
KUCHING: Dalam suasana ekonomi yang masih mencabar serta ketidaktentuan pasaran global, pengumuman dividen 6.15 peratus oleh Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) bagi tahun kewangan 2025 disambut dengan rasa lega dan penuh harapan oleh pencarum pelbagai generasi ketika berkongsi pandangan dengan Utusan Sarawak hari ini.

Bagi pesara Roseline Sering, 62, kadar dividen tersebut disifatkan sebagai sesuatu yang sangat baik dan membantu menampung keperluan semasa.
Menurutnya, bagi pencarum yang memerlukan wang, dividen berkenaan boleh dimanfaatkan untuk perbelanjaan harian dan keperluan asas.
Namun, bagi mereka yang masih mempunyai sumber kewangan mencukupi, adalah lebih baik dividen itu dibiarkan sebagai simpanan agar terus bertambah.
“Biarlah simpanan itu bertambah dari semasa ke semasa. Itu juga jaminan untuk kita,” katanya.
Bagi generasi muda yang baru membina kerjaya pula, dividen tersebut dilihat sebagai asas kukuh untuk perancangan masa depan.

Valerie Rabai Gembar, 28, mengakui walaupun terdapat sedikit penurunan berbanding tahun lalu, beliau tetap melihatnya sebagai pelaburan jangka panjang yang wajar diyakini.
“Walaupun ada sedikit penurunan, saya masih melihatnya sebagai pelaburan dan pelan persaraan yang baik, khususnya bagi kami yang hanya mula bekerja pada lewat usia 20-an. Yang penting ialah gambaran besar untuk masa depan. Saya berharap pada 2027 akan ada peningkatan lebih kukuh,” ujarnya.

Nada sama turut dikongsi Nazihah, 28, yang berpandangan pengumuman dividen 6.15 peratus membuktikan prestasi kukuh KWSP walaupun ekonomi global tidak menentu.
Beliau berkata, agihan hampir RM79.6 bilion kepada pencarum memberi keyakinan kepada rakyat terhadap keupayaan pengurusan dana tersebut dalam memastikan pulangan yang mampan.
“Saya berharap KWSP terus mengekalkan pulangan mampan, meningkatkan dividen pada masa depan serta membantu memperkukuh simpanan persaraan generasi akan datang,” katanya.

Awang Amirul Hafizan, 34, pula menyifatkan kadar itu sebagai munasabah dalam suasana inflasi dan pasaran yang turun naik.
Menurutnya, prestasi tersebut mencerminkan pengurusan dana yang berhemah dan berdisiplin.
“Semoga KWSP terus mengekalkan dan meningkatkan dividen pada masa akan datang. Diharap pelaburan lebih mampan dan berisiko terkawal supaya simpanan hari tua pencarum lebih terjamin,” jelasnya.
Sementara itu, Stephanie Diana, 26, menyifatkan dividen tersebut sebagai agak baik dan melegakan dalam keadaan ekonomi mencabar.
Beliau berkongsi bahawa sebelum ini beliau tidak mempunyai pekerjaan tetap dan pernah membuat caruman sendiri demi jaminan masa depan.
“Kini simpanan serta dividen yang diterima membantu menambah simpanan saya dan memberi semangat untuk terus mencarum,” katanya.
Secara keseluruhan, sentimen yang dizahirkan menunjukkan walaupun kadar dividen sedikit berbeza berbanding tahun sebelumnya, keyakinan terhadap pengurusan dana dan kepentingan simpanan persaraan kekal menjadi keutamaan merentas generasi.
Oleh Adele Rissa