
KOTA SAMARAHAN: Setiap kejayaan ada permulaan dan kadangkala ia datang daripada sesuatu yang kita sendiri tak pernah bayangkan.
Bagi Awangku Iqbal Norlidza, 31, semuanya bermula bukan kerana cita-cita tetapi kerana dipaksa kawan.
Hari ini, lelaki asal Kampung Baru, Sebuyau ini berdiri megah sebagai pemilik GBN Barbershop, rangkaian kedai gunting rambut dengan lapan cawangan di Kuching, Samarahan, Serian dan sekitarnya, serta impian untuk menembusi seluruh Sarawak dan Semenanjung.
Wartawan Utusan Sarawak, Masrin Affirah, berpeluang bertentang mata dengan Awangku Iqbal Norlidza untuk mendengar sendiri perjalanan inspirasinya sebagai seorang usahawan muda.
Bermula dengan paksaan, bukan impian
Pada usia remaja, Iqbal tidak pernah terlintas untuk menjadi tukang gunting rambut tetapi cita-cita asalnya adalah menjadi anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Tawaran sudah diterima, tetapi ibu bapa Iqbal menyarankan dia mempertimbangkan semula.
“Masa itu saya agak kecewa sebab kalau dah orang tua cakap fikirkan lagi maksudnya mereka tidak berapa setuju jadi saya membawa diri, bekerja di stesen minyak, kedai makan, dan apa sahaja pekerjaan yang mampu menyara hidup. Masa tu saya rasa macam tak ada hala tuju.
“Kemudian, kawan saya paksa saya mencuba bidang gunting rambut dan saya mula gunting rambut kawan-kawan dan orang terdekat pada mulanya.
“Awalnya saya tolak tapi akhirnya saya cuba dan dari cuba-cuba itulah yang mengubah jalan hidupnya,” ceritanya mengimbau kenangan jejak langkah permulaannya dalam bidang gunting rambut.
Dari kedai ke kedai iaitu Doremi, Silverstar, Dadidu dan banyak lagi, Iqbal mengutip ilmu dan teknik, mengasah seni yang pada mulanya asing baginya.
Dari satu cawangan ke lapan cawangan
Bermodalkan bantuan RM15,000 daripada program Program Tunas Usahawan Belia Bumiputera (TUBE) anjuran SME Corp dengan sokongan Datuk Amar Awang Tengah Ali Hassan, Iqbal membuka cawangan pertama di Samarindah pada 2019.


KESIBUKAN pekerja GBN Barbershop menggunting rambut pelanggan.
“Langkah seterusnya tidak mudah. Cawangan kedua gagal kerana salah lokasi. Pernah tiga bulan hidup dengan keuntungan kedai bawah RM1,000 sedangkan ketika itu saya sudah berkeluarga.
“Namun, selepas pulang dari umrah, rezeki mula terbuka. Jualan meningkat, dan cawangan ketiga dibuka di Batu 7.
“Pada 2024 menjadi tahun paling agresif dengan tiga cawangan baru dibuka di Batu 7, Desa Ilmu, Serian dan Siburan, diikuti Padungan dan Batu 6 Westfield,” jelasnya ringkas.
Bukan sekadar menggunting rambut, Iqbal ubah sistem gaji demi masa depan pekerja
Dalam industri barbershop, kebiasaan pembayaran gaji pekerja adalah berdasarkan komisen potongan rambut iaitu lebih banyak pelanggan, lebih tinggi pendapatan.
Tetapi sistem itu juga bermakna tiada jaminan pendapatan tetap, apatah lagi caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) dan bagi kebanyakan tukang gunting, hal seperti pinjaman bank atau pembelian kereta hanyalah angan-angan kerana tiada slip gaji yang kukuh sebagai bukti kewangan.

