Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • INSPIRASI
  • Eksklusif: Gunakan media sosial sebar kebaikan, mesej perpaduan – Dayang Nur’ Maisarah 
  • INSPIRASI

Eksklusif: Gunakan media sosial sebar kebaikan, mesej perpaduan – Dayang Nur’ Maisarah 

Utusan Sarawak 2 days ago

PENERIMA ANUGERAH... Penerima Anugerah Maulidur Rasul 2025/1447H kategori Belia Harapan, Dayang Nur’ Maisarah Abang Abdul Razak (gambar paling kanan)

KUCHING: Penerima pelbagai anugerah di peringkat negeri dan kebangsaan, Dayang Nur’ Maisarah Abang Abdul Razak, 27, akan terus memperjuangkan suara anak muda dari pelbagai latar belakang.

Penerima Anugerah Maulidur Rasul 2025/1447H kategori Belia Harapan peringkat kebangsaan itu berkata tanggungjawab itu boleh digalas melalui pelbagai platform termasuk media sosial.

“Bagi saya, media sosial bukan sekadar hiburan tetapi peluang untuk menyebarkan kebaikan, mesej perpaduan serta membina masyarakat yang lebih positif.

“Platform digital seperti Facebook, Instagram dan TikTok boleh dijadikan sebagai ruang dakwah moden yang efektif,” katanya kepada Utusan Sarawak.

Jumaat lalu, Dayang Nur’ Maisarah adalah antara penerima Anugerah Maulidur Rasul yang disampaikan oleh Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim pada sambutan Maulidur Rasul peringkat kebangsaan di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS).

Antara pengiktirafan yang pernah diterima oleh Dayang Nur’ Maisarah ialah Anugerah Maal Hijrah Kategori Belia (2023) oleh Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg; Anugerah Belia Perdana Negara Peringkat Kebangsaan (2021) daripada Perdana Menteri kelapan, Tan Sri Mahyiddin Yassin; Anugerah Ikon Varsiti (Above and Beyond) Youth Award (2021); Anugerah Belia Perdana Negara Peringkat Negeri Sarawak (2020); dan Anugerah Ikon Belia Sarawak (2019).

Imbasan…. Dayang Nur’ Maisarah penerima Anugerah Maal Hijrah Kategori Belia oleh Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg pada 2023.

Mencerita lanjut mengenai kisah perjuangannya, Dayang Nur’ Maisarah mengakui persepsi terhadap kemampuan wanita muda masih wujud.

Namun beliau percaya dengan ilmu, integriti dan kerja keras, belia wanita mampu membuktikan kebolehan mereka.

Inspirasi utamanya ialah kedua-dua ibu bapanya yang membesarkan anak-anak dalam keadaan serba kekurangan.

“Doa dan pengorbanan merekalah menjadi kekuatan saya. Setiap kejayaan hari ini adalah hadiah untuk mereka, sebagai bukti bahawa anak orang susah juga mampu berjaya,” katanya dengan penuh penghargaan.

Pegawai Khas (Hal Ehwal Islam) kepada Timbalan Menteri Hal Ehwal Islam Sarawak itu berkata, pengalamannya dalam pentadbiran memberi ruang luas untuk mendengar suara anak muda dari pelbagai latar belakang.

“Tugas saya adalah menjadi penghubung supaya aspirasi mereka didengar dan diterjemahkan ke dalam dasar yang memberi manfaat kepada golongan muda,” jelasnya.

Dayang Nur’ Maisarah ketika berkunjung ke UK

Mengenai anugerah Maulidur Rasul 2025/1447H yang diterimanya baru-baru ini, beliau menyifatkan pengiktirafan tersebut sebagai satu amanah untuk terus berkhidmat kepada masyarakat khususnya golongan belia di Sarawak.

“Alhamdulillah, saya sangat bersyukur dan berbesar hati menerima anugerah ini. Ia bukan sahaja penghormatan besar buat diri saya, tetapi juga saya anggap sebagai amanah untuk terus menyumbang kepada pembangunan belia.

“Pengiktirafan itu bukan sekadar pencapaian peribadi, sebaliknya membuktikan belia Islam mampu memainkan peranan penting dalam pembangunan ummah.

“Saya berharap ia menjadi inspirasi agar belia sentiasa mencontohi akhlak Rasulullah SAW dalam kepimpinan, pendidikan mahupun kehidupan seharian,” katanya.

Senarai penerima anugerah

Beliau menegaskan, isu pembangunan modal insan dan kesejahteraan mental belia merupakan perkara utama yang perlu diberi perhatian segera.

“Ramai anak muda berdepan tekanan hidup dan cabaran ekonomi. Kalau belia kita kuat dan yakin dengan diri, insya-Allah mereka boleh jadi tonggak masa depan negara,” tambahnya.

Mengenai perpaduan di Sarawak, beliau percaya belia mampu menjadi jambatan penyatu masyarakat kerana lebih terbuka dan inklusif.

Nasihat beliau kepada anak muda adalah supaya tidak takut untuk bersuara, namun pastikan setiap pandangan membawa penyelesaian bukan sekadar kritikan.

“Gunakan bakat dan potensi diri untuk kebaikan masyarakat. Ingat, setiap sumbangan walaupun kecil, bila dilakukan bersama, mampu membawa perubahan besar,” tegasnya.

Dayang Nur’ Maisarah turut menyuarakan harapan agar belia Islam di Sarawak dan Malaysia terus menjadi generasi berilmu, berakhlak dan berwawasan, sekali gus mampu memimpin negara ke arah masa depan yang lebih cemerlang dan sejahtera.

Beliau menamatkan pengajian dalam bidang Perundangan Islam di Universiti Melaka dan kini sedang melanjutkan pengajian di peringkat Ijazah Sarjana Muda Syariah dan Undang-Undang di Universiti Islam Selangor (UIS). 

Oleh Shikin Mahmud

Continue Reading

Previous: Exclusive: A growing movement, how Kuching’s Youth Squad is fighting drugs with sports, nutrition and hope
Next: Exclusive: A hope to return, the story of Nah Wai Murn

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.