
KUCHING: Untuk beberapa generasi, masyarakat Iban di Sarawak sering dikenang melalui lensa sejarah, daripada reputasi mereka sebagai pahlawan yang digeruni hinggalah imej rumah panjang yang tersergam di sepanjang sungai berliku.
Namun di sebalik naratif yang sudah biasa ini, terdapat kisah lain yang tidak kurang pentingnya, peranan wanita Iban dalam membentuk identiti dan kelangsungan komuniti mereka.
Sejak dahulu lagi, wanita Iban telah memainkan peranan besar dalam aspek budaya, ekonomi dan kerohanian. Mereka menjadi penjaga tradisi melalui tenunan pua kumbu, anyaman serta ritual Gawai Batu.
Dalam kehidupan seharian, mereka merupakan tulang belakang pertanian dan pengurusan rumah tangga.
Hari ini, sumbangan wanita Iban tidak lagi terhad kepada ruang tradisi semata-mata. Mereka kini muncul dalam kepimpinan, pendidikan, seni, budaya dan pelbagai bidang profesional.
Dr Felicia Genie Tersan, 40, wanita Iban pertama menyandang Ijazah Doktor Falsafah (PhD) Pendidikan Bahasa Inggeris di sebuah universiti Ivy League, menjadikan keluarga sebagai sumber kekuatan.
“Saya mahu mendalami kepakaran sebagai pendidik dan pada masa sama menyumbang secara lebih bermakna kepada Sarawak,” katanya.
Beliau memilih Columbia University di New York kerana keunikan program dan keserasian dengan penyelia pakar dalam pembangunan guru berasaskan konteks budaya.
“Bagi saya, ia bukan semata-mata soal prestij, tetapi peluang untuk belajar daripada yang terbaik dan membawa pulang ilmu yang boleh disesuaikan dengan realiti di Sarawak,” jelasnya.
Namun perjalanan itu penuh dugaan. Tinggal di kota besar yang serba mahal, Felicia dan suaminya berdepan tekanan kewangan.
“Ada hari kami risau sama ada cukup duit untuk sewa rumah atau makanan di atas meja. Tetapi kami memilih untuk memikul beban itu sendiri tanpa membebankan orang lain,” ujarnya.
Felicia berkata beliau terinspirasi oleh harapan kedua ibu bapanya yang mahu melihat seorang ‘Dr Tersan’ dalam keluarga, dan itulah sumber kekuatannya setiap kali berdepan saat mahu berputus asa.
Selain cabaran kewangan, Felicia turut berdepan halangan budaya dan stereotaip.
Beliau mengakui ada masanya beliau berasa seolah-olah tidak kelihatan atau tidak diambil serius kerana tidak mengikut skrip tidak rasmi mereka, namun berkat sokongan mentor dan rakan seperjuangan tesis PhD beliau akhirnya diiktiraf dengan Anugerah Tesis Terbaik universiti.
“Jangan sesekali menolak diri sendiri. Bakat dan impian tidak terbatas kepada geografi. Yang penting, beranilah mencuba, rajin berusaha, dan jangan lepaskan pegangan pada identiti diri,” pesannya.

Eugenie Cherembang John Louis, 28, pula muncul sebagai peguam Iban dengan pengalaman dalam tiga bidang kuasa undang-undang di United Kingdom, Malaysia dan Sarawak.
“Sebagai seorang yang secara semula jadi empati, saya rasa terpanggil untuk memberi suara kepada mereka yang tidak dapat bersuara,” katanya.
Beliau menyifatkan pengalaman dipanggil ke Bar di UK sebagai satu penghormatan besar kerana bukan sahaja merupakan kejayaan peribadi, tetapi juga penghargaan kepada keluarga, komuniti dan akar budayanya.
Cabaran terbesar baginya ialah menyesuaikan diri dengan sistem undang-undang berbeza di setiap negara.
“Setiap kali berpindah, saya perlu belajar semula dari awal. Ia menuntut disiplin, kerendahan hati dan kesediaan untuk menyesuaikan diri,” ujarnya.
Bagi Eugenie, undang-undang bukan hanya teks, tetapi alat yang harus berkhidmat kepada masyarakat.
“Anggap ia maraton, bukan pecut. Jika ada peluang belajar atau bekerja di luar negara, rebutlah. Namun jangan lupa, sokongan keluarga dan komuniti sangat penting,” pesannya.

Hilda Wilson, 41, pula mencatat sejarah sebagai anggota polis wanita Iban pertama dalam Unit Anjing Pengesan (K9) PDRM pada 2013.
“Ketika ditugaskan sebagai satu-satunya wanita dalam unit yang didominasi lelaki pada ketika itu, saya berasa sangat bersyukur dan gembira,” katanya.
Beliau mengakui cabaran utama adalah melatih anjing pengesan agar patuh kepada arahan serta memastikan keupayaan mereka mengesan dadah.
“Mengendalikan anjing pengesan memerlukan kesabaran, ketegasan, dan kepercayaan dua hala,” jelasnya.
Antara kenangan paling berharga sepanjang kerjaya Hilda ialah bersama seekor Labrador bernama Dahei.
“Dahei bukan sekadar anjing tugas, dia rakan seperjuangan saya,” ujarnya.
Kini, Hilda berkhidmat di sebuah unit khas yang berkaitan dokumentasi dan rakaman untuk kegunaan siasatan.

Dyanne Oshield, 31, melakar sejarah sebagai artis Iban pertama menghasilkan album di United Kingdom.
“Sejak umur tujuh tahun saya sudah memasang cita-cita untuk membina kerjaya nyanyian di peringkat antarabangsa. Kalau penyanyi dari Indonesia atau Filipina mampu melangkah ke pentas dunia, mengapa kita tidak?” katanya.
Bagi Dyanne, keaslian dan kejujuran adalah kunci bertahan di industri muzik global.
“Saya mahu tampil dengan elemen budaya kita dalam video muzik, sama ada busana tradisional atau rekaan buriek.
“Visual yang indah mampu menarik perhatian dunia, dan saya mahu memperkenalkan budaya Iban melalui muzik,” ujarnya.
Beliau percaya pencapaiannya membuka ruang untuk artis muda, khususnya wanita Iban, berani bermimpi besar.
“Lebih baik menyesal kerana mencuba daripada menyesal kerana tidak pernah melakukannya.
“Kejar impian selagi masih muda, sihat dan berupaya,” pesannya.
Daripada kejayaan akademik hingga ke pentas antarabangsa, empat wanita Iban ini membuktikan bahawa impian boleh digapai dengan keberanian dan tekad. Mereka adalah teladan bahawa wanita Iban bukan sahaja berdaya saing, malah mampu berdiri di pentas dunia dengan penuh keyakinan.
Oleh Amanda L.