
SIMANGGANG: Siapa sangka langkah awal menceburi bidang tinju yang sekadar mahu mengamalkan gaya hidup sihat akhirnya membawa seorang pelajar tingkatan lima ini ke pentas kejohanan tinju negeri.
Itulah perjalanan penuh inspirasi Eurenia Jackie Joachim, 17, petinju wanita muda dari Sri Aman yang kini semakin menyerlah dalam arena sukan tersebut.
Anak kedua daripada tiga adik-beradik itu mula menceburi sukan tinju pada 2023 sebelum menyertai Kelab Tinju Tidal Bore (TBBC) Sri Aman pada November tahun sama.
Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Saint Luke Sri Aman itu mengakui dorongan untuk menyertai sukan berkenaan hadir daripada dirinya sendiri selain sokongan padu keluarga tercinta.
Menurut Eurenia, pada peringkat awal, penglibatannya dalam tinju hanyalah untuk meningkatkan tahap kecergasan dan mengamalkan gaya hidup sihat.
Namun, minat yang semakin mendalam serta komitmen tinggi dalam latihan telah membuka ruang untuknya melangkah lebih jauh dalam sukan berkenaan.

“Cabaran terbesar saya dalam sukan tinju ialah menurunkan berat badan daripada 90 kilogram ke 57 kilogram. Ia memerlukan disiplin yang sangat tinggi dalam penjagaan makanan dan latihan yang teratur mengikut jadual jurulatih,” katanya kepada Utusan Sarawak, hari ini.
Beliau menegaskan, perubahan tersebut bukan sesuatu yang mudah, namun dengan semangat yang kuat serta bimbingan jurulatih, beliau berjaya mengawal pemakanan dan konsisten menjalani latihan intensif.
Usaha itu katanya lagi bukan sahaja membentuk fizikal yang lebih cergas, malah meningkatkan keyakinan diri sebagai atlet.
Dalam tempoh tidak sampai tiga tahun, Eurenia telah mencatat beberapa pencapaian membanggakan termasuk pingat emas Sarawak Open 2025, pingat perak Kejohanan Tinju Bakat dan Remaja 2025, pingat perak Kejohanan MFC X Sarawak 2025 serta terbaru pingat perak di Sukan Sarawak (SUKSAR) IV 2026.

Mengulas pencapaian di SUKSAR IV 2026, beliau mengakui sasaran awal bersama pasukan Zon Barat adalah untuk membawa pulang pingat emas.
Namun, beliau tetap berbangga kerana berpeluang bersaing dengan petinju yang pernah beraksi di SUKMA 2024 serta memberi saingan terbaik sepanjang kejohanan.
“Walaupun rezeki tidak memihak kepada saya untuk emas, saya tetap bersyukur dan bangga kerana dapat bertanding dengan atlet yang lebih berpengalaman. Ia menjadi pembakar semangat untuk saya terus memperbaiki prestasi,” ujarnya.
Selain cabaran menurunkan berat badan, Eurenia turut berdepan kesukaran membahagikan masa antara latihan, pelajaran dan tugasan sekolah.
Jadual harian yang padat katanya menuntut disiplin tinggi agar beliau tidak mengabaikan akademik walaupun aktif dalam sukan.
Menjadikan SUKMA 2026 sebagai impian utama, Eurenia berharap namanya yang kini tersenarai dalam ‘long list’ pemilihan akan membuka peluang untuk mewakili Sarawak secara rasmi.
Beliau berazam menyumbang pingat buat negeri serta membantu mengangkat sukan tinju Sri Aman ke tahap lebih tinggi.

Dalam masa sama, Eurenia berharap lebih ramai rakan wanita tampil berani menyertai sukan tinju.
Katanya, selain baik untuk kesihatan, tinju juga boleh menjadi langkah awal mempelajari kemahiran mempertahankan diri serta membina keyakinan diri yang tinggi.
Sementara itu, Ketua Jurulatih Tinju TBBC Sri Aman, Kamaruddin Mohamad berkata beliau amat bersyukur dan berbangga dengan prestasi dan pencapaian Eurenia.

Menurutnya, Eurenia adalah petinju wanita TBBC Sri Aman yang tersenarai dalam senarai panjang SUKMA 2026.
“Beliau merupakan seorang petinju wanita yang amat berdisiplin, sentiasa fokus dan sering memberikan 100 peratus komitmennya dalam latihan.
“Walaupun tanpa pemerhatian, beliau tetap patuh dan terbukti melalui pencapaiannya pada masa ini,” ujarnya.
Oleh Adi Safarman