
KOTA SAMARAHAN: Dari jalanan ke pentas besar, dari kegagalan ke kebangkitan, itulah kisah penuh getir dan inspirasi penyanyi muda berbakat besar, Faris Malek, yang kini muncul semula dengan suara lebih bertenaga dan semangat yang kian menyala.
Suatu ketika dahulu, Faris hanyalah seorang penghibur jalanan yang mencari rezeki dengan mikrofon dan impian besar di dada. Setiap tahun, dia mencuba nasib dalam pelbagai uji bakat, namun pintu kejayaan seakan tertutup sehinggalah pada 2018, takdir mempertemukannya dengan rancangan realiti terkenal, Mentor 7.

Percubaan pertamanya bersama Dato’ Syafinaz Selamat tidak membawa rezeki, namun Faris tidak berputus asa. “Saya kecewa, tapi saya tahu itu bukan pengakhiran,” katanya ketika ditemui Utusan Sarawak, baru-baru ini.
Seminggu kemudian, dia hadir semula untuk sesi uji bakat Aizat Amdan, dan kali ini rezeki menyebelahinya. “Aizat bukan sekadar mentor, tetapi abang dan guru yang mengajar saya tentang disiplin, kerja keras dan kejujuran dalam muzik,” ujarnya penuh makna.

Walaupun langkahnya terhenti lebih awal dalam pertandingan itu, pengalaman tersebut menjadi titik tolak penting dalam kehidupannya. “Saya mungkin tidak menang, tapi saya bawa pulang sesuatu yang lebih berharga, keyakinan dan arah hidup,” katanya dengan nada yakin.
Minat Faris terhadap nyanyian sudah berputik sejak zaman sekolah, sering meniru gaya idola seperti Hafiz Suip di kaca televisyen. Namun di sebalik senyumannya hari ini, tersimpan kisah perjuangan dan pengorbanan. “Sokongan isteri, keluarga, dan pesanan arwah nenek yang selalu berpesan agar jangan padamkan impian, itu semua menjadi kekuatan saya,” katanya sebak.

Kini, Faris berdiri sebagai penyanyi sepenuh masa, hidup dengan suara dan bakatnya. “Bila saya menyanyi, saya rasa bebas. Lagu-lagu yang saya bawakan adalah cerminan jiwa saya sendiri,” ujarnya.
Julai lalu, Faris melancarkan lagu pertamanya berjudul Angguk, yang menjadi lambang kebangkitannya dalam dunia seni. “Angguk adalah kisah saya tentang jatuh, bangkit dan terus bermimpi,” katanya tersenyum.
Namun baginya, perjuangan dalam industri muzik tidak pernah mudah. “Setiap hari ada bakat baru muncul, tapi saya percaya jika kita jujur dalam berkarya, kita akan kekal di hati pendengar,” katanya penuh tekad.

Kepada anak muda yang ingin menjejaki langkahnya, Faris menitip pesan bermakna: “Jangan takut gagal. Dalam dunia seni, yang penting bukan berapa cepat kita naik, tapi sejauh mana kita mampu bertahan.”
Dengan suara yang semakin matang, jiwa yang tidak pernah luntur dan semangat yang kian menyala, Faris Malek kini kembali membuktikan bahawa kadangkala kejatuhan bukan pengakhiran, tetapi permulaan kepada kebangkitan yang lebih gemilang.
Oleh Norman B.