Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • TEMPATAN
  • Eksklusif: Elemen 3L antara punca utama kebakaran rumah
  • TEMPATAN

Eksklusif: Elemen 3L antara punca utama kebakaran rumah

Utusan Sarawak 5 hours ago
GAMBAR FAIL…Latihan menggunakan alat pemadam api menggunakan cara betul di Rumah Jana, Batu Matop. Foto BBP Bintangor

BINTANGOR: Elemen 3L iaitu ‘Lupa, Leka dan Lalai’ dikenal pasti antara punca utama kebakaran rumah yang sering berlaku dalam kalangan masyarakat, kata Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bintangor, Mahmudin Narudin.

Katanya, sikap cuai ketika menggunakan peralatan elektrik, meninggalkan peralatan memasak tanpa pengawasan dan penggunaan soket elektrik secara berlebihan boleh meningkatkan risiko berlakunya kebakaran di rumah.

Dalam setiap ceramah keselamatan bersama komuniti, pihak bomba sering menekankan elemen 3L sebagai peringatan kepada masyarakat agar lebih peka terhadap aspek keselamatan di rumah.

Pada masa yang sama, katanya, masyarakat turut digalakkan mengamalkan elemen 3P iaitu “Pencegahan, Pengawasan dan Perlindungan” sebagai langkah proaktif bagi mengurangkan risiko berlakunya insiden kebakaran.

Beliau menjelaskan perkara tersebut dalam maklum balas kepada wartawan Utusan Sarawak melalui aplikasi WhatsApp, hari ini.

Soalan: Apakah kesilapan paling kerap dilakukan oleh penghuni rumah yang boleh menyebabkan kebakaran tanpa mereka sedari?

Mahmudin:

Antara kesilapan yang kerap berlaku ialah penggunaan peralatan elektrik yang rosak, membiarkan peralatan memasak tanpa pengawasan serta penggunaan soket elektrik secara berlebihan.

Selain itu, sikap cuai seperti tidak menutup suis selepas digunakan juga boleh meningkatkan risiko berlaku kebakaran.

Soalan: Sejauh mana penggunaan sambungan elektrik yang berlebihan boleh menyebabkan kebakaran?

Mahmudin:

Penggunaan sambungan elektrik yang berlebihan boleh menyebabkan litar menjadi panas dan akhirnya menyumbang kepada kebakaran.

Apabila terlalu banyak peralatan disambungkan pada satu soket, ia boleh menyebabkan litar pintas atau lebihan beban elektrik yang seterusnya menyumbang kepada berlakunya kebakaran.

Soalan: Adakah pendawaian lama menjadi faktor kebakaran rumah?

Mahmudin:

Pendawaian lama atau tidak diselenggara dengan baik boleh menjadi faktor utama kebakaran.

Keadaan ini lebih berisiko terutama di rumah kayu kerana bahan binaannya mudah terbakar.

Pemeriksaan pendawaian oleh individu bertauliah perlu dilakukan secara berkala bagi memastikan sistem elektrik berada dalam keadaan selamat.

Soalan: Apakah risiko yang sering berlaku berkaitan penggunaan dapur gas?

Mahmudin:

Risiko utama ialah kebocoran gas, penggunaan hos gas yang sudah lama atau rosak serta tidak menutup injap gas selepas digunakan.

Kebocoran gas boleh menyebabkan kebakaran atau letupan sekiranya terkena percikan api.

Soalan: Adakah penggunaan lilin dan memasak tanpa pengawasan turut menjadi punca kebakaran?

Mahmudin:

Penggunaan lilin dan aktiviti memasak tanpa pengawasan memang antara punca kebakaran yang sering berlaku.

Api yang kecil boleh merebak dengan cepat jika berada berhampiran bahan mudah terbakar seperti langsir, kertas atau kain.

Soalan: Apakah tanda awal yang boleh dikenal pasti sebelum kebakaran berlaku?

Mahmudin:

Antara tanda awal termasuk bau hangit dari peralatan elektrik, soket menjadi panas, percikan api kecil dari suis atau bau gas di dapur.

Jika tanda-tanda ini berlaku, penghuni rumah perlu segera mematikan bekalan elektrik atau gas dan memeriksa puncanya.

Soalan: Sejauh mana pentingnya setiap rumah mempunyai alat pemadam api?

Mahmudin:

Alat pemadam api sangat penting kerana ia boleh membantu mengawal kebakaran kecil sebelum ia menjadi lebih besar.

Jika digunakan dengan betul pada peringkat awal, ia boleh menyelamatkan nyawa dan mengurangkan kerosakan harta benda.

Soalan: Apakah tindakan pertama yang perlu dilakukan sekiranya kebakaran berlaku?

Mahmudin:

Tindakan pertama ialah memastikan keselamatan diri dan ahli keluarga dengan keluar dari rumah secepat mungkin.

Selepas itu, hubungi pihak bomba dan jangan cuba memadam kebakaran besar tanpa peralatan yang sesuai.

Soalan: Apakah kepentingan pili bomba di kawasan perumahan?

Mahmudin:

Pili bomba sangat penting kerana ia merupakan sumber air utama untuk anggota bomba memadam kebakaran.

Jika pili bomba rosak atau dihalang, ia boleh melambatkan operasi memadam api dan meningkatkan risiko kerosakan yang lebih besar.

Soalan: Apakah nasihat kepada masyarakat supaya lebih peka terhadap keselamatan kebakaran?

Mahmudin:

Masyarakat perlu sentiasa peka terhadap aspek keselamatan di rumah seperti memeriksa pendawaian elektrik, memastikan peralatan gas berada dalam keadaan baik serta tidak cuai ketika memasak.

Selain itu, amalkan sikap berjaga-jaga dan pastikan setiap rumah mempunyai peralatan keselamatan seperti alat pemadam api dan pengesan asap.

Mahmudin turut mengingatkan bahawa kebakaran boleh berlaku dalam sekelip mata sekiranya langkah keselamatan asas diabaikan oleh penghuni rumah.

Sehubungan dengam itu, beliau menggesa masyarakat agar sentiasa mengamalkan langkah pencegahan awal serta meningkatkan kesedaran terhadap keselamatan kebakaran bagi melindungi nyawa dan harta benda.

Oleh Earl Anek

Continue Reading

Previous: Tun Wan Junaidi terima kunjungan hormat Duta Besar Perancis
Next: DAPSY Sarawak gesa SPR jelaskan dokumen persempadanan semula tular

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.