Namun bagi Iqbal, pengalamannya bekerja di bawah sistem lama itu membuka matanya.
“Saya dulu kerja tak pernah dapat caruman PERKESO. Saya tak nak pekerja saya lalui perkara yang sama. Sejak itu, saya membuat keputusan berani memecahkan tradisi lama dan memperkenalkan gaji asas kepada semua pekerja saya, lengkap dengan caruman KWSP dan PERKESO.
“Sistem baharu ini bukan sahaja memberi pekerja saya rasa terjamin, malah membuka pintu kepada peluang hidup yang lebih stabil.
“Dengan adanya slip gaji dan rekod caruman, mereka kini boleh memohon pinjaman peribadi, membeli kereta, bahkan merancang untuk memiliki rumah. Kalau pekerja ada jaminan kewangan, mereka akan rasa dihargai dan lebih bersemangat bekerja,” jelasnya.
Iqbal turut menggabungkan kebajikan ini dengan latihan intensif, khusus untuk merekrut belia yang separa mahir atau pernah gagal dalam kerjaya lain.
“Mereka bukan sahaja dilatih kemahiran teknikal menggunting rambut, tetapi juga diajar etika kerja, pengurusan pelanggan, dan asas keusahawanan.

“Saya nak mereka keluar dari zon selesa tapi dengan bimbingan yang betul. Kalau saya boleh ubah hidup saya, mereka pun boleh,” tambahnya.
Hari ini, sistem yang Iqbal wujudkan menjadi contoh bagaimana industri kecil seperti barbershop boleh menjadi platform membina masa depan pekerja dan bukan sekadar tempat mencari rezeki sementara.
Rahsia kejayaan: kualiti bukan kuantiti
Bagi Iqbal, GBN Barbershop dibina di atas prinsip kualiti, bukan kuantiti. Kekemasan hasil guntingan dari GBN Barbeshop menjadi tarikan pelanggan sehingga menarik pelanggan dari pelbagai latar belakang termasuk Indonesia, Rusia, malah atlet Olimpik yang singgah sebelum bertanding di Singapura.
“Antara pelanggan yang pernah mendapatkan khidmat di GBN Barbershop termasuk seorang atlet yang berlatih di Singapura dan singgah ke kedai sebelum ke pertandingan.
“Ada juga pelanggan dari Indonesia yang sanggup menempah awal untuk memastikan mereka mendapat giliran, walaupun perlu menunggu lama.
“Kedai kami turut menerima pelanggan dari Rusia yang mengetahui tentang kedai saya melalui cadangan rakan,” ujarnya.
Testimoni pelanggan juga menunjukkan kepuasan terhadap hasil kerja GBN Barbershop, terutama dari segi kemasan potongan yang kemas dan konsisten.
Kepercayaan tersebut mendorong ramai pelanggan menjadi pelanggan tetap, ada yang datang setiap dua minggu semata-mata untuk mendapatkan potongan daripada GBN Barbershop
Pesanan untuk anak muda
Bagi Iqbal, keberaniannya bermula daripada paksaan seorang kawan, tetapi berkembang melalui disiplin dan kesungguhan.
“Kadang-kadang kita perlukan dorongan luar untuk buka jalan baru. Jangan takut nak cuba, dan jangan cepat putus asa.
“Sebelum mula sesuatu bidang yang nak diceburi, kita perlu mencari ilmu dan pengalaman yang banyak terlebih dahulu.

“Nak mula dalam dunia perniagaan senang, tetapi nak kekalkan perniagaan kita yang susah dan memerlukan komitmen tinggi, strategi yang jelas serta kesabaran menghadapi cabaran,” luahnya sambil tersenyum.
Iqbal berpendapat bahawa walaupun kini teknologi dan AI semakin canggih, seni gunting rambut tetap relevan kerana sentuhan manusia tidak akan dapat diganti mesin sepenuhnya.
Dari pemuda biasa ke usahawan berjaya
Hari ini, dengan pendapatan kasar sekitar RM150,000 sebulan dan keuntungan bersih mencecah RM45,000, Iqbal masih tidak percaya sejauh mana dia telah melangkah kini.
Daripada seorang pemuda yang hanya berkelulusan SPM, pernah gagal, dan tiada hala tuju, kini beliau menjadi usahawan berjaya yang memberi peluang pekerjaan kepada lebih 20 orang.
Siapa sangka, satu paksaan kecil daripada seorang kawan telah membuka pintu kepada sebuah kejayaan besar yang memberi inspirasi ramai.
Tidak berhenti di situ, Iqbal menyimpan impian untuk membuka cawangan GBN Barbershop di seluruh Malaysia, sekali gus membawa jenama ini ke tahap yang lebih tinggi.
Oleh Masrin Affirah