Eksklusif: Jambatan Batang Paloh dijangka disambung sepenuhnya 8 Oktober ini

Facebook
WhatsApp
ADUN DARO...Dr Safiee Ahmad.

DARO: Kerja penyambungan terakhir atau ‘final stitching’ Jambatan Batang Paloh dijadualkan dilaksanakan pada 8 Oktober ini, sekali gus menandakan projek berkenaan hampir mencapai fasa penyelesaian.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Daro, Dr Safiee Ahmad berkata, perkembangan itu merupakan petanda baik selepas projek berkenaan sekian lama dinanti-nantikan penduduk di kawasan tersebut.

“Kita bersyukur kerana akhirnya pembinaan jambatan yang amat dinanti-nantikan, khususnya penduduk di Daro, kini nampaknya sudah hampir siap sepenuhnya.

“Insya-Allah, ia akan memudahkan kerja seterusnya, termasuk menyiapkan jambatan sebelum dibuka untuk kegunaan orang ramai,” ujarnya ketika dihubungi Utusan Sarawak, hari ini.

Menurutnya, Jambatan Batang Paloh merupakan satu-satunya jambatan daripada empat jambatan utama di kawasan berkenaan yang masih dalam pembinaan.

JAMBATAN BATANG PALOH…Kerja-kerja final stitching atau penyambungan terakhir Jambatan Batang Paloh dijadualkan dilaksanakan pada 8 Oktober ini.

Beliau berkata, tiga lagi jambatan, iaitu Jambatan Batang Lassa, Jambatan Tun Datuk Patinggi Tuanku Haji Bujang dan Jambatan Batang Igan, telah siap dan kini digunakan.

Katanya, apabila Jambatan Batang Paloh siap dan dibuka, ia akan menghubungkan kawasan Daro dengan kawasan sekitarnya dengan lebih baik, sekali gus mengurangkan kebergantungan kepada perkhidmatan feri.

“Apabila jambatan ini dibuka, kebergantungan kepada perkhidmatan feri sebagai penghubung akan menjadi satu sejarah.

KETIKA ini orang ramai masih lagi menggunakan perkhidmatan feri Batang Paloh.

“Kita berharap pelaksanaan seterusnya projek ini berjalan lancar dan apabila siap kelak, ia akan membawa lembaran baharu kepada kehidupan sosial dan ekonomi masyarakat serta memperbaiki sistem perhubungan di kawasan ini,” katanya.

Dr Safiee turut merakamkan penghargaan kepada Kerajaan Sarawak yang bersungguh-sungguh mendapatkan dana bagi melaksanakan projek berkenaan serta projek pembinaan 21 jambatan lain.

Menurutnya, walaupun projek berkenaan melibatkan kos yang besar, pelaksanaannya mencerminkan komitmen kerajaan dalam menyediakan kemudahan perhubungan demi kesejahteraan dan kemajuan masyarakat.

Jambatan Batang Paloh bernilai hampir RM300 juta kini memasuki fasa akhir pembinaan dan dijangka dibuka kepada orang ramai seawal pertengahan Oktober ini, sekiranya kerja akhir berjalan lancar.

Oleh Akun Giman