
SEMPENA cuti sekolah, warga Sarawak turut memilih Pontianak di Kalimantan Barat sebagai destinasi pilihan untuk melancong.
Antara daya tarikan yang menjadi tumpuan ialah aktiviti naik kapal persiaran (Kapuas River Cruise) di Sungai Kapuas, sungai terpanjang di Indonesia dan juga antara yang terpanjang di Asia Tenggara – sepanjang 1,143 kilometer (km).
Ia jauh lebih panjang berbanding Sungai Rajang iaitu sungai terpanjang di Malaysia, terletak di Sarawak dengan ukuran 770 km.
Antara agensi pelancongan yang aktif membawa pelancong dari Sarawak ialah Umtesar Travel & Tours, Kota Samarahan.

‘Kapuas River Cruise’ membolehkan pelawat menyusuri sungai sambil menikmati pemandangan menarik di kedua-dua tebing sungai, yang menempatkan puluhan kampung.
Selain boleh memandu sendiri ke Pontianak dari Kuching melalui Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Tebedu atau ICQS Biawak, orang ramai juga kini boleh menggunakan penerbangan.

Jumaat lalu, laluan terus Kuching–Pontianak kembali beroperasi selepas lima tahun digantung, sekali gus menghidupkan semula hubungan rentas sempadan antara Sarawak dan Kalimantan Barat.
Perjalanan cuma mengambil masa selama 45 minit dengan AirAsia mengendalikan dua penerbangan sehari.
Keadaan itu menyebabkan ramai rakyat Malaysia dari Sarawak kini melancong ke Pontianak.

Selain kapal pesiaran, antara tarikan lain ialah Tugu Khatulistiwa atau The Equator Monument. Kedudukannya berada di lintasan garisan khatulistiwa, membahagikannya antara hemisfera utara selatan.
Turut menarik untuk dikunjungi ialah Pasar Sudirman, Taman Digulis Pontianak, Muzium Negeri Sejarah Budaya Khas, lawatan ke Rumah Adat Dayak Radakng dan Istana Keraton Kadariah.