Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • HIBURAN
  • Eksklusif: Limitasi dalam seni, antara realisme dan tanggungjawab di pentas ‘Resonansi’
  • HIBURAN

Eksklusif: Limitasi dalam seni, antara realisme dan tanggungjawab di pentas ‘Resonansi’

Utusan Sarawak 4 hours ago
PELAKON Resonansi menghidupkan watak dalam salah satu babak pementasan yang menampilkan konflik dan emosi dalam isu keganasan rumah tangga. Foto Adele Rissa

KOTA SAMARAHAN: Di sebalik setiap adegan yang kelihatan nyata dalam pementasan Resonansi, ada satu perkara yang tidak kelihatan di atas pentas iaitu batas yang sengaja diletakkan.

Bagi pengarahnya, Qawiem Hamizan, batas itu bukan sekadar kekangan tetapi satu bentuk tanggungjawab sosial dalam memastikan karya seni tidak melangkaui sensitiviti penonton.

Walaupun teater sering dianggap sebagai cerminan realiti, beliau berpendapat tidak semua realiti perlu diterjemahkan secara terus tanpa tapisan.

“Dalam realiti, bahasa dan keganasan boleh jadi lebih kasar dan lebih teruk. Tapi di pentas, saya perlu fikir apa yang sesuai untuk penonton,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada Utusan Sarawak selepas pementasan projek teater Spirit Beyond Silence di Panggung Eksperimen, Fakulti Seni Gunaan dan Kreatif (FSGK) Universiti Malaysia Sarawak (Unimas) semalam.

Menurut beliau, pendekatan itu juga mengambil kira kehadiran penonton daripada pelbagai latar umur termasuk kanak-kanak.

Dalam proses pembikinan Resonansi melalui projek Spirit Beyond Silence, Qawiem tidak bergerak sendirian dari sudut interpretasi emosi wanita.

Beliau melibatkan dua penolong pengarah wanita iaitu seorang yang sudah berkahwin dan seorang lagi bakal berkahwin bagi membantu memberi perspektif lebih seimbang terhadap pengalaman wanita dalam pementasan tersebut.

Langkah itu penting kerana beliau mengakui keterbatasan perspektif sebagai pengarah lelaki apabila mengangkat isu yang dekat dengan pengalaman wanita.

Daripada itu, pembangunan emosi, watak dan naratif dibentuk melalui perbincangan bersama, bukan hanya melalui satu sudut pandang.

“Kalau untuk mengarah karya tentang wanita, saya tidak boleh hanya bergantung pada pandangan saya sendiri.

“Sebab itu saya perlukan pandangan dua orang wanita ini untuk bantu saya faham dengan lebih tepat,” tambahnya.

ANTARA babak pementasan Resonansi yang menampilkan penggunaan latar LED sebagai elemen visual utama yang menyokong naratif persembahan di pentas. Foto Adele Rissa

Dalam pementasan itu, elemen keganasan rumah tangga tidak digambarkan secara langsung, sebaliknya diterjemahkan melalui pergerakan pentas dan combat acting (aksi bergelut) yang dikawal melalui koreografi dan blocking (susun atur pergerakan pentas) yang teliti.

Ia tidak dibina untuk mengejutkan penonton tetapi untuk menyampaikan mesej tanpa menjadikan penderitaan sebagai sensasi.

Qawiem berkata, walaupun realiti sebenar mungkin lebih keras daripada apa yang dipentaskan, tanggungjawab pengarah adalah memilih apa yang perlu ditunjukkan dan apa yang perlu ditapis.

“Saya bersyukur ada batas. Walaupun tiada, saya tetap akan letakkan batas itu sendiri kerana ini tanggungjawab saya sebagai pengarah,” ujarnya.

Baginya, kebebasan tanpa had dalam seni tidak semestinya menghasilkan karya yang lebih baik.

Sebaliknya, batasan boleh membuka ruang kepada kreativiti yang lebih fokus dan beretika.

“Kadang-kadang bila ada limitasi, kita jadi lebih kreatif untuk menyampaikan mesej dengan cara yang lebih bijak,” katanya.

Pendekatan itu selari dengan matlamat Resonansi yang bukan sekadar bersifat dramatik, sebaliknya menjadi medium kesedaran masyarakat.

Resonansi merupakan antara pementasan di bawah projek Spirit Beyond Silence atau “suara melangkaui keheningan”, iaitu inisiatif Teater dalam Pendidikan (TIE), bagi kursus Drama dan Teater, Fakulti Seni Gunaan dan Kreatif (FSGK), Unimas.

Projek ini turut merangkumi beberapa produksi lain termasuk Rumah Tumpang arahan Azri Ali dan Di Sebalik Pintu Papan arahan Madzlan Abet.

Pementasan itu merupakan kerjasama UNIMASTAGE dengan Persatuan Wanita untuk Wanita Sarawak (SWWS) serta Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Oleh Adele Rissa

Continue Reading

Previous: Senario gegar Tebingan Sungai Lawas dengan persembahan mantap dihadapan puluhan ribu peminat
Next: Eksklusif: Teater ‘Spirit Beyond Silence’ sorot realiti masyarakat dan budaya berdiam diri

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.