
KOTA SAMARAHAN: Sejak lapan tahun lalu, Amin Bol, 70, tetap setia menggalas tugas sebagai amil di Masjid Darul Naim Baru, Kampung Baru.
Dilantik pada 2017 oleh pengerusi masjid dan pihak Baitulmal, tugas yang pada awalnya dianggap sementara kini menjadi tanggungjawab tetap buatnya meskipun beberapa kali berhasrat untuk berhenti.
“Tahun ni sebenarnya saya nak berhenti, dah habis dua penggal. Tapi sebab tak ada orang nak ganti, pihak baitulmal dan masjid lantik saya lagi, jadi saya teruskan.
“Setiap hari dari 3.00 hingga 6.00 petang saya menunggu di masjid untuk urusan pembayaran zakat. Namun, bagi mereka yang tidak sempat, rumah saya juga sentiasa terbuka, sama ada pagi atau malam.
“Ada yang datang rumah pagi-pagi sebelum kerja, ada juga datang tengah malam,” katanya ketika ditemui Utusan Sarawak baru baru ini.

Mengimbau pengalaman semasa pandemik COVID-19, Amin menyifatkan tempoh itu sebagai paling mencabar.
“Orang tak boleh keluar, jadi semua bayar zakat di masjid. Pendapatan hasil kutipan zakat masa itu mendadak, paling tinggi pernah saya kumpul lebih RM10,000.
“Namun, cabaran utama bagi saya adalah menyimpan duit dalam jumlah besar di rumah kerana tidak dapat menghantar ke baitulmal mengikut jadual biasa.
“Musim pandemik COVID-19, saya simpan duit zakat lebih sebulan di rumah sebab tak boleh pergi sana. Pegang duit banyak sangat, nak bergerak keluar rumah pun susah, hati tak tenang,” ujarnya.
Tambahnya, Setiap kali Ramadan menghampiri Syawal, suasana di masjid dan di rumahnya menjadi semakin sibuk.
“Lepas 20 Ramadan, orang mula ramai datang bayar zakat, terutama selepas tarawih di masjid.
“Bila dah masuk tujuh likur, makin sibuk, hingga tengah malam pun ada orang datang ke rumah.
“Malam menjelang raya adalah waktu paling sibuk kerana dari pagi sampai ke malam, orang datang tanpa henti ke rumah saya. Kadang-kadang hingga 2.00 hingga 3.00 pagi masih ada yang nak bayar zakat,” katanya sambil tersenyum.

Sebagai amil, beliau bukan sahaja menguruskan kutipan zakat tetapi juga memastikan setiap lebihan bayaran disalurkan dengan betul.
“Kadang ada yang bayar lebih, contohnya zakat RM7.50 tapi dia bagi RM10. Ada yang cakap sedekah untuk saya, tapi saya tetap serahkan ke Baitulmal.
“Walaupun dunia semakin digital dan ramai memilih pembayaran zakat secara dalam talian, saya lebih selesa dengan kaedah tradisional.
“Kalau saya pandai guna aplikasi di telefon, mungkin lebih ramai yang bayar dekat saya. Tapi saya terima tunai saja,” ujarnya dengan nada bersahaja.
Walaupun usia semakin meningkat, namun Amin masih setia dengan amanah sebagai seorang amil.
“Selagi ada yang masih perlukan saya, saya akan teruskan. Tapi kalau ada orang nak ambil alih, saya pun nak berehat juga,” katanya mengakhiri perbualan bersama Utusan Sarawak.
Oleh Masrin Affirah