
KUCHING: Isu penggunaan rotan di sekolah kembali menjadi perbincangan hangat apabila Kementerian Pendidikan (KPM) menegaskan pendirian untuk menolak kaedah hukuman fizikal dalam mendidik murid.
Namun, pandangan masyarakat terhadap langkah tersebut ternyata berbelah bahagi, ada yang melihat rotan sebagai simbol disiplin, manakala sebahagian lagi menganggapnya tidak lagi sesuai dalam sistem pendidikan moden.
Bagi Surayanti, 49, rotan wajar dikekalkan kerana mampu mendidik dan membentuk tingkah laku pelajar.
“Saya setuju sangat rotan dikekalkan sebab ia mendidik, bukan menghukum. Kalau anak saya memang buat salah, saya okey saja kalau dia dirotan.
“Punca sebenar masalah disiplin bukan terletak pada rotan semata-mata, tetapi pada pendedahan berlebihan terhadap gajet dan sikap terlalu memanjakan anak oleh ibu bapa,” katanya ketika ditemui Utusan Sarawak.

Pandangan senada dikongsi oleh Siti Dalilah Ibrahim, 50, yang menganggap rotan masih relevan tetapi perlu dilaksanakan secara berhemah.
“Rotan boleh, tapi di tapak tangan saja. Kalau dulu kami kena berdiri di luar kelas pun dah cukup malu. Cara macam tu pun boleh ajar anak supaya hormat guru.
“Hukuman tidak semestinya bersifat kekerasan, tetapi cukup untuk memberi kesedaran,” jelasnya.
Namun, bagi Ariff Amin, 30 tahun, penggunaan rotan di sekolah perlu dilihat dengan lebih berhati-hati kerana menurutnya, kaedah itu lebih bersifat menghukum daripada mendidik.
“Kaedah rotan boleh beri kesan segera tapi ia menimbulkan ketakutan dan tekanan emosi. Sekarang ini pelajar lebih mudah dibentuk dengan komunikasi dan bimbingan.
“Pendekatan seperti kaunseling, sistem ganjaran, dan program nilai murni antara alternatif lebih berkesan untuk mendidik pelajar masa kini,” katanya.

Perdebatan itu timbul susulan pendirian KPM yang menolak penggunaan rotan sebagai alat mendidik, sebaliknya memilih pendekatan berasaskan nilai, adab dan teladan.
Namun, sebahagian masyarakat berpendapat keputusan itu melemahkan kuasa guru untuk mengawal disiplin pelajar di sekolah.
Apa pun pandangan, isu rotan jelas masih mencerminkan dilema antara mengekalkan disiplin tradisional dan mengadaptasi pendidikan moden berasaskan empati dan psikologi murid.
Oleh Masrin Affirah