
ASAJAYA: Di saat makanan tradisional semakin sukar ditemui di pasaran, seorang peniaga wanita di Kampung Rangawan terus cekal menghasilkan burasak bagi memastikan warisan kulinari ini tidak hilang ditelan zaman.
Seri Rahayu, 42, telah berkecimpung dalam perniagaan menjual burasak di Pasar Kampung Pendam sejak dua tahun yang lalu.
Menariknya, hidangan yang pada asalnya merupakan identiti dan makanan tradisi masyarakat Bugis ini, kini turut dipelajari serta dihasilkan oleh masyarakat Melayu.
Menurut Seri, setiap ikat burasak yang dihasilkan bukan sekadar juadah untuk dijual, tetapi juga usaha memelihara resipi tradisi yang dipelajarinya daripada kakak iparnya yang juga berasal dari situ.
Menurut beliau, penyediaan burasak memerlukan kesabaran yang tinggi kerana setiap satu perlu dibalut menggunakan daun pisang dan direbus selama kira-kira lapan jam bagi memastikan ia masak sempurna serta tahan lebih lama.

“Tidak boleh guna daun lain. Asal burasak ini memang hanya menggunakan daun pisang sahaja”, katanya.
Walaupun proses penyediaannya agak rumit dan dilakukan secara bersendirian setiap hari, Seri berkata sambutan daripada pelanggan tidak pernah mengecewakannya.
“Alhamdulillah, setiap hari saya boleh menjual sehingga 50 ikat burasak. Setiap ikat mengandungi lima keping burasak,” katanya ketika ditemui Utusan Sarawak di Pasar Kampung Pendam.
Katanya, pelanggan bukan sahaja terdiri daripada penduduk sekitar Kampung Pendam, malah ada yang datang dari Kuching, Samarahan dan Siburan. Malah, ada juga pelanggan yang membawa pulang burasak tersebut hingga ke Sibu.

Seri berkata, burasak paling sedap dinikmati bersama lauk berkuah seperti kari, terutama kari kambing, namun rasanya tetap enak walaupun dimakan begitu sahaja.
Kecekalan Seri meneruskan penghasilan burasak membuktikan makanan tradisional masih mempunyai tempat di hati masyarakat.
Di sebalik setiap ikat yang dijual, tersimpan usaha seorang wanita yang gigih mempertahankan warisan kulinari agar terus dikenali dan dinikmati oleh generasi akan datang.
Oleh Shikin Mahmud