Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • HIBURAN
  • Eksklusif: Maya Band kekal segar, persahabatan, muzik, kenangan yang tak mudah pudar
  • HIBURAN

Eksklusif: Maya Band kekal segar, persahabatan, muzik, kenangan yang tak mudah pudar

Utusan Sarawak 9 hours ago
KUMPULAN Maya.

KOTA SAMARAHAN: Tiga puluh lima tahun bukan tempoh yang singkat, namun bagi kumpulan legenda Sarawak, Maya Band, masa hanya mengukuhkan semangat dan persahabatan mereka. Dari pentas kecil ke acara berprestij, nama Maya terus bergema dalam jiwa peminat muzik tempatan.

Ditubuhkan pada 1 April 1990 hasil penggabungan dua kumpulan popular era tersebut iaitu Detourers dan Wizurai, Maya Band kini diterajui tujuh ahli yang masih kekal setia: Clency Chahan (vokal), Johnson Oh (vokal dan bass), Alcuaz Jackie (gitar utama), David Friday (gitar irama), Steven Dean (perkusi), Kenelm Bidi (keyboard) dan Dwayne Britson (dram).

Sebelum Dwayne mengisi posisi dram, tempat itu pernah digalas Allahyarham Ahmad Zaki atau Louis, yang telah kembali ke rahmatullah pada Januari lepas. Begitu juga dengan posisi bass yang pernah dipegang oleh Santoz Jackie sebelum digantikan oleh Ramlan Hassan.

Sepanjang lebih tiga dekad, Maya Band telah menjelajah pelbagai pentas — daripada majlis perkahwinan hingga acara korporat dan kerajaan. 

Album sulung mereka, Cemburu Ati (2006), membuka lembaran baharu buat kumpulan ini, diikuti dua single popular Terima Kasih Sayau (2021) dan Aku Sayau Ke Nuan (2021), yang mengangkat semula nama Maya dalam industri muzik tempatan.

Bagi pemain bass dan vokalis, Johnson Oh, kekuatan Maya bukan sekadar pada muzik, tetapi pada ikatan hati antara ahli yang sudah dianggap seperti keluarga sendiri.

“Bukan mudah bertahan selama ini, tapi kami saling memahami dan menghormati. Itu rahsia kami. Kami bukan sekadar band, kami keluarga yang dibina dengan muzik, peluh dan persahabatan,” ujarnya penuh makna.

LATIHAN…Kumpulan Maya sedang membuat latihan.

Dalam tempoh panjang itu, Maya Band menyaksikan perubahan arus muzik yang datang dan pergi. Namun bagi mereka, perubahan bukan ancaman, sebaliknya satu cabaran untuk terus kekal segar dan relevan.

Pemain gitar utama, Alcuaz Jackie, turut berkongsi detik paling manis sepanjang perjalanan muzik mereka.

“Paling indah bila lihat peminat kami datang dari semua generasi daripada mereka yang mengenali kami di awal 90-an hinggalah anak muda yang kini menyanyi lagu kami. Itu tanda muzik kami masih hidup dan dekat di hati orang,” katanya penuh bangga.

Nama Maya Band kini sinonim dengan persembahan berprestij di Kuching dan Kota Samarahan, di mana mereka sering menjadi pilihan utama untuk menghangatkan majlis makan malam dan acara rasmi.

Bagi pemain gitar irama, David Friday, sokongan padu peminat merupakan nadi yang membuat mereka terus berdiri teguh.

“Ramai artis baharu muncul, tapi peminat kami tetap bersama. Sokongan merekalah yang buat kami kekal relevan sampai hari ini,” ujarnya penuh syukur.

Kini, selepas lebih tiga dekad, Maya Band bersedia mengembalikan nostalgia itu sekali lagi. Pada 1 November ini, mereka bakal mengadakan persembahan istimewa di Dapuh Temuai, Kota Samarahan, sebagai tanda penghargaan buat para peminat yang setia menemani perjalanan panjang mereka.

Tiga puluh lima tahun perjalanan bukan sekadar kisah kejayaan, tetapi lambang keutuhan semangat dan persahabatan. Maya Band membuktikan bahawa apabila muzik lahir dari hati yang jujur, ia akan terus hidup meskipun zaman berubah.

Oleh Norman B.

Tags: Hiburan

Continue Reading

Previous: KMP lancar projek ‘Cinta Dari Borneo’, tiga lagu baharu awal 2026

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.