
MIRI: Tidak gentar kalah, tidak tunduk pada cabaran. Begitulah jiwa seorang anak muda bernama Samuel Unting Jonathan Tuyang yang akhirnya mengukir kejayaan apabila dinobatkan sebagai Laja Pekit Keling Kumang Raban Ngepan Iban 2025, sebuah gelaran yang melambangkan kekuatan, keyakinan dan kebanggaan kaum Iban.
Bagi Samuel, gelaran itu tidak datang bergolek. Pada 2023, beliau sekadar dikenali sebagai ‘Vogue of the Night’. Tahun berikutnya, 2024, langkahnya terhenti di kedudukan tempat keempat.
Namun semangatnya tidak pernah pudar. Tahun demi tahun, beliau kembali dengan tekad baharu, sehingga akhirnya, edisi kelapan Raban Ngepan Iban (RNI) menjadi saksi detik paling bersejarah dalam hidupnya.
“Kalah sekali bukan bererti kalah selamanya. Saya belajar daripada setiap kegagalan untuk kembali lebih kuat. Akhirnya, kemenangan ini adalah bukti usaha dan keyakinan diri,” kata Samuel dengan senyuman penuh makna.
Samuel menegaskan penyertaannya bukan semata-mata kerana minat terhadap pertandingan, tetapi kerana tekad untuk memertabatkan adat dan tradisi Iban. Baginya, slogan RNI ‘Adat Nyerakupka Bansa’ membawa erti mendalam – bahawa adatlah yang mampu menyatukan bangsa tanpa mengira agama atau keturunan.
Sokongan keluarga, rakan-rakan, serta pasukan FG Bridal yang diketuai oleh Franky Gasan turut menjadi tiang kekuatan di belakangnya. Mereka bukan sahaja membimbing, malah menjadi inspirasi untuk Samuel terus melangkah yakin di pentas RNI.
Bapanya, Jonathan, turut menzahirkan rasa bangga dan terharu melihat kejayaan anaknya.
“Sebagai bapa, saya hanya mampu memberi sokongan dan doa. Tetapi apabila melihat Samuel berdiri megah sebagai Laja, saya tahu segala usaha keras dan pengorbanannya berbaloi. Inilah buah tangan seorang anak yang mahu menjaga maruah adat bangsanya,” katanya penuh sebak.


BANGGA… Samuel bergambar bersama ahli keluarga yang merupakan tulang belakang kejayaannya.
Kemenangan ini menjadi lebih bermakna kerana ia tidak hanya milik Samuel, tetapi juga milik seluruh keluarga dan komuniti Iban yang mendukung perjuangannya. Setiap langkah di pentas adalah lambang keberanian seorang anak muda mempertahankan identiti bangsa di tengah arus moden yang semakin mencabar.
Kini, Samuel mahu menjadikan kemenangan ini sebagai platform untuk mengajak lebih ramai anak muda Iban mendalami adat, bahasa dan budaya nenek moyang mereka. Baginya, Laja bukan noktah sebuah perjalanan, tetapi permulaan baharu untuk mengangkat warisan bangsa ke persada yang lebih tinggi.
“Enti ukai diatu, sapa agi. Enti ukai diatu, kemaya agi. Saya mahu generasi muda Iban berani tampil, berbangga dengan siapa mereka, dan terus mewarisi adat nenek moyang agar tidak lenyap ditelan zaman,” ujarnya penuh semangat.
Selepas menempuh jatuh bangun selama tiga tahun, Samuel kini berdiri sebagai inspirasi – bahawa dengan tekad, keyakinan dan sokongan keluarga, tidak ada apa yang mustahil untuk dicapai.
Lebih daripada sekadar sebuah gelaran, kemenangan ini adalah cerita tentang keberanian seorang anak muda yang berani bermimpi besar, menempuh cabaran, dan akhirnya mengubah impian menjadi kenyataan. Nama Samuel kini menjadi bukti bahawa warisan budaya bukan sekadar peninggalan, tetapi juga sumber kekuatan dan kebanggaan.
Dengan gelaran Laja Pekit Keling Kumang RNI 2025, Samuel membawa satu amanah besar – untuk terus menjadi suara generasi baharu Iban yang menghargai asal-usul, mengangkat martabat adat, dan memastikan semangat nenek moyang tidak pernah padam dalam arus kemodenan.
Oleh Norman B