DARO: Jambatan Batang Paloh dijangka dapat disiapkan pada 15 Oktober ini.
Timbalan Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan (Pembangunan Infrastruktur), Datuk Ir. Aidel Lariwoo berkata perkembangan terkini itu diterima daripada pihak kontraktor projek terbabit.
“Kerja segmen ke-19 daripada 20 segmen struktur bagi kerja menuang konkrit, sedang dijalankan hari ini. Baki satu lagi segmen iaitu segmen ke-20 dijangka siap pada akhir Ogos.
“Kerja menyambung atau mengikat dua bahagian/segmen struktur jambatan menjadi satu struktur yang bersambung dan kukuh dijadualkan pada 6 September nanti.
“Kemajuan fizikal projek setakat semalam ialah 95.7 peratus,” katanya ketika dihubungi Utusan Sarawak hari ini.
Projek bernilai RM298.5 juta itu sepatutnya siap pada Januari 2026, namun selepas lanjutan masa (EOT) yang diberikan, ia ditunda ke sekitar 12 September 2026, tetapi kemudian berganjak kepada 3 Oktober.





