
PETRA JAYA: Golongan masyarakat lahir pada era 1980-an dan 1990-an berpandangan kuasa guru dalam mendisiplinkan murid wajar dikembalikan semula dengan pendekatan berhemah bagi membentuk semula budaya hormat dan tanggungjawab dalam kalangan pelajar sekolah masa kini.
Menurut Maslinda Daud, 26, Bandar Baru Samariang, isu disiplin murid semakin membimbangkan apabila pengaruh media sosial, gaya keibubapaan moden dan tekanan akademik menyebabkan tumpuan terhadap pembentukan sahsiah semakin berkurangan.
Katanya, kes ponteng sekolah, buli dan penyalahgunaan gajet menjadi antara cabaran besar dalam mengurus tingkah laku murid.
“Rotan boleh diterima jika dilakukan secara berhemah dan bertujuan mendidik, bukan menyakiti. Dalam Islam pun dibenarkan asalkan tidak mencederakan dan sebagai peringatan terhadap kesalahan moral,” katanya kepada Utusan Sarawak, hari ini.
Bagaimanapun, tegas beliau hukuman rotan masih wajar dijadikan kaedah utama mendisiplinkan murid hanya sebagai peringatan lembut terhadap kesalahan moral.
Selain itu, beliau mencadangkan kaedah kaunseling, nasihat dan hukuman berbentuk tanggungjawab seperti kerja kebajikan serta pendidikan nilai moral diterapkan supaya murid memahami kesalahan mereka dan belajar memperbaiki diri.
“Rotan juga perlu jadi langkah terakhir selepas pendekatan nasihat gagal dan mesti dilakukan dengan penuh tanggungjawab,” ujarnya.
Maslinda turut menekankan bahawa peranan ibubapa sangat penting dalam membentuk disiplin anak melalui teladan, didikan agama, pemantauan gajet serta hubungan rapat dengan pihak sekolah.

Sementara itu, Shahril Nizam Drahman, 33, Darul Hana, bersetuju agar kuasa menghukum dan merotan dikembalikan kepada guru dengan syarat ia dilaksanakan secara beretika dan berpandukan garis panduan yang ketat.
“Hukuman fizikal ringan boleh menjadi langkah pencegahan terhadap pelajar yang sering melanggar peraturan. Ia juga membolehkan guru menegakkan disiplin tanpa perlu menunggu tindakan pihak lain,” katanya.
Beliau menambah, kuasa sedemikian menjadikan guru lebih dihormati dan mampu membentuk keperibadian pelajar supaya tahu membezakan antara baik dan buruk.
“Disiplin kukuh di peringkat sekolah membantu melahirkan generasi bertanggungjawab, patuh undang-undang dan beretika,” tegasnya.

Bagi salah seorang individu yang mahu dikenali dengan nama samaran Ameng, 30, dari Bandar Baru Samariang, disiplin murid pada masa dahulu jauh lebih tinggi berbanding sekarang kerana wujudnya rasa takut dan hormat terhadap guru.
“Dulu kalau buat salah, kita takut bukan sebab rotan, tapi sebab tak mahu kecewakan cikgu dan ibubapa. Sekarang ramai murid berani melawan kerana tahu guru terikat dengan peraturan,” katanya.
Ameng mengimbas pengalamannya pernah dirotan kerana lewat ke perhimpunan, namun menganggap tindakan itu sebagai pengajaran berguna.
“Memang malu dan sakit, tapi lepas tu saya belajar tentang tanggungjawab dan disiplin masa. Tiada dendam, malah semakin hormat pada cikgu kerana ketegasan mereka berasaskan kasih sayang,” ujarnya.
Beliau menegaskan, pada zaman dahulu guru bukan sekadar penyampai ilmu tetapi dianggap ibubapa kedua di sekolah yang mendidik murid menjadi insan berguna.
“Hukuman seperti rotan bukan untuk menyakiti tetapi untuk mengingatkan dan membentuk sahsiah. Kalau guru tidak tegas, sukar nak tanam nilai disiplin dalam diri pelajar,” katanya.
Secara keseluruhannya, generasi 80-an dan 90-an berpandangan disiplin murid pada masa kini memerlukan keseimbangan antara ketegasan guru dan bimbingan kasih sayang ibu bapa.
Kuasa mendisiplinkan wajar dikembalikan kepada guru dengan pelaksanaan yang berhemah, agar sekolah kekal menjadi medan membentuk generasi berakhlak, berdisiplin dan bertanggungjawab terhadap diri serta masyarakat.
Oleh Shikin Mahmud