
Di sebalik kehijauan hutan Kampung Tijirak Siburan, lahirlah seorang wanita muda yang memilih untuk percaya pada alam dan berjanji setia kepada tanah.
Angela Caesarina Samana, pengasas kepada jenama Madu Kelulut Sulu, yang bukan sekadar menghasilkan madu, tetapi menyulam impian dan menyimpan doa dalam setiap titis keemasan itu.
Pada Disember 2016, tatkala ramai seusianya memilih kota sebagai pentas hidup, Angela memilih sebaliknya. Dia kembali ke kampung, ke tanah sendiri yang penuh sejarah, dan membina kehidupan di sisi sarang-sarang kelulut yang bersahaja. Di sinilah dia menemui makna tenang, dan dari sinilah dia memulakan perjalanan sunyi yang penuh harapan.
Lebah yang dijinakkannya bukan lebah biasa. Ia spesies Heterotrigona itama, si kecil tanpa sengat, namun penghasil madu paling tulen. Madu yang dikumpulnya bukan sekadar manisan alam, tetapi rahmat dari hutan, penawar yang menyembuh, menguatkan tubuh, merawat luka, dan menyegarkan jiwa yang lelah.


ANTARA produk madu kelulut keluaran Madu Kelulut Sulu.
Angela bukan seorang pemilik ladang, dia seorang penjaga warisan. Setiap botol madu yang dikemaskan adalah cerita tentang sabar, usaha dan keyakinan. Dalam dunia yang semakin melupakan keaslian, dia memilih untuk kembali ke sumber alam, kepada yang murni, yang tidak disadur oleh bahan kimia dan tipu daya.
Misi Angela jelas, dia mahu Madu Kelulut Sulu menembusi sempadan geografi. Dia mahu madu dari Tijirak ini sampai ke kota dunia. Tapi lebih dari itu, dia mahu orang ramai kembali mengenali khasiat alam. Dia mahu setiap orang sihat bukan kerana ubat, tetapi kerana alam yang dijaga dan dihargai.
Tidak ramai anak muda memilih jalan ini. Jalan yang sunyi, penuh lumpur dan pengorbanan. Tapi Angela percaya, bahawa di balik keheningan hutan, ada suara yang kuat sedang memanggil. Suara tanah, suara warisan, suara tanggungjawab.
Kini, produk Angela mula dikenal. Dari rumah ke rumah, dari pasar ke pasar, dan tidak lama lagi, dari kota ke kota. Setiap titis madu itu membawa nama Kampung Tijirak bersama. Setiap sudu adalah pesan bahawa impian tidak perlu megah, cukup ia jujur dan bersungguh.

Angela Caesarina bukan sekadar usahawan. Dia seorang penyair alam yang menulis puisi kehidupan dengan madu dan lebah. Dalam diam, dia membuktikan bahawa dari desa yang kecil, boleh lahir seorang wanita yang menggenggam dunia.
Di antara kelulut yang terbang rendah, harapan Angela tetap terbang tinggi.
Oleh Norman B.