Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • HIBURAN
  • Eksklusif: Naskah ‘Resonansi’ cabar budaya berdiam diri dalam isu keganasan rumah tangga
  • HIBURAN

Eksklusif: Naskah ‘Resonansi’ cabar budaya berdiam diri dalam isu keganasan rumah tangga

Utusan Sarawak 3 hours ago
QAWIEM Hamizan, pengarah Resonansi, ketika ditemui Utusan Sarawak selepas pementasan projek teater Spirit Beyond Silence di Panggung Eksperimen, Fakulti Seni Gunaan dan Kreatif (FSGK), semalam. Foto Nadya Victoria 

KOTA SAMARAHAN: Pementasan teater Resonansi tidak cuba memujuk penonton dengan tragedi yang berlebihan. Sebaliknya, ia menolak satu perkara yang lebih sukar iaitu budaya berdiam diri.

Dalam ruang pementasan itu, kesunyian bukan sekadar elemen dramatik, sebaliknya gambaran kepada realiti mangsa keganasan rumah tangga yang memilih untuk terus diam walaupun berdepan penderitaan.

Pengarahnya, Qawiem Hamizan berkata, ramai mangsa keganasan rumah tangga bukan gagal bersuara kerana tidak tahu ke mana perlu pergi, tetapi kerana mereka tidak mempunyai kekuatan untuk melakukannya.

“Mungkin ada saluran bantuan, tetapi persoalannya ialah diri mereka sendiri. Adakah mereka sudah bersedia untuk mendapatkan bantuan?” katanya.

Beliau berkata demikian kepada Utusan Sarawak selepas pementasan projek teater Spirit Beyond Silence di Panggung Eksperimen, Fakulti Seni Gunaan dan Kreatif (FSGK) Universiti Malaysia Sarawak (Unimas) semalam.

Menurut beliau, Resonansi yang merupakan sebahagian daripada projek Spirit Beyond Silence di bawah Teater dalam Pendidikan (TIE) dibina atas realiti yang tidak asing dalam masyarakat iaitu trauma, stigma dan tekanan sosial yang membungkam suara wanita.

Nama Resonansi sendiri, jelasnya, dipilih bagi menggambarkan bagaimana suara, bunyi dan gema dalam masyarakat saling bertembung, tetapi tidak semuanya didengari.

(DARI KANAN) Qawiem Hamizan bersama Hanis Ali, dan wakil Persatuan Wanita untuk Wanita Sarawak (SWWS) sebelum pementasan bermula di Panggung Eksperimen, Fakulti Seni Gunaan dan Kreatif (FSGK), Universiti Malaysia Sarawak (Unimas). Foto Adele Rissa

Dalam naratif pementasan itu, diam bukan bermaksud reda. Sebaliknya, ia sering menjadi mekanisme bertahan dalam situasi yang sukar untuk dilepaskan.

Namun bagi Qawiem, mesej utama pementasan ini bukan tentang keluar daripada perkahwinan atau hubungan, sebaliknya tentang mencari bantuan.

“Bersuara bukan bermaksud bercerai. Bersuara bermaksud mencari bantuan supaya kehidupan boleh dibina semula dengan lebih baik,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata pementasan tersebut turut mendapat sokongan dan input daripada Persatuan Wanita untuk Wanita Sarawak (SWWS) yang membantu memastikan naratif yang dibawa berasaskan realiti kes keganasan rumah tangga sebenar.

Kerjasama itu penting bagi memastikan pementasan tidak hanya bersifat dramatik, sebaliknya menjadi ruang refleksi kepada masyarakat terhadap isu yang sering tidak didengari.

Beliau turut menjelaskan bahawa Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) memainkan peranan penting dalam memberi pendedahan kepada pasukan produksi mengenai saluran bantuan yang tersedia, termasuk kaedah mendapatkan perlindungan dan khidmat kaunseling.

PELAKON membawa watak dalam salah satu babak Resonansi yang menggambarkan tekanan emosi serta konflik dalam isu keganasan rumah tangga melalui gerak tubuh dan ekspresi pentas. Foto Adele Rissa

Sebelum pementasan, pihak JKM turut mengadakan sesi taklimat kepada produksi mengenai langkah-langkah yang boleh diambil sekiranya berdepan situasi keganasan rumah tangga serta bentuk bantuan yang boleh diakses oleh mangsa.

Dari sudut pementasan pula, Qawiem yang juga pensyarah kursus Drama dan Teater FSGK, Unimas turut menekankan penggunaan konsep ensemble dalam kalangan 15 pelakon pelajar tahun dua yang terlibat.

Menurutnya, pendekatan itu bukan sahaja membentuk disiplin kerja berpasukan, tetapi juga membantu pelajar memahami bagaimana emosi dan masyarakat boleh diterjemahkan secara kolektif di atas pentas.

“Pelakon-pelakon ini masih pelajar dan saya melihat mereka sebagai pelakon amatur yang sedang dibentuk ke arah profesional.

“Cabaran utama ialah bagaimana mereka bergerak sebagai satu pasukan yang seiring dari segi emosi dan tenaga di atas pentas.

“Saya tidak mencari pergerakan yang cantik semata-mata, tetapi keseragaman dan kesatuan sebagai satu ensemble,” jelasnya.

Beliau menambah, pendekatan teater di peringkat universiti juga memberi ruang kepada pelajar untuk membina kreativiti yang boleh diaplikasikan dalam pelbagai bidang, bukan hanya seni persembahan.

Oleh Adele Rissa

Continue Reading

Previous: Eksklusif: “Kita yang perlu arah AI” – pesanan pensyarah Unimas tentang teknologi dalam teater
Next: Senario gegar Tebingan Sungai Lawas dengan persembahan mantap dihadapan puluhan ribu peminat

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.