
SIBU: Dari meja sarapan ke majlis rasmi, nasi lemak sentiasa hadir sebagai juadah yang dekat di hati rakyat Malaysia tanpa mengira bangsa.
Mengangkat semangat itu, pasangan suami isteri, Chang Fang Phem Aaron dan Angela Merringgai, tekad menjadikan Nasi Lemak Big Boss yang beroperasi di Sungai Merah, Sibu, sebagai platform menyatukan selera pelbagai kaum di Sibu.

Idea perniagaan ini tercetus selepas mereka beberapa kali berkunjung ke Kuala Lumpur dan melihat konsep nasi lemak berlauk yang begitu popular.
Menyedari konsep itu jarang ditemui di Sarawak, khususnya di Sibu, mereka membawa pulang inspirasi untuk memperkenalkan variasi lauk kepada peminat nasi lemak tempatan.
“Kalau di Kuala Lumpur, lauk nasi lemak lebih tertumpu kepada daging. Di sini, kami cuba tampilkan kelainan dengan memperkenalkan pelbagai lauk berasaskan sayuran. Kami dapati pelanggan, terutama komuniti Cina di Sibu, sangat menggemari lauk sayuran,” kata Aaron.
Antara pilihan yang sering mendapat sambutan ialah terung sambal, sayur cangkuk manis dan sayuran kampung yang jarang terdapat di Semenanjung.
Namun, lauk tetap seperti ayam berempah, daging masak hitam, sambal sotong dan sambal tumis petai kekal menjadi pilihan utama pelanggan.
Kualiti sentiasa menjadi keutamaan. Sejak mula beroperasi, mereka menggunakan beras basmati yang jarang digunakan untuk nasi lemak di Sibu.
Sambalnya pula berasaskan cili, bawang merah, halia dan bawang bombay, tanpa belacan atau udang kering bagi mengelakkan alahan. Semua bahan mentah diperoleh daripada pembekal yang disahkan halal.
Kepercayaan Dan Status Halal
Namun perjalanan mereka tidak terlepas daripada cabaran. Antara yang terbesar ialah isu halal.
Pada awal pembukaan, label seperti ‘Muslim Friendly’ atau ‘No Pork Served’ menimbulkan tanda tanya dalam kalangan pelanggan Muslim.

“Kami faham isu ini sensitif, sebab itu kami terus berterus terang. Kami nyatakan bahawa semua bahan mentah dan peralatan kami halal, pekerja kami majoritinya Muslim termasuk tukang masak, malah kami sedang dalam proses mendapatkan sijil halal rasmi,” jelas Aaron.
Bagi Angela, halal bukan sekadar bahan makanan. “Ia juga melibatkan kebersihan premis dan cara penyediaan. Kami utamakan bahan mentah yang sah halal, dan jika ada keraguan, kami akan rujuk ustazah yang menjadi penasihat kami. Dari situ, pelanggan mula nampak kesungguhan kami,” katanya.
Langkah itu nyata berhasil. Jika pada awalnya ada keraguan, kini pelanggan Muslim semakin ramai, malah ada yang menyebarkan reputasi Nasi Lemak Big Boss dari mulut ke mulut.
Kepelbagaian Menu
Walaupun sinonim dengan nasi lemak, pasangan ini turut memperkenalkan pelbagai menu lain seperti nasi goreng, mi goreng, kampua ayam, kampua daging, char kueh teow basah/kering, char kueh teow tomato, mi mamak, bihun basah/kering serta bihun goreng Singapura.
“Semua orang ada cita rasa berbeza. Ada hari orang mahu nasi lemak, ada hari orang mahu char kueh teow. Kami mahu pelanggan rasa selesa kerana ada banyak pilihan,” ujar Angela.
Kuasa Media Sosial
Selain cita rasa dan usaha mengekalkan kepercayaan, rahsia kejayaan Nasi Lemak Big Boss turut disumbangkan oleh strategi pemasaran digital. Facebook dan TikTok dijadikan medium utama untuk menghebahkan promosi serta menu harian.


POSTER promosi nasi lemak istimewa yang semakin mendapat perhatian pelanggan setia dan gambar kanan menunjukkan menu kampua ayam dan kampua daging.
“Kebanyakan pelanggan akan semak Facebook kami untuk tahu lauk apa yang ada. Tapi kadang-kadang kami sengaja tidak kemas kini, supaya mereka datang sendiri ke kedai dan lihat pilihan lauk,” kata Aaron sambil ketawa kecil.
Menariknya, mereka memberi kebebasan kepada pekerja muda menghasilkan kandungan kreatif di TikTok.

Hasilnya, pelanggan berasa lebih dekat dengan Nasi Lemak Big Boss melalui video-video santai dan konten yang mudah dihayati.
Rancang Luaskan Cawangan
Dari segi lokasi, outlet mereka kini terletak di kawasan strategik berhampiran sekolah, pejabat kerajaan dan pasar raya. Ia menjadi faktor penting kepada sambutan pelanggan terutama pada waktu puncak.
Buat masa ini, Aaron dan Angela mahu menumpukan perhatian untuk mengukuhkan jenama di Sibu terlebih dahulu sebelum merancang membuka cawangan baharu, termasuk di Kuching.

Malah mereka turut terbuka kepada peluang francais dan kerjasama dengan pempengaruh media sosial bagi memperluas capaian pasaran.
Semangat Hari Malaysia
Bagi Aaron, kejayaan Nasi Lemak Big Boss bukan sekadar keuntungan, tetapi bagaimana makanan ini menjadi simbol penyatuan rakyat Malaysia.
“Kalau dilihat, nasi lemak bukan hanya disukai orang Melayu. Kaum lain pun suka, daripada kanak-kanak sampai ke orang tua.
“Sebab itu kami percaya nasi lemak boleh diterima sepanjang zaman. Ia bukan makanan viral, tapi makanan yang kekal,” katanya.
Bagi Angela pula, motivasi mereka datang daripada sikap melihat perniagaan itu sebagai ‘anak sendiri’.
“Saya harus jadi pemimpin yang baik, bukan saja untuk pelanggan tetapi juga untuk pekerja. Kalau kami rasa ‘down’, kami tidak boleh tunjuk depan staf. Sebab kami tahu semangat mereka juga bergantung pada kami,” ujarnya.
Dengan pelan untuk membuka francais pada masa depan, pasangan ini percaya Nasi Lemak Big Boss akan terus menjadi medium yang menyatukan selera pelbagai kaum, seiring semangat Hari Malaysia yang diraikan setiap 16 September.
Oleh Adele Rissa
