
KOTA PADAWAN: Kesesakan lalu lintas di Jalan Batu 9 menuju ke Batu 8 yang berlarutan sejak sekian lama terus menjadi mimpi ngeri buat penduduk sekitar Kota Padawan, Batu 13 dan Siburan, tanpa sebarang penyelesaian konkrit daripada pihak berkuasa.
Bagi mereka yang bekerja di bandar, keluar rumah seawal 5.00 pagi sudah menjadi rutin harian demi mengelakkan diri daripada terperangkap dalam kesesakan, walaupun waktu bekerja hanya bermula pada 8.00 pagi.

Salah satu punca utama kesesakan ini adalah tindakan segelintir pemandu yang cuba memintas daripada laluan kiri dengan memasuki laluan utama secara tiba-tiba.
Keadaan ini memaksa pemandu di laluan utama memperlahankan kenderaan untuk memberi laluan, sekali gus menyebabkan aliran trafik menjadi perlahan dan perjalanan yang sepatutnya hanya mengambil masa 10 hingga 15 minit boleh mencecah sehingga satu jam.

Walaupun pihak berkuasa baru-baru ini meletakkan pembahagi jalan menggunakan kon merah bagi mengawal aliran trafik, usaha itu dilihat kurang berkesan.
Ada pemandu yang masih memintas melalui laluan alternatif di kawasan perumahan berhampiran, menyebabkan penduduk asal sukar keluar masuk dari simpang rumah mereka kerana disangka turut mengambil jalan pintas.
Bagi Eva, 26, penduduk di salah sebuah perumahan berhampiran, kesesakan ini sudah menjadi sebahagian daripada rutin hariannya.
“Kalau hari bekerja, selepas 8.00 pagi pun saya masih boleh tersangkut sehingga 40 minit. Kalau ada janji temu awal, saya keluar 7.00 pagi dan kadang-kadang boleh sampai sejam bergantung pada keadaan.
“Yang memotong tu pula, sempat lagi menjeling kami di lorong betul,” katanya sambil mengakui pembahagi jalan baharu ada memberi sedikit kesan positif, namun masih belum menyelesaikan masalah sepenuhnya.
Tinjauan Utusan Sarawak bermula 7.20 pagi mendapati aliran trafik ketika itu bergerak perlahan dengan deretan kenderaan dari arah Siburan, Batu 13 dan Batu 10 menuju ke bandar.

Keadaan beransur reda sekitar 8.20 pagi, namun kesesakan masih kelihatan di beberapa lokasi, terutamanya berhampiran persimpangan utama.
Ketika wartawan berada di lokasi, kesempatan turut digunakan untuk menemu bual seorang pemandu yang menjadi ‘mangsa’ keadaan pagi itu.
Kasimin, 52, dari Kampung Sinar Budi Baru yang bekerja di Batu 12, terpaksa memberhentikan keretanya di bahu jalan selepas enjin kenderaannya terlalu panas akibat terperangkap lama dalam kesesakan.
“Saya dari pejabat di Batu 12 hendak ke bandar atas urusan kerja. Dah dekat sejam terhenti-turuti dalam jem, enjin mula panas sangat sampai terpaksa saya matikan di tepi jalan.
“Memang memenatkan, masa terbuang begitu saja,” katanya dengan nada kecewa sambil menunggu enjin kereta kembali sejuk.

Sementara itu, Chia Sung Phin, 60, dari Siburan, berpendapat masalah ini berpunca daripada pertambahan kenderaan ekoran peningkatan jumlah penduduk yang bekerja di bandar.
“Semua orang guna jalan yang sama. Kalau dari Siburan mahu ke Pasar Batu 7, tetap akan terperangkap dalam jem selama satu jam. Ada jejambat pun sama, ada pembahagi jalan baharu pun tetap sama.
“Biasanya saya keluar 6.30 pagi dan kalau nampak jem, saya akan singgah minum di kedai kopi dulu,” ujarnya ketika ditemui Utusan Sarawak di kedai kopi berhampiran.
Penduduk mendesak pihak berkuasa mencari penyelesaian jangka panjang kerana kesesakan ini bukan sekadar menguji kesabaran, malah menjejaskan masa, emosi dan kelancaran urusan harian ribuan pengguna jalan raya setiap hari.
Oleh Adele Rissa