
KUCHING: Hari Kebangsaan saban tahun bukan sekadar tarikh dalam kalendar, sebaliknya menjadi detik istimewa buat rakyat Malaysia untuk mengenang pengorbanan pejuang terdahulu dan menzahirkan rasa syukur atas keamanan serta kemerdekaan yang dikecapi.
Bagi Gloria Briding, 29, sambutan Hari Kebangsaan membawa makna mendalam dalam memupuk kesedaran generasi kini dan akan datang tentang pentingnya mempertahankan kedaulatan negara.
“Hari kebangsaan sangatlah bermakna untuk kita menyemai rasa syukur dan menghargai sebuah kemerdekaan.
“Kita hidup dalam suasana aman hasil pengorbanan pejuang terdahulu,” katanya.
Beliau turut meluahkan rasa bangga terhadap keharmonian masyarakat berbilang kaum dan agama di Malaysia yang mampu hidup bersama dengan penuh toleransi.
“Setiap tahun saya dan keluarga akan menonton siaran langsung sambutan Hari Kebangsaan di televisyen,” ujarnya, sambil menambah bahawa perpaduan adalah kunci kepada kesejahteraan dan kemajuan negara.

Bagi Vaisnavi Naidu, 25, Hari Kebangsaan menjadi peringatan untuk berdiri megah sebagai rakyat Malaysia tanpa mengira bangsa.
“Hari kebangsaan mengingatkan saya untuk sentiasa berbangga menjadi rakyat Malaysia.
“Tidak kira apa bangsa kita, kita semua adalah Anak Malaysia,” katanya.
Beliau turut mengabadikan semangat itu dengan menghiasi kenderaannya dengan Jalur Gemilang.
“Semasa zaman sekolah, ibu bapa saya akan melekatkan bendera pada kereta mereka, jadi saya mahu melakukan perkara yang sama pada kereta saya sekarang,” jelasnya.
Vaisnavi berharap agar masa depan negara menyaksikan peningkatan peluang pekerjaan serta gaji yang lebih baik supaya rakyat tidak perlu berhijrah ke luar negara demi mencari rezeki.
“Ini bukan sekadar sebidang tanah untuk kita, ini adalah rumah kita dan kita sebagai rakyat Malaysia adalah sebuah keluarga,” tambahnya.

Sementara itu, Annie Tiong Lee Ling, 28, melihat Hari Kebangsaan sebagai masa untuk merenung semula perjalanan negara.
“Ia bukan sekadar sambutan tahunan dengan bendera dan perarakan.
“Kadang-kadang momen kecil bersama orang yang kita sayang lebih memberi makna kepada kemerdekaan sebenar,” katanya.
Annie turut menyuarakan harapan agar Malaysia terus melangkah maju bukan sahaja dari segi ekonomi, tetapi juga keadilan sosial dan penerimaan terhadap kepelbagaian.
“Saya pilih perkataan ‘Tabah’ untuk gambarkan Malaysia.
“Rakyat kita dah lalui macam-macam, tapi tetap berdiri, tetap senyum, tetap sambung hidup,” ujarnya.
Hari Kebangsaan 2025 bukan hanya menyatukan rakyat melalui perayaan dan simbol, tetapi juga membuka ruang untuk setiap individu memperbaharui semangat cintakan tanah air dengan cara tersendiri.

Bagi Aileen Kumang, 29, Hari Kebangsaan mengingatkannya tentang perjalanan panjang Malaysia sebagai sebuah negara yang merdeka dan bersatu.
“Hari Kebangsaan mengingatkan saya tentang sejauh mana Malaysia telah berkembang, ia melambangkan perpaduan, kebebasan dan semangat kita sebagai rakyat Malaysia,” katanya.
Beliau paling berbangga dengan kekayaan budaya negara yang menyatukan pelbagai kaum, bahasa dan adat di bawah satu bendera. “Saya bangga dengan cara kepelbagaian kita membentuk satu identiti,” ujarnya.
Tahun ini, Aileen menyambut Hari Kebangsaan dengan cara yang cukup bermakna apabila menganjurkan program komuniti di Lubok Antu bagi memperkasa komuniti Iban.
Program tersebut merangkumi bengkel kraf warisan dan hasil tangan tradisional yang bertujuan memelihara budaya serta memberi peluang pendapatan kepada penggiat kraf tempatan. “Ini adalah cara saya menghargai warisan Malaysia sambil membantu komuniti saya sendiri,” jelasnya.
Harapannya untuk masa depan negara adalah agar komuniti luar bandar dan masyarakat asal terus diberi pengiktirafan, sokongan serta peluang untuk menyerlahkan budaya mereka di peringkat nasional dan antarabangsa.
“Malaysia bagi saya adalah Rumah. Ia bukan sekadar tempat tinggal, tetapi tempat lahirnya warisan, harapan dan semangat yang membentuk siapa kita,” tambahnya.
Oleh Amanda L.