
PASAR bukan sekadar tempat jual beli, tetapi juga pentas kecil kehidupan.
Tinjauan Utusan Sarawak seawal 7.00 pagi hingga 11.00 pagi tadi, suasana di Tamu Sentral Sarikei dan Pasar Sentral Sarikei meriah dengan kehadiran pengunjung yang datang untuk membeli-belah dan para peniaga yang tengah sibuk melayan pelanggan di gerai mereka.
Di tengah-tengah hiruk pikuk Tamu Sentral Sarikei, kelihatan buah dabai dan buah engkalak mula kembali ke meja jualan.

Warna buah dabai yang kehitaman dan buah engkalak yang merah jambu lembut menjadi tanda awal bahawa musim dua buah eksotik Sarawak itu sudah mula menjengah.
Walaupun belum ramai peniaga yang menjualnya, kemunculan awal ini menandakan kitaran ekonomi bermusim yang menjadi nadi kepada kehidupan pekebun kecil di sekitar Sarikei.

“Saya tanam sendiri dabai dan engkalak di kebun saya di Kim San. Musim baru baru saja bermula, belum banyak hasil tapi kualiti buah tahun ni nampak bagus,” kata Lam, peniaga veteran berumur 63 tahun yang ditemui Utusan Sarawak di Tamu Sentral Sarikei.
Lam menunjukkan buah dabai bersaiz besar yang dijualnya pada harga RM55 untuk satu kilogram (kg) manakala engkalak pula berharga RM10 hingga RM12 untuk satu kg.

Selain itu, aroma daun kesum, serai, halia dan ikan segar memenuhi udara, menandakan kehidupan ekonomi Sarikei masih subur.
Dari nanas Sarikei yang terkenal dengan kemanisan semula jadinya hingga ke petai, labu dan sayur kampung, semuanya dijual oleh peniaga tempatan yang masih setia berniaga demi mencari rezeki.
Di pekarangan Pasar Sentral Sarikei, peniaga lain sibuk melayan pelanggan yang memilih hasil laut seperti ikan, udang, sotong dan ketam yang masih segar.

Gabungan hasil laut dan hasil darat menjadikan pasar ini simbol kepelbagaian ekonomi rakyat Sarikei.
Tamu Sentral dan Pasar Sentral Sarikei bukan sahaja tempat orang membeli barang dapur, tetapi juga ruang sosial tempat komuniti bertemu, bertukar cerita dan membina keakraban.

Setiap senyuman, setiap tawar-menawar dan setiap hasil yang dijual adalah cerminan daya tahan rakyat kecil yang terus hidup dengan jujur dan berdikari.
Di bawah bumbung besi yang meneduhkan ribuan cerita ini, pasar Sarikei terus bernafas membawa bersama tradisi, rezeki dan harapan bahawa hasil Bumi Kenyalang akan kekal menjadi kebanggaan rakyatnya untuk generasi mendatang.
Oleh Earl Anek