
KUCHING: Dalam era media sosial yang serba terbuka, isu keganasan pelajar semakin menjadi perhatian ramai, bukan sahaja di sekolah, tetapi turut menjadi tontonan umum di platform seperti TikTok dan Instagram.
Bagi sudut pandangan Generasi Z, Ainul Nizam, 24, media sosial bukanlah punca mutlak kepada sikap agresif pelajar, namun tetap menjadi pengaruh besar terhadap emosi dan tingkah laku mereka.
“Pendedahan kepada kandungan ganas, buli siber serta tekanan sosial di media seperti Instagram atau TikTok boleh mempengaruhi emosi pelajar. Mereka mungkin meniru kelakuan negatif yang viral atau menjadi agresif akibat perbandingan hidup.
“Namun faktor keluarga, tekanan emosi dan persekitaran turut memainkan peranan besar dalam membentuk tingkah laku pelajar.
“Pelajar yang kurang kasih sayang dan lemah kawalan emosi lebih cenderung untuk bertindak agresif, walaupun mereka tidak aktif di media sosial,” katanya ketika ditemui Utusan Sarawak, semalam.
Ketika ditanya tentang perbandingan disiplin antara generasi terdahulu dan sekarang, Ainul tidak menafikan bahawa zaman dahulu lebih menekankan adab dan rasa hormat terhadap autoriti.
“Dulu, pelajar takut melanggar peraturan. Tapi sekarang, teguran pun dianggap sekatan terhadap hak individu. Ini menjadikan ramai yang mudah tersinggung dan hilang nilai etika,” jelasnya.
Pandangan itu turut disokong oleh Julan Gawie, 41, yang mewakili generasi terdahulu, perubahan sikap pelajar masa kini amat ketara berbanding zamannya dahulu.

Katanya, pelajar dulu lebih berdisiplin dan menghormati guru, manakala generasi kini lebih mudah tersinggung dan sukar menerima teguran.
“Melentur buluh biarlah dari rebung. Asas disiplin dan hormat bermula dari rumah. Ibu bapa harus memberi perhatian kepada anak supaya mereka tahu batas tingkah laku.
“Sekarang sangat membimbangkan apabila hilangnya ketegasan di sekolah menyebabkan pelajar tidak lagi menghormati guru.
“Mungkin sesetengah pelajar anggap guru tidak ada kuasa sebab tiada ketegasan fizikal. Jadi mereka tidak takut dan hilang rasa hormat,” tegasnya.

Sementara itu, Aisyah, 27, yang pernah berkhidmat sebagai guru tadika menegaskan bahawa kes keganasan pelajar tidak boleh disalahkan pada satu pihak sahaja.
“Ibu bapa, sekolah, dan pelajar sendiri semua main peranan penting.
“Penglibatan ibu bapa secara aktif melalui bengkel keibubapaan dan sistem pengawasan lebih tegas di sekolah seperti pemasangan CCTV serta khidmat kaunseling mampu membantu mengekang isu ini.
“Pendidikan nilai dan emosi perlu diterapkan di sekolah, tapi dalam masa sama ibu bapa kena aktif pantau dan guru perlu tegas,” katanya.

Bagi Aron Bruner Marakin, 26, yang berkelulusan Sarjana Pendidikan (TESOL) dan kini melanjutkan PhD dalam bidang Indigenous Knowledge Management, isu keganasan pelajar yang tular di media sosial bukan sekadar masalah disiplin, tetapi mencerminkan krisis nilai dan kehilangan jati diri generasi muda.
Sebagai pengkaji warisan pengetahuan masyarakat peribumi, beliau berpendapat pembentukan karakter dan nilai budaya kini semakin terpinggir dalam sistem pendidikan moden.
“Terkejut, kecewa dan marah bila nampak video pelajar bunuh atau buli kawan sendiri. Kadang nak tolong, tapi takut diri sendiri pun jadi mangsa.
“Hukuman keras wajar dikembalikan bagi mengembalikan rasa hormat kepada undang-undang sekolah.
“Umur bukan tiket untuk membuli atau membunuh. Hukuman tegas boleh mendidik rasa takut dan menghormati disiplin,” ujarnya.
Suara empat individu ini menggambarkan satu realiti yang kian membimbangkan bahawa krisis disiplin pelajar bukan sekadar berpunca daripada pengaruh luar seperti media sosial, tetapi juga dari kelemahan sistem nilai di rumah dan sekolah.
Dalam dunia yang semakin moden, cabaran terbesar bukan hanya mengajar pelajar untuk bijak, tetapi untuk beradab, berfikir dan berperikemanusiaan.
Oleh Masrin Affirah