Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • SEMASA
  • Eksklusif: Ketekunan, disiplin kunci kejayaan tiga pelatih raih anugerah tertinggi Kursus Asas Polis Bantuan Siri 7/2025
  • SEMASA

Eksklusif: Ketekunan, disiplin kunci kejayaan tiga pelatih raih anugerah tertinggi Kursus Asas Polis Bantuan Siri 7/2025

Utusan Sarawak 2 hours ago
TAHNIAH… Dari kiri, Konst/PB Demos Aga, Pelatih Terbaik Latihan Luar; Konst/PB Donny Ngang, Pelatih Terbaik Akademik dari Miri; dan Konst/PB Joseph Jemiss Umping, Pelatih Terbaik Keseluruhan dari Sibu, bergambar selepas majlis perbarisan tamat Kursus Asas Polis Bantuan Siri 7/2025 di PULAPOL, Kuching, hari ini. Foto Adele Rissa 

KOTA PADAWAN: Ketekunan, disiplin dan ketahanan diri menjadi faktor utama kejayaan tiga pelatih yang diumumkan sebagai penerima anugerah tertinggi pada Kursus Asas Polis Bantuan Siri 7/2025, sekali gus menutup latihan selama sembilan minggu dengan penuh bermakna. 

Majlis perbarisan tamat latihan seramai 267 pelatih, terdiri daripada 255 lelaki dan 12 wanita mewakili 22 agensi, disempurnakan oleh Timbalan Pengarah Kepolisan Am/Kepolisan Komuniti JPJKK Bukit Aman, DCP Dato’ Aida Abdul Hamid di Dataran Kawad, Pusat Latihan Polis (PULAPOL) Kuching, di sini, hari ini.

TAHNIAH… Konst/PB Demos Aga, 25, dari Belaga, menerima anugerah Pelatih Terbaik Latihan Luar pada majlis perbarisan tamat latihan Kursus Asas Polis Bantuan Siri 7/2025 di PULAPOL, Kuching. Foto Adele Rissa 

Konst/PB Demos Aga, 25, dari Belaga, dipilih sebagai Pelatih Terbaik Latihan Luar hasil ketekunan dan kemampuan fizikalnya sepanjang latihan kawad, aktiviti luar dan latihan ketenteraan.

Berkhidmat dengan SD Guthrie Plantation (Sarawak) Sdn Bhd, beliau berkata pengalaman mengikuti kursus ini membentuk disiplin baharu dalam dirinya.

“Sebelum masuk kursus, saya tidak ada asas apa-apa. Saya belajar dari kosong, daripada kawad, latihan luar sehingga akademik. 

“Cabaran mental dan fizikal memang besar, lebih-lebih lagi masa sangat padat dan jarak antara lokasi latihan jauh. 

“Kami juga jarang berjumpa keluarga dan telefon pun kurang digunakan tetapi saya tetapkan disiplin dan syukur berjaya,” katanya ketika ditemui pemberita selepas majlis perbarisan tamat latihan Kursus Asas Polis Bantuan Siri 7/2025.

TAHNIAH… Konst/PB Donny Ngang, 44, dari Miri, diumumkan sebagai Pelatih Terbaik Akademik pada majlis yang sama. Foto Adele Rissa 

Bagi kategori akademik, dua pelatih dari Cahya Mata Sarawak Berhad (CMS) muncul sebagai penerima Pelatih Terbaik Akademik, iaitu Konst/PB Donny Ngang, 44, dari Miri, dan Konst/PB Joseph Jemiss Umping, 42, dari Sibu.

Donny, bekas anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), berkata peralihan budaya kawad daripada tentera kepada polis merupakan pengalaman baharu yang paling mencabar.

“Setiap malam sebelum tidur, saya ulang kaji pelajaran. Minat belajar memang ada dan anak sulung saya memberi cabaran kerana dia sendiri pernah dapat anugerah akademik terbaik. Cabaran itu buat saya lebih bersemangat,” katanya sambil tersenyum.

TAHNIAH… Konst/PB Joseph Jemiss Umping, 42, dari Sibu, menerima pengiktirafan sebagai Pelatih Terbaik Keseluruhan. Foto Adele Rissa 

Konst/PB Joseph Jemiss Umping, 42, dari Sibu pula, yang pernah berkhidmat sebagai jurulatih Tentera Darat selama 12 tahun, berkata pengalaman lamanya banyak membantu mengurus tekanan jadual latihan yang ketat.

“Aktiviti di sini hampir sama dengan pusat latihan tentera sebelum ini. Cabaran tetap ada, tetapi disiplin diri yang paling penting. 

“Masa padat, perlu berlari dari satu lokasi ke lokasi lain tetapi pengalaman lalu membantu saya kawal keadaan,” ujarnya sambil menegaskan pengalaman lamanya memudahkan peralihan daripada latihan tentera ke kepolisan.

Ketiga-tiga pelatih berkenaan menasihatkan bakal peserta kursus tahun hadapan supaya membuat persediaan awal dari segi mental dan fizikal.

“Latihan ini menuntut ketahanan yang kuat. Jika boleh, biasakan diri dengan rutin ketenteraan dan kawad sebelum lapor diri. Apa yang kita buat sebelum masuk kursus, itulah yang sangat membantu sepanjang latihan,” kata mereka.

Seramai 267 pelatih menyertai Kursus Asas Siri 7/2025, yang menekankan pembangunan disiplin, ketahanan fizikal dan teknikal sebelum para peserta memulakan tugas sepenuhnya dengan agensi masing-masing.

Oleh Adele Rissa

Tags: SEMASA

Continue Reading

Previous: Sidang media luar biasa PM Anwar di dapur pesawat
Next: JBPM bersedia tangani kebakaran kenderaan elektrik

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.