativiti sebagai kunci utama,” ujarnya.

Oleh Masrin Affirah

Tags: inspirasi

Continue Reading

Previous: LCDA rangkul pengiktirafan inisiatif komuniti di ACES Awards 2025

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.