
KOTA SAMARAHAN: Dalam dunia seni yang luas, seorang pengkarya seni yang tidak asing namanya, Voon Kim Cheong ibarat seorang nakhoda yang ’mengemudi’ ekspresi kreatifnya merentasi sempadan budaya dan benua.
Telah menelusuri arus seni lebih tiga dekad, jejaka dari Kuala Lumpur itu menghamparkan pelbagai kisah dalam warna dan tekstur yang bukan hanya memukau mata, tetapi meresap jauh ke dalam jiwa.
Karya-karya Voon bukan sekadar coretan di atas kanvas, tetapi pantulan emosi dan renungan mendalam terhadap kehidupan.
Sapuan beraninya menggambarkan kisah manusia, alam dan hubungan antara keduanya, menjadikan setiap karya seperti tingkap ke dimensi lain—tempat di mana perasaan dan pemikiran bertemu secara harmoni.


PENUH WARNA-WARNI… Sebahagian karya oleh Voon Kim Cheong yang dipamerkan di ruangan di dalam Galeri Hoan sempena pameran ’Through the Canvas, Across the Sea’.
”Karya-karya yang saya pilih untuk pamerkan di Galeri Hoan sempena pameran ’ Through the Canvas, Across the Sea’ ini adalah diinspirasikan oleh kepelbagaian budaya di Malaysia khususnya Sarawak dan juga alam semula jadi,” katanya ketika ditemui Utusan Sarawak semasa pameran itu.
Dalam setiap karya yang dipamerkan, Voon memadukan unsur alam dan budaya negeri itu misalnya hutan hujan yang merimbun, sungai yang berliku serta warisan etnik yang berakar kukuh dalam sejarah.
Gabungan ini melahirkan naratif visual yang meraikan perpaduan, keunikan, dan keseimbangan antara manusia dan alam.
LUKISAN DAN LAGU ’NOT ME! NOT YOU! IT’S OURS!’
Lebih menariknya, beliau tidak sekadar melukis, Voon turut meneroka dimensi seni lain dengan mencipta sebuah karya muzik bertajuk ’Not Me! Not You! It’s Ours!’ yang turut diinspirasikan oleh lukisannya.
Ketika ditanya berhubung tempoh penghasilan karya itu, Voon berkata beliau mengambil masa lebih kurang dua minggu untuk menyiapkan lukisan itu sepenuhnya.
”Menerusi muzik yang saya hasilkan ini, para pendengar boleh membayangkan alat muzik tradisional Orang Ulu iaitu sape dimainkan di sebuah hutan yang tenang dengan bunyi air sungai yang mengalir serta siulan burung-burung.
”Melalui gabungan elemen abstrak ini, saya berusaha untuk membangkitkan emosi yang bergema dengan jiwa dan menyampaikan mesej tentang ikatan yang tidak dapat dipisahkan antara manusia dan alam semula jadi,” kongsinya.
Alunan indah melodi lagu tersebut boleh didengari menerusi platform Youtube yang dimuat naik menggunakan nama akaun Voon Kim Cheong.
TARIKAN PEMINAT PELBAGAI PELOSOK BENUA
Sentuhan tangannya yang magis telah menarik peminat seni dari seluruh Malaysia dan luar negara, dengan setiap karyanya seakan membawa penontonnya berkelana ke dunia yang dipenuhi simbolisme dan estetika mendalam.
Melalui setiap lorekan menggunakan medium cat akrilik, beliau memperkaya pengalaman audiens dalam memahami maksud tersembunyi di sebalik setiap goresan cat yang dihamparkan di atas kanvas.
”Pada setiap pameran yang saya sertai seperti ini, para peminat seni yang membeli lukisan saya adalah terdiri daripada pelbagai bangsa dan latar belakang. Sebahagian lukisan saya juga pernah dibeli oleh pelancong dari luar negara,” ujarnya.
Oleh Rynna Sha’erra