Eksklusif: MDLBS gesa orang ramai patuhi amaran kawasan berisiko buaya

Facebook
WhatsApp
AWAS BUAYA.....SFC melalui EPS Sibu telah memasang satu papan tanda “AWAS BUAYA” di kawasan kolam tepi jalan menuju ke Lapangan Terbang Sibu pada 6 Ogos lalu.

SIBU: Orang ramai dinasihatkan supaya tidak memasuki kawasan kolam atau memancing di lokasi yang dikenal pasti mempunyai kelibat buaya bagi mengelakkan kejadian tidak diingini.

Pengerusi Majlis Daerah Luar Bandar Sibu (MDLBS), Sempurai Petrus Ngelai berkata, pemasangan papan tanda amaran ‘Awas Ada Buaya’ oleh Sarawak Forestry Corporation (SFC) amat dialu-alukan sebagai langkah meningkatkan kesedaran dan keselamatan orang ramai.

Beliau berkata, papan tanda berkenaan diharap dapat menghalang orang ramai daripada memancing atau memasuki kawasan kolam yang berisiko menjadi habitat buaya.

“Pertama sekali, saya ingin mengucapkan terima kasih kepada SFC kerana telah meletakkan papan tanda ‘Awas Ada Buaya’.

“Tindakan ini akan memastikan orang ramai tidak memancing dan memasuki kawasan kolam berkenaan,” katanya ketika dihubungi Utusan Sarawak, petang tadi.

Sempurai turut menasihatkan orang ramai supaya tidak meletakkan kenderaan atau motosikal di bahu jalan berhampiran lokasi terbabit.

Menurutnya, tindakan itu bukan sahaja membahayakan diri sendiri, malah boleh mengganggu kelancaran lalu lintas dan mengundang risiko kepada pengguna jalan raya lain.

“Kita berharap agar orang ramai tidak meletakkan kenderaan dan motosikal di tepi jalan kerana ia sangat berbahaya kepada lalu lintas dan pengguna jalan raya yang lain.

“Kita berharap pihak SFC akan menjalankan tugas mereka untuk menangkap buaya berkenaan tanpa diganggu oleh orang ramai yang berhenti di tepi jalan,” katanya.

Terdahulu, SFC melalui Enforcement & Protection Section (EPS) Sibu telah memasang satu papan tanda “AWAS BUAYA” di kawasan kolam tepi jalan menuju ke Lapangan Terbang Sibu pada 6 Ogos lalu.

Pemasangan papan tanda tersebut merupakan langkah pencegahan bagi meningkatkan kesedaran dan kewaspadaan orang awam terhadap kemungkinan kehadiran buaya di kawasan berkenaan, khususnya kepada pengguna jalan raya dan orang awam yang berada berhampiran kolam.

SFC menasihatkan orang awam supaya tidak menghampiri atau mengganggu buaya sekiranya dikesan serta sentiasa mematuhi papan tanda amaran dan mengutamakan keselamatan ketika berada berhampiran kawasan perairan.

Oleh Akun Giman