
SIBU: Seperti setitik minyak yang tetap timbul di permukaan laut, begitulah perjalanan seni penyanyi kelahiran Miri, Dyanne Oshield.
Peribahasa ini tepat menggambarkan kejayaan beliau yang kini memperkenalkan suara Borneo ke pentas antarabangsa, berbekalkan keyakinan serta identiti budaya yang utuh.
Menjadi wanita Iban pertama yang muncul dengan lagu berbahasa Inggeris di bumi Eropah, beliau melakar langkah di persada antarabangsa tanpa mengetepikan akar tradisi yang membentuk jati dirinya.
DARI MIRI KE AMSTERDAM
Kerjaya nyanyian Dyanne bermula secara santai sebagai penyanyi ‘live band’ sekitar 2020, selepas bertahun-tahun menyertai pertandingan nyanyian sejak 2017.

Perjalanan itu berubah pada 2022 apabila beliau merakamkan lagu pertama berjudul Persinggahan Sementara, sebuah lagu patah hati yang ditulis secara spontan di Lapangan Terbang Dubai ketika transit ke Amsterdam.
Lagu tersebut menjadi titik tolak transformasinya daripada penyanyi pentas kepada artis rakaman.
“Saya tak boleh menulis lagu kalau saya tak merasai sakitnya patah hati itu sendiri. Dari luka itulah seni saya lahir,” katanya kepada pemberita.
MENEMBUSI DUNIA DIGITAL
Menetap di Eropah membuka ruang baharu untuknya apabila video bersahaja menyediakan Laksa Sarawak untuk rakan-rakan di TikTok menjadi tular. Namun, tular itu bukan kerana sensasi, sebaliknya kerana keikhlasan yang terpancar.
Di sebalik fenomena tersebut, Dyanne kekal fokus menjadikan muzik sebagai medium ekspresi dan suara untuk mereka yang sukar meluahkan perasaan.
‘PAIN IN MY VEIN’: LUKA DAN KEBANGKITAN
Pada 2023, Dyanne mencipta pencapaian penting apabila single bahasa Inggeris pertamanya, Pain in My Vein, diterbitkan secara rasmi di United Kingdom oleh Skymax Visual, sebuah syarikat rakaman antarabangsa.

Lagu yang mengisahkan kesedihan, kehilangan dan kekuatan untuk bangkit itu meraih lebih 18,000 tontonan di YouTube yang merupakan satu angka membanggakan bagi artis bebas dari Sarawak.
“Saya tulis lagu itu untuk diri saya, tapi tak sangka ramai rasa seperti mereka juga hidup dalam lagu itu,” ujarnya, sambil menyebut Mariah Carey, Whitney Houston dan Morissette Amon sebagai sumber inspirasi.
‘TELIH’: WARISAN YANG TIDAK DILUPAKAN
Walaupun semakin dikenali di luar negara, Dyanne tidak pernah melupakan akarnya.
Telih lagu sepenuhnya dalam bahasa Iban, menjadi bukti keazamannya membawa budaya etnik ke pentas global.
Dengan lebih 48,000 tontonan, lagu itu menjadi jambatan antara nostalgia dan masa depan.
“Saya mahu lagu saya jadi suara untuk mereka yang tidak tahu bagaimana mahu meluahkan emosi mereka,” katanya.
LEBIH DARIPADA SEKADAR PENYANYI
Selain muzik, Dyanne juga mengukir nama dalam dunia perniagaan sebagai pengasas dan pemilik tunggal Disco Very Perfumes & Cosmetics di Miri, yang menjual minyak wangi berjenama antarabangsa seperti Dior, Gucci, Chanel dan Prada.
Kesibukan mengurus perniagaan menyebabkan beliau belum muncul dengan single baharu tahun ini, namun ia merupakan sebahagian daripada penstrukturan semula untuk kemunculan yang lebih besar.
PROJEK BAHARU, HARAPAN BAHARU
Menjelang hujung 2025, Dyanne bakal melancarkan beberapa lagu baharu, termasuk Love by You, yang ditulis sepenuhnya olehnya dan diterbitkan melalui kerjasama produksi antarabangsa berpengalaman dalam industri Hollywood.
Beliau juga dijadualkan kembali ke Eropah bagi urusan promosi dan penerbitan.
“Saya mahu lagu-lagu saya didengar seluruh dunia. Dan saya mahu nama Iban disebut bersama nama-nama besar dalam muzik global,” katanya.
SUARA HARAPAN DARI BORNEO
Bagi Dyanne, kejayaan antarabangsa tidak memerlukan pengorbanan identiti.
“Bercita-cita tinggi bukan salah. Saya bangga menjadi anak Iban. Saya bangga dari Miri,” tegasnya.
Daripada lagu balada patah hati, aroma laksa di TikTok, minyak wangi eksklusif di rak perniagaan, hingga studio rakaman di London, Dyanne Oshield sedang membina legasi seorang wanita yang menjadikan Borneo bukan sekadar tanah kelahiran, tetapi jenama seni yang dikenali dunia.
Dalam setiap bait Pain in My Heart, setiap lirik Telih, dan setiap langkahnya, dunia kini mendengar bukan hanya suara seorang wanita Iban, tetapi suara seluruh Borneo.
Oleh Tarani Lanting