Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • INSPIRASI
  • Eksklusif Hari Jururawat: Lelaki juga penjaga harapan di wad pesakit
  • INSPIRASI

Eksklusif Hari Jururawat: Lelaki juga penjaga harapan di wad pesakit

Utusan Sarawak 10 hours ago
TUGASAN… Aniq Aqmar Safian dan rakan sepasukan menjalankan tugas di Pusat Perubatan Pakar Normah.

PETRA JAYA: Dalam dunia kejururawatan yang sering dilihat sebagai profesion wanita, keterlibatan jururawat lelaki sering kali dipandang luar biasa atau jarang berlaku.

Namun, bagi Aniq Aqmar Safian, 25, jururawat di Pusat Perubatan Pakar Normah, pilihan untuk menceburi bidang tersebut bukan sekadar soal jantina, tetapi lebih kepada keinginan untuk memberi sumbangan yang bermakna kepada masyarakat.

“Apa yang paling penting dalam bidang ini bukan siapa anda, tetapi sejauh mana anda sanggup memberi sepenuh hati untuk menjaga insan lain.

“Saya pilih kejururawatan kerana saya memang cenderung untuk membantu orang lain secara langsung dan bermakna kerana setelah menjalani latihan industri di hospital masa belajar diploma, saya nampak sendiri bagaimana jururawat bukan saja beri rawatan perubatan tapi juga sokongan emosi dan advokasi untuk pesakit dan keluarga mereka.

“Pengalaman itu tunjukkan saya betapa besar peranan jururawat dan saya hargai sifat belas ihsan, ketahanan, dan pembelajaran berterusan yang sangat penting dalam bidang ni,” katanya ketika ditemui Utusan Sarawak, hari ini.

BAWA PERSPEKTIF, KEKUATAN TERSENDIRI

Bagi Aniq, menjadi jururawat lelaki tidak sepatutnya dilihat sebagai aneh atau luar biasa, sebaliknya dilihat sebagai satu nilai tambah dalam pasukan kesihatan.

ANIQ Aqmar Safian memberi ucapan bersempena Sambutan Hari Jururawat Sedunia.

“Saya tahu ramai orang masih bayangkan jururawat itu wanita, tapi kami yang lelaki pun bawa perspektif dan kekuatan tersendiri.”

“Kami sama-sama berada di barisan hadapan, sama-sama berjaga malam, urus kecemasan, dan tenangkan keluarga pesakit.

“Apa yang kami perlukan hanyalah ruang untuk dilihat dan didengar, kerana kami juga memberikan sumbangan yang besar dalam memberikan penjagaan kesihatan yang berkualiti, tanpa mengira jantina,” luahnya.

Ketika dunia dilanda kemuncak pandemik COVID-19, Aniq turut merasai sendiri beban dan tekanan yang dihadapi jururawat, tanpa mengira jantina.

“Ketika itu kami kekurangan staf, penat dari segi emosi, dan berdepan dengan protokol yang sentiasa berubah. Saya kena jaga pesakit tenat sambil sokong keluarga mereka dari jauh dan itu sangat sukar.

“Apa yang membuat saya bertahan adalah sokongan daripada pasukan, pengurusan diri yang baik, dan keupayaan untuk fokus pada pencapaian kecil seperti memastikan pesakit stabil atau menenangkan keluarga mereka melalui telefon.

“Pengalaman tu ajar saya tentang pentingnya kerjasama, keupayaan menyesuaikan diri serta ketahanan emosi,” katanya bersemangat.

DETIK PALING BERMAKNA DALAM KERJAYA

Pengalaman paling bermakna dalam kerjayanya juga membuktikan bahawa kejururawatan adalah lebih daripada kemahiran klinikal kerana ia tentang hubungan manusia.

“Salah satu detik paling bermakna dalam kerjaya saya ialah apabila saya menjaga pesakit tenat yang tiada keluarga berdekatan dan sepanjang beberapa minggu saya memastikan keselesaannya, membantunya berhubung dengan saudara jauh melalui panggilan video serta menemaninya berbual dalam waktu-waktu sunyi.

ANIQ Aqmar Safian terlibat dengan sesi latihan perubatan di Pusat Perubatan Pakar Normah.

“Dia pernah cakap bahawa saya buat dia rasa dihargai dan tak keseorangan dan itu sangat memberi kesan dan makna mendalam kepada saya.

“Perkara tersebut mengingatkan saya yang kejururawatan bukan hanya tentang kemahiran klinikal tetapi juga tentang hubungan sesama manusia dan menjaga maruah dalam setiap fasa kehidupan,” ujarnya.

Bagi Aniq, jika ada satu perkara yang boleh diubah dalam profesion itu adalah masalah kekurangan staf yang memberi kesan terus kepada kualiti penjagaan dan kesejahteraan jururawat.

“Jururawat sering dijangka buat kerja lebih dengan sumber yang terhad dan itu boleh sebabkan keletihan dan jejaskan kualiti penjagaan.

“Saya percaya kalau kita perbaiki nisbah staf dan sediakan sokongan kesihatan mental yang lebih baik, kita bukan saja dapat kekalkan jururawat yang berbakat tapi juga pastikan penjagaan yang lebih selamat dan berperikemanusiaan untuk pesakit,” tambahnya.

INSPIRASI TERBESAR ANIQ

Inspirasi terbesar Aniq datang daripada seorang mentor yang mengajarnya bahawa menjadi jururawat yang baik bukan hanya soal kebolehan teknikal tetapi soal kehadiran dan empati.

“Inspirasi terbesar saya dalam kejururawatan ialah preseptor klinikal pertama saya, dia sangat tenang waktu tekanan, tegas bela pesakit, dan jadi mentor kepada jururawat baru tanpa buat kami rasa rendah diri.

“Cara dia berinteraksi dengan pesakit dan staf tunjukkan saya maksud kepimpinan dengan belas ihsan,” ungkapnya dengan rasa bersyukur.

Bersempena Hari Jururawat Sedunia, Aniq berharap agar sambutan ini bukan hanya sekadar penghargaan tetapi juga satu seruan untuk bertindak dengan memberi perhatian kepada cabaran sebenar yang dihadapi jururawat serta membangkitkan semangat bangga dalam profesion ini untuk menarik lebih ramai untuk menceburi bidang kejururawatan terutamanya lelaki.
Oleh Masrin Affirah

Tags: inspirasi

Continue Reading

Previous: Naluri keibuan ibu gajah setia menanti anaknya yang dilanggar, runtun hati rakyat Malaysia
Next: Pasangan muda bukti kesedaran kewangan buka jalan ke Makkah

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.