
SIBU: Tidak ramai yang mampu mengatasi kegagalan lampau untuk mencapai kejayaan gemilang.
Namun bagi Alfred Ngu Choung Chii, 26, perjalanan hidup yang penuh cabaran menjadi batu loncatan kepada pencapaiannya hari ini.
Alfred, yang baharu sahaja ditauliah sebagai Peguambela dan Peguamcara Mahkamah Tinggi Malaya 28 Februari lalu, berkongsi kisah jatuh bangunnya sebelum berjaya menjejakkan kaki ke bidang guaman.
“Pencapaian ini bukan sekadar kejayaan peribadi, tetapi bukti usaha tanpa henti dan pengorbanan ibu bapa saya. Saya telah menunaikan janji kepada mereka,” katanya ketika ditemui Utusan Sarawak.
Dilahirkan dan dibesarkan dalam keluarga sederhana di Sibu, anak kedua daripada tiga beradik ini mengharungi pelbagai rintangan sebelum berjaya menjejakkan kaki ke bidang guaman.
Berkongsi kisah hidupnya, Alfred berkata dia pernah keciciran sekolah ketika di Tingkatan 1 pada 2012, dan meninggalkan rumah selama setahun.
Tempoh itu, katanya, mengajarnya tentang ketahanan diri walaupun dalam keadaan serba kekurangan.
Bagaimanapun, pada 2014, kehidupannya berubah drastik selepas terlibat dalam satu kemalangan yang menyebabkan kakinya patah.
“Ketika menunggu bantuan di tepi jalan, seorang saudara membantu saya dan mempertemukan saya semula dengan ibu saya yang telah lama terpisah.
“Melihat wajahnya yang sugul dan penuh kesedihan menimbulkan rasa penyesalan yang mendalam.
“Saat itu, saya berjanji untuk tidak lagi mengecewakan keluarga dan akan berusaha mengubah nasib saya,” ujarnya dengan penuh penyesalan.
Dalam tempoh pemulihan yang panjang, bapanya memberi dorongan dan kekuatan untuk kembali bangkit.
Dengan tekad membina semula masa depan, Alfred kembali ke sekolah pada 2015, dan meneruskan pelajaran di Tingkatan 4.
Bermula dari situ, dia memberi tumpuan penuh kepada pelajaran dan memilih untuk menduduki Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) dengan matlamat memasuki universiti awam.
“Dengan usaha gigih, saya berjaya memperoleh keputusan cemerlang 4.00 dalam STPM dan melanjutkan pengajian dalam bidang undang-undang di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM),” katanya.

Selepas menamatkan ijazah, Alfred menjalani latihan industri di firma guaman Messrs Tan Norizan and Associates sebelum secara rasmi ditauliahkan sebagai peguam pada 28 Februari lalu.
Mengenang kembali perjalanan hidupnya, Alfred menegaskan bahawa setiap cabaran yang dihadapi bukanlah penghalang kepada kejayaan.
“Kesusahan tidak menentukan siapa diri kita, tetapi bagaimana kita bangkit daripada kesusahan itu yang membentuk kita.
“Setiap langkah ke hadapan, walaupun perlahan, tetap membawa kita lebih dekat kepada impian,” katanya.
Alfred juga berpesan kepada golongan muda yang sedang menempuh kesukaran agar tidak berputus asa.
“Percayalah pada perjalanan anda. Walau sesukar mana pun permulaan, usaha yang konsisten akan membawa kepada kejayaan pada akhirnya,” katanya.
Oleh Tarani Lanting